jump to navigation

ZIARAh KEMBALI ‘ RAMPAS KEMBALI CINTANYA YANG HILANG’ November 21, 2009

Posted by Ismi Nailofar in Uncategorized.
add a comment

 

Ketika membelek-belek kembali lembaran majalah Dewan Sastera Jun 2008 baru-baru ini, penulis tiba-tiba terjumpa satu keratan akhbar yang terselit di celah-celah lembarannya. Entah mengapa penulis berhenti membelek-belek, lalu tumpuan terarah kepada keratan akhbar itu. Baca punya baca, rupa-rupanya keratan akhbar itu mengandungi artikel yang telah tersiar di akhbar Utusan Borneo pada 20 April 2009 yang lalu.

Rampas Kembali Cintanya Yang Hilang…

Dan pernah pula penulis memberi respon kepadanya di sini…

Dari ziarah yang pertama hingga ziarah yang sekarang, penulis kekal berada dalam posisi ‘Zaidah’. Dan kekal berpegang pada pendirian yang serupa dengan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil tentang status kritikan : ‘ Sulit untuk memperbaiki diri jika kritikan tidak spesifik’. Dan kali ini, penulis sukacita mengongsikan hasil ziarah yang kedua ini, sesuai ilmu dan pengalaman yang bertambah seiring dengan pergerakan masa.

Membuka wacana hasil ziarah itu, penulis sayugia mengongsikan idea bahawa; apa-apa pun posisi seseorang individu dalam sesuatu perhubungan manusiawi ( sahabat dalam persahabatan, suami/isteri dalam perkahwinan dan lain-lain ), wujud satu corak interaksi yang sama dan sudah tentu rumus yang satu untuk perhubungan yang kekal lagi berpanjangan.

Rumus yang satu itu bertitik -tolak dari dua perkara penting :

Pertama, untuk membuat diri sendiri begitu berharga/istimewa di mata sesiapapun, kita terlebih dahulu perlu memberi tanggapan yang diri kita sendiri begitu berharga/istimewa.

Kedua, individu yang tenang/bahagia itu menenangkan/membahagiakan.

 

 “ Kerana Dirimu Begitu Berharga !”

            Penulis sudah berulang-kali mendengar line yang menjadi sub-tajuk di atas. Dari bibir model yang berbeza-beza. Tahun demi tahun. Yang memujuk penulis untuk membeli produk kecantikan dari L’Oreal Paris, agar penulis kelihatan lebih cantik dari yang sebelumnya.           

            Penulis jadi terfikir lalu menyoal diri, mengapa L’Oreal Paris ‘mengkeramatkan’ slogan itu hingga langsung tidak pernah merubahnya sama sekali.

            Jawapannya terletak pada perkara pertama yang membentul rumus yang satu tadi !

            Sudah fitrah bagi manusia mempunyai keinginan untuk dihargai/diiktiraf kewujudannya di atas muka bumi ini. Dan berdasarkan pengamatan serta pengalaman penulis terhadap manusia dan tabiatnya serta korelasinya dengan sunnatullah/hukum Tuhan dalam mentadbir alam, mana mungkin seseorang akan mendapat tempat istimewa/penting di hati manusia yang lain, sekiranya dia sendiri beranggapan yang dirinya tidak istimewa/penting/tidak berharga.

            Mana-mana slot motivasi daripada mana-mana pakar sekalipun telah menekankan idea bahawa ‘ Anda ialah apa yang anda percaya’ dan ‘apa yang berada di dalam benak/minda anda akan dimanifestasikan sebagai realiti dalam hidup anda’. Jadi jika seseorang itu menganggap dirinya tidak penting, orang pun akan secara intuitif/by default memberi respon ( secara subtle ) yang diri orang itu tidak penting.

            Bagaimanakah penulis boleh bersetuju dengan perkara pertama yang membentuk rumus yang satu itu serta hujah dari majoriti pakar motivasi ? Terlalu banyak bukti nyata, tetapi penulis hanya akan berkongsi salah satu darinya. Bagaimana penulis telah menonton suatu rancangan masak-memasak di televisyen buat kali pertama, dan sesudah itu bertekad menjadi penonton setia malah mengamalkan tips masakan yang diberi dengan jayanya. Walhal, penulis merupakan seorang individu yang sedikit skeptikal dengan idea orang.

