Dialah Secercah Dari Cahaya Keindahan Illahi Oktober 31, 2011
Posted by Ismi Nailofar in Persuratan/Susastera.add a comment
~*~*~Maulana Jalaluddin Rumi ~*~*~
Mathnawi I: 2429-37
Air berkuasa ke atas api dengan ganasnya,
namun ia ( hilang kuasa lalu ) menggelegak pabila berada di dalam belanga
Lantaran belanga menjadi penghadang kedua-duanya ( dari bertemu, lantas ) api pun melenyapkan air dan merubahnya menjadi udara.
Seumpama air di atas api; jika engkau secara tersurat berkuasa ke atas wanita,
wanita secara tersirat berkuasa ke atas engkau,
engkau tercari-cari wanita dan menggelegak dijerang berahi padanya.
Sedemikian istimewanya sifat manusia,
lantaran haiwan, atas sebab kekurangan ( martabat )nya, kurang kasih sayang.
Rasul pernah bersabda ( bahawasanya ) wanita berkuasa ke atas si budiman dan si soleh.
Sedang si jahil menjadi berkuasa ke atas wanita-
dek turutkan rasa terburu-buru dan marah-marahnya.
Mereka kurang kelembutan, belas kasihan dan kasih sayang
lantaran sifat haiwani berkuasa ke atas fitrah mereka
Kasih sayang dan kelembutan itu sifat insani,
sedang amarah dan nafsu itu sifat haiwani
( Wanita ), Dialah secercah dari Cahaya Keindahan Illahi, bukan sekadar yang dicintai,
Dialah pencipta ( cetusan cinta ), engkau barangkali berkata dia bukan sekadar yang diciptakan.
P/S : Diterjemahkan dari : http://www.dar-al-masnavi.org/n-I-2429.html, sebaik-baiknya terjemahan ini dibaca bersama dengan teks dan keterangan di laman tersebut.
Sesuatu Yang Tak Kelihatan Itu Begitu Kuat Dan Tak Terkendalikan III Oktober 31, 2011
Posted by Ismi Nailofar in Persuratan/Susastera.add a comment
~*~*~Maulana Jalaluddin Rumi~*~*~
( Mathnawi II: 1300-1309 )
Dunia ini bagaikan jerami dipuput angin,
Ia melangsungkan hidupnya dalam keadaan tak berdaya. Dan ( angin itu ) Keadilan Hukum yang tak kelihatan ( dek mata kasar ).
Kadangkala membuat jerami itu terbang tinggi, kadangkala membuat ia terbang rendah;
Kadangkala membuat ia ( kekal ) sempurna, kadangkala membuat ia rosak ( seusai penerbangan ).
Lihatlah bagaimana angin menerbangkan ia ke kanan, dan kadangkala menerbangkan ia ke kiri;
Adakalanya menukarkan ia menjadi taman mawar, dan adakalanya menjadi ( rumpun ) duri.
Lihatlah bagaimana pena menulis sambil tangan yang menulis itu tersembunyi ( dari kertas ); lihatlah kuda tiba-tiba berkalih arah sementelah penunggangnya tidak melihat ( apa yang menggerakkan kuda itu lantaran debu berada di matanya ).
Lihatlah, bagaimana anak panah terbang, tatkala busurnya tidak kelihatan;
Lihatlah, bagaimana ruh-ruh menjadi bukti ( keberadaan ), tatkala Intipati ruh tidak kelihatan.
Usah patahkan anak panah derita itu, kerana ia adalah anak panah kepunyaan Raja.
Ia bukanlah satu bidikan panjang yang disengajakan ( untuk berbuat aniaya padamu ), ia berasal dari titik busur ( Raja yang ) Mengawasi(mu).
“ Engkau tidak melemparkan apabila engkau melemparkan”, Tuhan berfirman. Kerja Tuhan mengatasi kerja kita.
Patahkan amarahmu, usah patahkan anak panah itu; lantaran pandangan mata amarahmu melihat susu sebagai darah.
