jump to navigation

KENALI DIRIMU DENGAN SEBENAR-BENAR KENAL, NESCAYA KAU AKAN MENGENALI DAKU ! Oktober 16, 2011

Posted by Ismi Nailofar in Tentang Kehidupan.
trackback

Ke hadapan Adam yang dikasihi dan dihormati,

Daku terpanggil untuk menitipkan catatan ini buatmu, begitu setelah terbaca catatan yang beredar dengan meluas di laman Facebook, Twitter dan laman-laman blog sejak kebelakangan ini. Catatan itu tidak lain dan tidak bukan adalah :

” Tulang rusuk Adam yang hilang, biarlah dia yang mencarinya sendiri. Hawa pula, tunggulah dan bersabarlah, tak perlulah kamu yang mencari Adam. Kerana kamu tetap tulang rusuknya yang hilang, dia akan datang mencarimu dan mengambilmu satu hari nanti. Apa yang boleh kamu usahakan Hawa ialah berdoa agar Adam yang datang itu adalah Adam yang beragama, beramal dengan agamanya dan punya akhlak yang baik. Dengan kata lain dapat membimbing kamu ke jalan yang lurus untuk ke syurga..”

Menurut firasatku serta analisis laras bahasa dan langgam susasteranya, sungguhpun catatan itu tidak bernama, ia ditulis serta mula disebarkan oleh kaum sejenismu juga.

Indah bahasanya masih terasa biarpun susunan diksi dan ayatnya tidak sehebat ayat-ayat romantis dari Sasterawan Negara Usman Awang mahupun Dato’ Kemala. Daku masih dapat merasa tulusnya pesanan si penulis, lantaran dadaku bergetaran menatapnya beberapa kali.

Namun, sayang sekali !

Mengapa sayang sekali, Adam ?

Biarpun kata-kata dalam catatan itu jelas mengiyakan ayat pertama dalam Surah An-Nisa’, daku berasa kaumku tidak dikenali dengan sebenar-benar kenal.

Mengapa, Adam ?

Sekuat manapun hati si perempuan meronta-ronta mendambakan cinta atau mencintai si lelaki, dia tetap mengharapkan lelakilah yang akan memulakan langkah dalam menjalinkan hubungan cinta. Biar hatinya rentung terbakar oleh rindu dan keinginan, dia lebih rela memendam rasa kerana ada malu.

Malu.

Itulah fitrah, itulah sunnatullah yang telah ditentukan oleh ar-Rabb buat kami. Itulah garis sempadan yang memisahkan sifat cinta lelaki dan cinta perempuan.

Menurut kitab Futuhat al-Makkiyyah, nukilan ahli Sufi bernama Muhyiddin Ibnu ‘Arabi ( yang  turut disetir dan diulas oleh Sachiko Murata dalam bukunya The Tao Of Islam ); Hawa diciptakan dari tulang rusuk Nabi Adam Alaihisolatuwassalam, maka hilangnya tulang rusuk mewujudkan ruang kosong dalam diri Nabi Adam. Ruang kosong itu Allah Taala isikan dengan kerinduan Nabi Adam terhadap Hawa, lantaran kekosongan tidak patut ada pada kewujudan. Justeru lelaki cenderung hatinya kepada perempuan kerana perempuan itu adalah sebahagian dari dirinya sendiri.

Adam,

Biarlah daku melanjutkan lagi… Hawa juga cenderung kepada Nabi Adam, atas sebab bengkoknya tulang rusuk yang digunakan dalam proses penciptaan Hawa. Tapi kecenderungan itu seperti kasihnya seorang perantau kepada kampung halamannya. Sungguhpun begitu perempuan lebih cenderung memendam rasa cinta dan berahinya, berbanding lelaki yang lebih cenderung berterus-terang. Mengapa ? Ada dua sebab. Pertama, sungguhpun Nabi Adam adalah ‘kampung halaman’ Hawa, namun tanah kampung tidak bersebati dengan diri Hawa. Kedua, kerana Allah Ta’ala menganugerahkan perempuan dengan hayya’ atau malu.

Kerana itulah daku sebagai perempuan berasa sedikit terkilan dan terluka. Saidatina Khadijah yang agung, biarpun beliaulah yang meminang Rasulullah Solallahualaihiwassalam, beliau melakukannya melalui Maisarah ( hamba lelakinya merangkap pembantu Rasulullah ) kerana beliau kenal benar akan dirinya yang punya hayya’.

Biarpun gerakan feminisme telah ‘berjaya’ menuntut persamaan hak antara lelaki dan perempuan, tak bermakna mereka berjaya menghapus fitrah yang ada dalam diri perempuan. Kami pada hakikatnya masih seperti dahulu, biarpun ramai yang telah gah ‘menunjuk kuat’.

Ya ampun, inikah akibat dari sikap mengkesampingkan ilmu mengenal hakikat diri dan mengenal Tuhan yang menciptakan kita ?

Adam,

Aku makin jauh darimu,

pabila kau

sekadar Bul-Bul berlegar di kaki langit musim bunga

berkicau lagu berahi yang terpendam

dan di matamu, aku

hanyalah mawar tersenyum.

 

Sedang aku,

bak teratai

tersenyum dibelai sinar suria

kelopaknya lerai berderai

pabila tangan kasar memisahkan ia dari kolam !

Puisi ini takkan tercoret di dairi dan terbenam di hati, kiranya kaummu beriltizam untuk kembali mengenal diri yang hakiki. Maksudku, diri rohaniah yang datang dari Tuhan dan membuat kita menjadi satu, serta diri jasad yang berasal dari tanah dan air yang menjadikan kita berbeza. Kenalilah dirimu bersungguh-sungguh dan sebenar-benar kenal, nescaya kau akan mengenali siapa daku. Daku yakin, kaumku tidak akan lama menderita dek menunggu-nunggu, jika kaummu benar-benar mengikut jejak para Anbiya’ dan Aulia. Yang halus hatinya terhadap kami kerana telah mengenal kami.

Sudah cukup ulasan dan luahan hati ini terhadap ungkapan pendek itu. Daku memohon maaf kiranya cara daku menyampaikannya adalah gempa dan tsunami yang menggugah diri keakuanmu.

Dengan setulusnya, dariku…

Hawa


Komentar»

1. Ismi Nailofar - Oktober 16, 2011

Nota : Boleh dikongsikan kepada semua, dengan syarat ia disertakan dengan pautan ke laman ini. Jazakallah.


Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.