            Ada sesuatu pada diri tukang masak itu, yang melampaui paras rupa. Beliau tidak akan berjaya mempengaruhi penulis, jika beliau tidak punya sesuatu dalam dirinya dan itulah slogan, ‘ Kerana diriku begitu berharga !’. Yang terpancar lewat tindak-tanduknya di skrin TV.   

Bahagia Dan Membahagiakan

            Masih dengan cerita ringkas penulis dan si tukang masak.

            Si tukang masak tidak akan dapat mempengaruhi penulis, jika dia tidak berasa suka dan selesa dengan dirinya sendiri.

            Apa kaitannya dengan subtajuk di atas ?

            Rasa suka dan selesa dengan diri sendiri akan memotivasikan manusia untuk melakukan hal-hal yang mengagumkan tanpa ragu dan syak. Penulis yakin bahawa rasa suka dan selesa seseorang individu itu dipengaruhi oleh banyak perkara- kepercayaan agama, worldview/weltanschauung, persekitaran dan bermacam-macam lagi. Rasa suka dan selesa seseorang individu itu kepada dirinya pula mempunyai kaitan rapat dengan, bahkan mempengaruhi ketenangan serta kebahagiaan dirinya dan orang-orang di sekelilingnya.

            Dan individu yang bahagia dan tenang jiwanya semestinya menyukai dan selesa dengan dirinya.

            Dan secara sedar, penulis sebenarnya masuk kepada soal ketenangan dan kebahagiaan diri, perkara kedua dalam rumus yang satu.

            Resepi si tukang masak untuk membuat dirinya berasa berbahagia menjadi dirinya masih berstatus ‘misteri nusantara’ buat penulis hingga kini. Tetapi penulis, sebagai Muslim, percaya bahawa rahsia kebahagiaan diri ada satu : kesepaduan di antara memahami tujuan hidup sebagai manusia di atas muka bumi, dan menyedari hakikat bahawa manusia itu memang sudah diciptakan sebagai sebaik-baik makhluk.

            Cerita penulis dan si tukang masak serta pengalaman penulis yang lain cukup membuktikan betapa orang yang berbahagia dengan keadaan dirinya, meyakini dirinya begitu berharga, akan membahagiakan orang lain.

           

Bila diri ditanggapi secara negatif

Kembali kepada artikel yang penulis ziarahi itu, penulis artikel tersebut menekankan peranan isteri untuk menceriakan rumahtangga. Dan seperti biasa, berdasarkan pembacaan dan pengalaman diri, sunnatullah/hukum alam; penulis menyimpulkan yang perkara-perkara ‘yang dipinta penulis itu’ tidak dapat dilakukan jika diri seseorang isteri itu tidak ceria dan tenang serta punya tanggapan negatif terhadap dirinya.

Walaupun penulis masih dalam posisi ‘Zaidah’, penulis masih berupaya menyimpulkan begitu, kerana penulis percaya apa jua bentuk perhubungan kemanusiaan, punya satu corak yang sama dan universal : berdiri di atas asas yang satu dan ia bermula dari individu yang terlibat di dalamnya. Individu yang terlibat akan mencoraknya dengan corak positif atau corak negatif, tergantung kepada bagaimana dia menanggapi dirinya.

Menyentuh tentang tanggapan negatif individu terhadap dirinya, ia boleh terzahirkan dalam bentuk perlakuan, gaya berbahasa, caranya mengatasi dugaan hidup dan banyak perkara lain yang boleh diperhatikan dengan tajam serta saksama. Satu contoh, orang yang punya tanggapan negatif terhadap diri ini lazimnya punya tabiat tidak berpuas hati dengan apa jua yang buat sahabat atau pasangannya buat untuk membahagiakan dirinya. Itu tak kena, ini tak kena. Dalam soal kepemimpinan pula, individu sebegini biasanya akan bergantung kepada posisi dan kuasanya sebagai pemimpin agar kewujudannya diiktiraf, dan berdepan dengan kesukaran untuk mempengaruhi orang bawahan.