Sebaliknya, kuncupilah anak panah itu dan bawalah ia ke hadapan Raja- anak panah yang berlumuran dengan darahmu.
( Sungguh, ) sesuatu yang kelihatan itu tak berdaya, terbatas dan lemah. Tetapi, sesuatu yang tak kelihatan Itu begitu kuat dan tak terkendalikan !
P/S : Diterjemahkan dari fragmen berjudul ‘That Which Is Invisible Is So Strong and Uncontrollable‘, di laman http://www.dar-al-masnavi.org/n-II-1278.html. Penjelasan dan keterangan lanjut boleh diperolehi di sana.
Dua Jenis Pencinta al-Haqq* Oktober 31, 2011
Posted by Ismi Nailofar in Persuratan/Susastera.Tags: Mathnawi
add a comment
~*~*~Maulana Jalaluddin Rumi~*~*~
( Mathnawi III: 4595-4600 )
(Justeru ), pencinta yang membaca dan mengkaji kitab demi pengkajian adalah yang mencintai al-Haqq lantaran takut dan harap.
Namun pencinta yang mencintai al-Haqq demi al-Haqq adalah pencinta langka,
lantaran terpisahnya dia dari usaha dan matlamat peribadi.
Pun begitu, daya tarikan dari al-Haqq ‘kan menariknya kepada al-Haqq,
biarpun dia sebegini atau sebegitu, lantaran dia adalah pencari sejati.
Maka, kiranya dia adalah pencinta al-Haqq demi sesuatu selain-Nya,
agar dia mungkin memperolehi apa yang dihajati dari kebaikan-Nya,
Atau, kiranya dia adalah pencinta al-Haqq demi al-Haqq,
lantaran tiada sesuatu setara dengan-Nya dan berasa takut akan terpisah dari-Nya,
Pencarian kedua-dua pencinta itu ( hakikatnya ) berasal dari sumber daya sama,
dan penaklukan hati sebegini rupa adalah dari ( Dia ) Yang DiCintai.
*al-Haqq = salah satu nama Allah Subhanawataala dari senarai 99 Asma’ul Husna. Penulis memilih untuk mengekalkan kata dari teks asal Parsi Klasik ini, biarpun pengelola laman Dar-al-Masnavi telah menterjemahkan ia kepada God dalam versi Inggerisnya.
P/S : Diterjemahkan dari fragmen berjudul ‘The Two Kinds of Lovers of God’, http://www.dar-al-masnavi.org/n-III-4595.html. Penjelasan dan keterangan lanjut boleh diperolehi di sana.
Setelah sekian lama puisi terjemahan ini ‘berumah’ di laman Facebook, puisi inipun mendapat rumah di laman blog.
Khutbah Jumaat Sidi Yahya Rhodus Oktober 21, 2011
Posted by Ismi Nailofar in Tentang Kehidupan.add a comment
Khutbah jumaat oleh Sidi Yahya Rhodus di ISNA Canada, bersama Seekershub Toronto pada 23 September lepas…
KENALI DIRIMU DENGAN SEBENAR-BENAR KENAL, NESCAYA KAU AKAN MENGENALI DAKU ! Oktober 16, 2011
Posted by Ismi Nailofar in Tentang Kehidupan.1 comment so far
Ke hadapan Adam yang dikasihi dan dihormati,
Daku terpanggil untuk menitipkan catatan ini buatmu, begitu setelah terbaca catatan yang beredar dengan meluas di laman Facebook, Twitter dan laman-laman blog sejak kebelakangan ini. Catatan itu tidak lain dan tidak bukan adalah :
” Tulang rusuk Adam yang hilang, biarlah dia yang mencarinya sendiri. Hawa pula, tunggulah dan bersabarlah, tak perlulah kamu yang mencari Adam. Kerana kamu tetap tulang rusuknya yang hilang, dia akan datang mencarimu dan mengambilmu satu hari nanti. Apa yang boleh kamu usahakan Hawa ialah berdoa agar Adam yang datang itu adalah Adam yang beragama, beramal dengan agamanya dan punya akhlak yang baik. Dengan kata lain dapat membimbing kamu ke jalan yang lurus untuk ke syurga..”
