jump to navigation

Dialah Secercah Dari Cahaya Keindahan Illahi Oktober 31, 2011

Posted by Ismi Nailofar in Persuratan/Susastera.
add a comment

~*~*~Maulana Jalaluddin Rumi ~*~*~

Mathnawi I: 2429-37

Air berkuasa ke atas api dengan ganasnya,

namun ia ( hilang kuasa lalu ) menggelegak pabila berada di dalam belanga

 

Lantaran belanga menjadi penghadang kedua-duanya ( dari bertemu, lantas ) api pun melenyapkan air dan merubahnya menjadi udara.

 

Seumpama air di atas api; jika engkau secara tersurat berkuasa ke atas wanita,

wanita secara tersirat berkuasa ke atas engkau,

engkau tercari-cari wanita dan menggelegak dijerang berahi padanya.

 

Sedemikian istimewanya sifat manusia,

lantaran haiwan, atas sebab kekurangan ( martabat )nya, kurang kasih sayang.

 

Rasul pernah bersabda ( bahawasanya ) wanita berkuasa ke atas si budiman dan si soleh.

Sedang si jahil menjadi berkuasa ke atas wanita-

dek turutkan rasa terburu-buru dan marah-marahnya.

Mereka kurang kelembutan, belas kasihan dan kasih sayang

lantaran sifat haiwani berkuasa ke atas fitrah mereka

 

Kasih sayang dan kelembutan itu sifat insani,

sedang amarah dan nafsu itu sifat haiwani

 

( Wanita ), Dialah secercah dari Cahaya Keindahan Illahi, bukan sekadar yang dicintai,

Dialah pencipta ( cetusan cinta ), engkau barangkali berkata dia bukan sekadar yang diciptakan.


 

P/S : Diterjemahkan dari : http://www.dar-al-masnavi.org/n-I-2429.html, sebaik-baiknya terjemahan ini dibaca bersama dengan teks dan keterangan di laman tersebut.

 

Sesuatu Yang Tak Kelihatan Itu Begitu Kuat Dan Tak Terkendalikan III Oktober 31, 2011

Posted by Ismi Nailofar in Persuratan/Susastera.
add a comment

~*~*~Maulana Jalaluddin Rumi~*~*~

( Mathnawi II: 1300-1309 )

Dunia ini bagaikan jerami dipuput angin,

Ia melangsungkan hidupnya dalam keadaan tak berdaya. Dan ( angin itu ) Keadilan Hukum yang tak kelihatan ( dek mata kasar ).

Kadangkala membuat jerami itu terbang tinggi, kadangkala membuat ia terbang rendah;

Kadangkala membuat ia ( kekal ) sempurna, kadangkala membuat ia rosak ( seusai penerbangan ).

Lihatlah bagaimana angin menerbangkan ia ke kanan, dan kadangkala menerbangkan ia ke kiri;

Adakalanya menukarkan ia menjadi taman mawar, dan adakalanya menjadi ( rumpun ) duri.

Lihatlah bagaimana pena menulis sambil tangan yang menulis itu tersembunyi ( dari kertas ); lihatlah kuda tiba-tiba berkalih arah sementelah penunggangnya tidak melihat ( apa yang menggerakkan kuda itu lantaran debu berada di matanya ).

Lihatlah, bagaimana anak panah terbang, tatkala busurnya tidak kelihatan;

Lihatlah, bagaimana ruh-ruh menjadi bukti ( keberadaan ), tatkala Intipati ruh tidak kelihatan.

Usah patahkan anak panah derita itu, kerana ia adalah anak panah kepunyaan Raja.

Ia bukanlah satu bidikan panjang yang disengajakan ( untuk berbuat aniaya padamu ), ia berasal dari titik busur ( Raja yang ) Mengawasi(mu).

“ Engkau tidak melemparkan apabila engkau melemparkan”, Tuhan berfirman. Kerja Tuhan mengatasi kerja kita.

Patahkan amarahmu, usah patahkan anak panah itu; lantaran pandangan mata amarahmu melihat susu sebagai darah.

Sebaliknya, kuncupilah anak panah itu dan bawalah ia ke hadapan Raja- anak panah yang berlumuran dengan darahmu.

( Sungguh, ) sesuatu yang kelihatan itu tak berdaya, terbatas dan lemah. Tetapi, sesuatu yang tak kelihatan Itu begitu kuat dan tak terkendalikan !

 

 

P/S : Diterjemahkan dari fragmen berjudul ‘That Which Is Invisible Is So Strong and Uncontrollable‘, di laman http://www.dar-al-masnavi.org/n-II-1278.html. Penjelasan dan keterangan lanjut boleh diperolehi di sana.

Dua Jenis Pencinta al-Haqq* Oktober 31, 2011

Posted by Ismi Nailofar in Persuratan/Susastera.
Tags:
add a comment

~*~*~Maulana Jalaluddin Rumi~*~*~
( Mathnawi III: 4595-4600 )

(Justeru ), pencinta yang membaca dan mengkaji kitab demi pengkajian adalah yang mencintai al-Haqq lantaran takut dan harap.

Namun pencinta yang mencintai al-Haqq demi al-Haqq adalah pencinta langka,
lantaran terpisahnya dia dari usaha dan matlamat peribadi.

Pun begitu, daya tarikan dari al-Haqq ‘kan menariknya kepada al-Haqq,
biarpun dia sebegini atau sebegitu, lantaran dia adalah pencari sejati.

Maka, kiranya dia adalah pencinta al-Haqq demi sesuatu selain-Nya,
agar dia mungkin memperolehi apa yang dihajati dari kebaikan-Nya,

Atau, kiranya dia adalah pencinta al-Haqq demi al-Haqq,
lantaran tiada sesuatu setara dengan-Nya dan berasa takut akan terpisah dari-Nya,

Pencarian kedua-dua pencinta itu ( hakikatnya ) berasal dari sumber daya sama,
dan penaklukan hati sebegini rupa adalah dari ( Dia ) Yang DiCintai.

*al-Haqq = salah satu nama Allah Subhanawataala dari senarai 99 Asma’ul Husna. Penulis memilih untuk mengekalkan kata dari teks asal Parsi Klasik ini, biarpun pengelola laman Dar-al-Masnavi telah menterjemahkan ia kepada God dalam versi Inggerisnya.
P/S : Diterjemahkan dari fragmen berjudul ‘The Two Kinds of Lovers of God’, http://www.dar-al-masnavi.org/n-III-4595.html. Penjelasan dan keterangan lanjut boleh diperolehi di sana.

Setelah sekian lama puisi terjemahan ini ‘berumah’ di laman Facebook, puisi inipun mendapat rumah di laman blog.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.