Penulis tidak berminat untuk berpanjang-lebar kerana buku-buku tentang membina perhubungan yang sihat serta membentuk estim diri yang positif berlambak-lambak dalam pasaran. Dan buku-buku itu lebih memperincikan hal-hal sebegini berbanding artikel blogs yang sekangkang kera ini.

Yang pasti, kebanyakan buku tersebut menekankan tanggapan negatif terhadap diri boleh wujud atas dua punca. Pertama, yang memang wujud dan timbul dari dalam diri seseorang itu tanpa pengaruh. Kedua, individu itu asalnya menyukai dirinya tetapi berubah setelah diasak persekitaran yang menekan.

Dan buku-buku itu turut menekankan betapa tiada kusut yang tak bisa dileraikan, masalah yang berpunca dari kedua-dua sumber masih punya jalan penyelesaian. Yang sudah tentunya perlukan sokongan dan dorongan dari mereka yang prihatin serta ingin melihat individu sebegini berbahagia. Jika masalah ini tidak teruk, sahabat atau pasangan individu tersebut bisa membawanya ke bengkel motivasi. Dan sekiranya individu terbabit tidak bisa ditangani secara biasa-biasa, maka bantuan professional seperti terapis terlatih amat diperlukan.

Apapun, perubahan hanya akan mengambil tempat jika ada kerjasama dari individu terbabit ! 

 

Justeru,

Kebahagiaan dalam perhubungan sesama manusia adalah kesepaduan dari penghargaan buat diri sendiri dan  ketenangan jiwa.

Wallahualam…

Artikel ini akan lebih bermakna jika dibaca bersama dengan artikel Ustaz Hasrizal Abdul Jamil – Kepemimpinan : Antara Kuasa Dan Pengaruh.

AIR CRASH INVESTIGATION 6 : SESUDAH TIRAI DILABUHKAN ( Sambungan III ) November 16, 2009

Posted by Ismi Nailofar in Dunia penerbangan/Aviation.
add a comment

Alhamdulillah, setelah dibelenggui masalah teknikal serta mendahulukan perkara-perkara yang lebih utama dan segera buat berapa ketika, resensi ini dapat diteruskan. Namun, ada rahmatnya kerana ada beberapa hal yang perlu diperhalusi sebelum menulis bahagian ini- tak perlu penulis nyatakan kerana penulis yakin bahawa mana-mana pembaca yang setia mengikuti resensi ini sejak mula –serta mengetahui tajuk-tajuk yang telah penulis bincangkan -akan memahami mengapa.

3. The Plane That Vanished

 

1115292

 

“ Sejarah pula mengajar saya membaca tabiat manusia. Jika amalan itu wujud akibat tabiat manusia, ia juga hanya boleh diperbaiki atau dihapuskan jika perlu, andai kita menanganinya bersesuaian dengan tabiat manusia.”

 

-Hasrizal Abdul Jamil dalam “ Siapa Saya Sebenarnya ?”

 

 

            Penulis tidak berniat untuk memperincikan kembali tentang nahas tragis Adam Air Penerbangan 574 ( yang dipaparkan susur-galurnya dalam episod The Plane That Vanished ) di sini, sementelah wikipedia.com telahpun memberikan laman khas yang begitu baik infonya, dengan pautan yang banyak untuk dirujuk-silang. Untuk resensi kali ini, penulis lebih senang untuk bermula dari petikan kata-kata Ustaz Hasrizal dalam saifulislam.com, kerana wacana perkara-perkara yang menarik dalam episod pilihan penulis kali ini bertitik-tolak dari petikan tersebut.