Menurut firasatku serta analisis laras bahasa dan langgam susasteranya, sungguhpun catatan itu tidak bernama, ia ditulis serta mula disebarkan oleh kaum sejenismu juga.
Indah bahasanya masih terasa biarpun susunan diksi dan ayatnya tidak sehebat ayat-ayat romantis dari Sasterawan Negara Usman Awang mahupun Dato’ Kemala. Daku masih dapat merasa tulusnya pesanan si penulis, lantaran dadaku bergetaran menatapnya beberapa kali.
Namun, sayang sekali !
Mengapa sayang sekali, Adam ?
Biarpun kata-kata dalam catatan itu jelas mengiyakan ayat pertama dalam Surah An-Nisa’, daku berasa kaumku tidak dikenali dengan sebenar-benar kenal.
Mengapa, Adam ?
Sekuat manapun hati si perempuan meronta-ronta mendambakan cinta atau mencintai si lelaki, dia tetap mengharapkan lelakilah yang akan memulakan langkah dalam menjalinkan hubungan cinta. Biar hatinya rentung terbakar oleh rindu dan keinginan, dia lebih rela memendam rasa kerana ada malu.
Malu.
Itulah fitrah, itulah sunnatullah yang telah ditentukan oleh ar-Rabb buat kami. Itulah garis sempadan yang memisahkan sifat cinta lelaki dan cinta perempuan.
Menurut kitab Futuhat al-Makkiyyah, nukilan ahli Sufi bernama Muhyiddin Ibnu ‘Arabi ( yang turut disetir dan diulas oleh Sachiko Murata dalam bukunya The Tao Of Islam ); Hawa diciptakan dari tulang rusuk Nabi Adam Alaihisolatuwassalam, maka hilangnya tulang rusuk mewujudkan ruang kosong dalam diri Nabi Adam. Ruang kosong itu Allah Taala isikan dengan kerinduan Nabi Adam terhadap Hawa, lantaran kekosongan tidak patut ada pada kewujudan. Justeru lelaki cenderung hatinya kepada perempuan kerana perempuan itu adalah sebahagian dari dirinya sendiri.
Adam,
Biarlah daku melanjutkan lagi… Hawa juga cenderung kepada Nabi Adam, atas sebab bengkoknya tulang rusuk yang digunakan dalam proses penciptaan Hawa. Tapi kecenderungan itu seperti kasihnya seorang perantau kepada kampung halamannya. Sungguhpun begitu perempuan lebih cenderung memendam rasa cinta dan berahinya, berbanding lelaki yang lebih cenderung berterus-terang. Mengapa ? Ada dua sebab. Pertama, sungguhpun Nabi Adam adalah ‘kampung halaman’ Hawa, namun tanah kampung tidak bersebati dengan diri Hawa. Kedua, kerana Allah Ta’ala menganugerahkan perempuan dengan hayya’ atau malu.
Kerana itulah daku sebagai perempuan berasa sedikit terkilan dan terluka. Saidatina Khadijah yang agung, biarpun beliaulah yang meminang Rasulullah Solallahualaihiwassalam, beliau melakukannya melalui Maisarah ( hamba lelakinya merangkap pembantu Rasulullah ) kerana beliau kenal benar akan dirinya yang punya hayya’.
Biarpun gerakan feminisme telah ‘berjaya’ menuntut persamaan hak antara lelaki dan perempuan, tak bermakna mereka berjaya menghapus fitrah yang ada dalam diri perempuan. Kami pada hakikatnya masih seperti dahulu, biarpun ramai yang telah gah ‘menunjuk kuat’.
Ya ampun, inikah akibat dari sikap mengkesampingkan ilmu mengenal hakikat diri dan mengenal Tuhan yang menciptakan kita ?
Adam,
Aku makin jauh darimu,
pabila kau
sekadar Bul-Bul berlegar di kaki langit musim bunga
berkicau lagu berahi yang terpendam
dan di matamu, aku
hanyalah mawar tersenyum.
Sedang aku,
bak teratai
tersenyum dibelai sinar suria
kelopaknya lerai berderai
pabila tangan kasar memisahkan ia dari kolam !
Puisi ini takkan tercoret di dairi dan terbenam di hati, kiranya kaummu beriltizam untuk kembali mengenal diri yang hakiki. Maksudku, diri rohaniah yang datang dari Tuhan dan membuat kita menjadi satu, serta diri jasad yang berasal dari tanah dan air yang menjadikan kita berbeza. Kenalilah dirimu bersungguh-sungguh dan sebenar-benar kenal, nescaya kau akan mengenali siapa daku. Daku yakin, kaumku tidak akan lama menderita dek menunggu-nunggu, jika kaummu benar-benar mengikut jejak para Anbiya’ dan Aulia. Yang halus hatinya terhadap kami kerana telah mengenal kami.
Sudah cukup ulasan dan luahan hati ini terhadap ungkapan pendek itu. Daku memohon maaf kiranya cara daku menyampaikannya adalah gempa dan tsunami yang menggugah diri keakuanmu.
Dengan setulusnya, dariku…
Hawa
Khutbah Jumaat Oleh Sheikh Hamza Yusuf Oktober 15, 2011
Posted by Ismi Nailofar in Tentang Kehidupan.Tags: Tazkirah
add a comment
MEMULAKAN KEMBALI TINTA CINTA… Oktober 12, 2011
Posted by Ismi Nailofar in Uncategorized.add a comment
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang…
Dengan kalimat itu, penulis memulakan kembali penulisan blog Tinta Cinta Ismi’ Nailofar yang telah tertangguh-tangguh sejak tahun 2010. Setelah sekian lama ‘melela’ di laman Facebook, rasa sayang pula penulis untuk membiarkan ‘rumah’ yang tampak terbiar ini terus terbiar. Sementelah post di laman ini juga boleh diikuti oleh rakan-rakan di laman Facebook. Justeru, penulis pulang semula ke sini dan membenahi apa yang patut dibenahi. Rekabentuknya memang masih berwajah lama, namun pautan yang bermanfaat telah ditambah dan pautan ke laman-laman yang tidak berfungsi dibuang agar ‘nampak ke depan’. Kotak mesej Meebo juga telah ditambahkan agar pelawat bisa meninggalkan pesanan ringkas untuk penulis membacanya. Mungkin, dalam sedikit masa lagi, Insya-Allah, pembaca akan dapat melihat penampilan baharu laman blog ini.
Artikel lama yang bermanfaat untuk terus dikongsikan dengan para pembaca tidak dipadamkan. Sementelah saluran National Geographic Channel belum lagi menyiarkan siri baharu Air Crash Investigation, penulis menggantikan resensi siri ini dengan satu topik yang dekat dengan diri penulis dan telah lama dibincangkan di Indonesia dengan aktifnya ( namun di Malaysia sebaliknya ) iaitu Anak Indigo Dan Kristal. Penulis juga sesekali akan menterjemahkan artikel-artikel Islami dalam Bahasa Inggeris yang bermanfaat untuk dikongsikan bersama.
Penulis juga akan terus berkongsi pendapat tentang buku-buku dan artikel yang penulis baca, sekali-sekala. Semuanya dengan Izin Allah jua.
Untuk menangguhkan post pertama ini, penulis sukacitanya menyertakan kata-kata Sheikh Hamza Yusuf sewaktu beliau memulakan penulisan blognya di laman Sandala.org :
“ These are all areas of interest that I can write about. This is my first entry, and I hope to continue to blog and see what type of response I get. I am certainly open to suggestions of topics that people are interested in. All that I request is that we maintain the civility of our tradition, which is what we call adab.”