            Sejujurnya, sebelum penulis menonton episod ini, punca tragedi Adam Air 574 masih menjadi ‘misteri nusantara’ buat penulis. Maka, apabila penulis menonton episod ini buat pertama kali, penulis tidak terkejut dengan puncanya namun kekal tertarik. Tidak terkejut kerana penulis sebenarnya pernah mengikuti perkembangannya namun tersangkak sekerat jalan, ketika punca tragedi masih di tahap ‘bersangka-sangka’. Tertarik kerana hasil penyiasatan tragedi tersebut telah mendorong kerajaan Indonesia untuk mengambil langkah-langkah proaktif untuk memperbaiki kualiti sistem pengangkutan udara.

Sebelum memulakan wacana kali ini, sayugia penulis menyatakan bahawa hasil penyiasatan dan episod dokumentari ini jelas menunjukkan yang tragedi Adam Air 574 adalah suatu Kemalangan Organisasi/Sistem.

Dan apa kaitannya dengan petikan yang mula-mula di atas ?

260px-Adam_Air_Flight_574

Bermula Dari Sejarah

Menurut gagasan arus perdana dalam bidang yang mengkaji tabiat manusia sebagai penyumbang kepada terjadinya sesuatu musibah ( human factor ); untuk mengelakkan kemalangan organisasi/sistem dari berulang, kesilapan yang dilakukan oleh pihak pentadbir dan pembuat dasar ( latent factors ) yang menujah kesilapan dalam operasi ( active factors ) perlu dikenalpasti terlebih dahulu lalu diperbetulkan atau dihapuskan sama sekali.

Tidak dapat dinafikan yang gagasan ini telah mendorong kerajaan Indonesia untuk melakukan tindakan memperbaiki kualiti pengangkutan udara.

Dan gagasan arus perdana itu tidak akan bermula mahupun wujud tanpa melihat pentingnya sejarah dalam kehidupan manusia !

Kebanyakan ahli sejarah, saling bersetuju bahawa sejarah adalah alat untuk memahami dan menganalisis tabiat manusia. Sejarah bukan sekadar membaca untaian kejadian sesuatu peristiwa, mengingati tokoh-tokoh yang terbabit dalam peristiwa itu, serta tempat kejadiannya; bahkan sejarah memerlukan kita memahami bagaimana peristiwa itu dicatatkan dan bagaimana ia perlu difahami dalam kontekstual zaman ia berlaku. Dan belajar sejarah bermakna belajar sesuatu berkenaan manusia. Bukankah human factor itu sendiri adalah sesuatu berkenaan manusia ? Jika dikombinasikan dengan bidang psikologi, sejarah memperlihatkan bahawa setiap peristiwa yang terjadi dalam perjalanan zaman seumpama corak awan larat, memperlihatkan hakikat bahawa tabiat manusia sama ada baik atau buruk akan sentiasa berulang.

            Jika idea sebegini ditempatkan dalam konteks dunia penerbangan, maka setiap kemalangan udara yang berlaku merupakan suatu peristiwa bersejarah, kerana ada pihak yang membuat laporan siasatan ke atasnya dan laporan siasatan itu dikira sebagai dokumen sejarah yang berautoriti. Dan beberapa tragedi besar dalam dunia penerbangan jelas menunjukkan betapa perulangan corak di dalam tragedi demi tragedi yang berlaku telah memperlihatkan kecenderungan manusia untuk melakukan kesilapan dan kelalaian dalam konteks yang tertentu, lalu membuat beberapa orang terfikir bahawa sesuatu perlu dilakukan dengan tuntas untuk mengawalnya. Kedua-duanya telah menujah kemunculan gagasan baharu yang lebih bertenaga.

Gagasan arus perdana yang ada sekarang sebenarnya bertitik-tolak dari tragedi Penerbangan TE 901 yang berlaku di  Gunung Erebus, Antartika pada tahun 1979. Jika pembaca benar-benar ingin tahu tentang Penerbangan TE 901, sila ‘google’ dengan kod Flight TE 901, dan anda akan dapati begitu banyak laman web yang bercerita dan menganalisisnya. Tragedi TE 901 menjadi titik permulaan langkah signifikan ke arah gagasan keselamatan pengangkutan udara yang ada sekarang. Ketika tragedi TE 901 berlaku, mereka yang berada dalam dunia penerbangan-baik awam mahupun militer- masih terikat dengan klise-klise dalam aspek keselamatan penerbangan, persis ahli astronomi-astrologi  zaman pertengahan yang berpegang kepada paradigma matahari mengelilingi bumi oleh Ptolemy. Elok rasanya klise-klise itu disebutkan di sini : nahas udara semata-mata disebabkan sama ada cacat mekanikal/teknikal, cuaca dan kesilapan manusia yang mengendalikan pesawat udara. Termasuklah para penyiasat dari Air Accidents of the Civil Aviation Division (CAD) of the Ministry of Transport yang menyiasat tragedi tersebut. Hakim Peter Mahon-yang mengetuai Suruhanjaya Siasatan DiRaja untuk menyiasat tragedi yang sama dan jejak pemikirannya hampir mirip Galileo Galili atau Copernicus dalam konteks sains astronomi-astrologi, telah mencabar laporan yang dikeluarkan oleh CAD lewat laporan beliau sekaligus mencabar pemikiran yang sedia ada dalam komuniti penerbangan pada masa itu. Hakim Mahon, yang dibantu keterangan Gordon Vette ( Kapten senior dalam Air New Zealand pada masa itu, yang pendirian peribadinya tidak sehaluan dengan pendirian majikannya. Dan menyedari pendirian majikannya itu membawa padah jika tidak diubah. ) menyatakan bahawa kesilapan juruterbang bukanlah penyebab utama tragedi, sebaliknya dengan tegas menyatakan, “ In my opinion, therefore, the single dominant and effective cause of the disaster was the mistake by those airline officials who programmed the aircraft to fly directly at Mount Erebus and omitted to tell the crew.” Selain itu Hakim Mahon juga menyatakan sembilan punca lain , namun saling bersangkutan, yang dapat dikenalpasti turut menjadi punca berlakunya tragedi TE901.

            Walaupun pandangan beliau yang melawan arus telah ditolak dan beliau terpaksa melepaskan jawatan beliau kerana ketegasannya, pandangan beliau akhirnya berjaya membuka laluan kepada gagasan baharu yang akhirnya menyanggah semua klise. Itupun berlaku setelah terjadinya tragedi besar lain seperti kebocoran kilang Union Carbide di Bhopal ( 1984 ), kebocoran reaktor nuklear di Chernobyl ( 1986 ), kemusnahan pelantar minyak Piper Alpha ( 1988 ) dan lain-lain lagi.  Tragedi demi tragedi besar itu memperlihatkan dengan jelas perulangan corak dalam tabiat manusia, lantas mendedahkan hakikat bahawa dengan menangani tabiat manusia itu sendiri, kebarangkalian tragedi itu untuk berulang lagi menjadi semakin kecil . Bukan hanya tabiat manusia yang terlibat secara langsung dengan proses operasi seperti juruterbang, pengawal trafik udara, penyelia tapak/kilang dan lain-lain, tetapi juga tabiat manusia di peringkat pembuat dasar dan keputusan dalam organisasi. ICAO sendiri dalam Human Factors Digest No. 10 telah mengakui  : “ The Erebus report… generated violent controversy and remained inconspicuously shelved until recently…In retrospect, if the aviation community-and the safety community at largehad grasped the message from Antarctica and applied its prevention lessons, Chernobyl, Bophal, Clapham Junction, King’s Cross… would not have existed[i]. Dan pada tahun 1990, James Reason- seorang profesor bidang psikologi daripada Universiti Manchester telah mengorak langkah dengan menulis buku Human Error ( 1990 ) yang menyokong idea-idea Hakim Mahon dan Vette serta mereka yang menentang konvensi dalam aspek keselamatan aktiviti industri.

Dalam buku tersebut, Reason mengajukan pemikiran bahawa adalah fitrah bagi manusia untuk melakukan kesilapan, maka kecenderungan itu tidak boleh dihapuskan sama sekali. Kesilapan pula harus dibezakan dari perlanggaran aturan. Kesilapan ( tanpa mengira disengajakan atau tidak ) dan perlanggaran aturan, serta natijah dari kedua-duanya merupakan proses pembelajaran dan perbaikan dari aspek inovasi, kemajuan dan perlaksanaan operasi. Beliau menambah bahawa kebarangkalian untuk kesilapan dan perlanggaran aturan besar kemungkinan dapat dikurangkan dengan :

i)                          Memastikan individu yang terlibat dengan proses operasi adalah individu yang  serasi dengan amanat yang perlu dijalankan.

ii)                         Memastikan situasi/konteks/persekitaran proses operasi diuruskan dengan kaedah atau tabiat yang mana individu terbabit, kurang mungkin untuk melakukan kesilapan atau perlanggaran aturan yang membawa petaka.

Dan gagasan yang dimulakan oleh beliau turut diperkembang dan dimajukan bersama-sama pihak yang lain sesudah itu hingga munculnya Swiss Cheese Model Of Accident Causation ( seterusnya Swiss Cheese Model ) dalam buku yang seterusnya: Managing The Risks Of Organisational Accidents (1997).

Swiss Cheese Model tidak akan diperincikan di sini. Untuk mengetahuinya, ringkasan dari m/s 16-17 dalam e-majalah Flight Safety Digest edisi Februari 2001  begitu bermanfaat untuk diikuti.    

            Sungguhpun terdapat beberapa polemik yang mencabar serta membahaskan Swiss Cheese Model [ii], ia tidak menghalang Swiss Cheese Model dari digunakan oleh organisasi pengendali penerbangan serta diadaptasi oleh organisasi lain di luar bidang penerbangan dengan meluasnya. Dan polemik tersebut langsung tidak menghalang penulis dari melihat tragedi Adam Air 574 sebagai kemalangan organisasi, di mana latent factor dan active factor jelas bersinergi mencetuskannya, dengan latent factor yang berlaku dalam organisasi dibiarkan berleluasa begitu lama di dalam syarikat Adam Air oleh pihak pengurusan dan pembuat dasarnya, lalu tragedi 574 dan insiden udara yang membabitkan Adam Air seumpama menunggu masa dan tempat untuk berlaku.  

            Untuk menutup resensi bersiri ini, Penulis mengongsikan sesuatu yang bermain di benak penulis saat episod The Plane That Vanished berakhir :- Tanpa kewujudan mereka yang menyedari peri pentingnya sejarah, pengangkutan udara tidak akan menjadi popular dan selamat.

            Anda setuju ???   

Wallahualam…

( Gambar dari http://www.airliners.net dan wikipedia untuk gambar peta )


NOTA :

 

[i] Pada mulanya telah dipetik oleh Vette & Macdonald dalam buku Impact Erebus edisi 1999, di m/s. 3, dan kemudiannya dipetik oleh Andrew McGregor, dalam kertas kerja beliau di National IPENZ Conference, Wellington, New Zealand pada Mac 2006 bertajuk : Accidents, Failures, Mistakes and Leaky Buildings.

[ii] Antara mereka yang dikenalpasti terlibat dalam polemik yang mencabar Swiss Cheese Model ialah : Dr Steve Shorrock, Dr Mark Young, Kapten John Faulkner dari Jabatan Penerbangan, University of New South Wales, Australia, serta Dr Graham Braithwaite dari Pusat Keselamatan dan Penyiasatan Kemalangan, Cranfield University di United Kingdom, dengan kertas kerja mereka bertajuk : Who Moved My Swiss Cheese ? The ( R)evolution in Transport Safety- yang telah dibentangkan dalam ISASI Annual Conference 2004 di Gold Coast, Australia. Tidak dilupakan gandingan Rabekah L. Fox dari  Jabatan Komunikasi di Universiti Purdue dan Jennifer A. Ziegler dari jabatan yang sama tetapi di Universiti Valparaiso; melalui kertas kerja mereka – Beyond Active Failures And Latent Conditions: Applying Organizational Communication Metatheory To Rework The “Swiss Cheese Model” Of Accident Causation.