jump to navigation

AIR CRASH INVESTIGATION 6 : Sesudah Tirai Dilabuhkan ( Sambungan II ) September 14, 2009

Posted by Ismi Nailofar in Dunia penerbangan/Aviation.
add a comment

Sekadar selingan : Alhamdulillah, bersambung lagi resensi bersiri ini. Setelah bergelut dengan masalah talian yang menyebabkan penyaiarannya tergendala. Yang lebih penting, setelah bergelut melawan keletihan, rasa mengantuk, lapar, dahaga dan yang paling utama, rasa malas barulah penulis dapat menyambung resensi bersiri ini. Melayan rintangan sebegini sebetulnya hanya akan membantutkan kreativiti dan menyukarkan penulis mendapat kick-start untuk berkarya.

Atas beberapa hal yang sukar untuk disebut di sini, penulis sayugianya mengubah aturan yang telah disebut dalam artikel terdahulu. Maka, pengajaran yang diperolehi dari kes Partnair 394 akan diwacanakan terlebih dahulu.

Bagi yang baharu mengikuti resensi bersiri ini, sukacita diingatkan penulis hanya melihat dokumentari ini dari nazrah wajah seni yang ditampilkannya serta pengajaran dari aspek kemanusiaan- sudah tentu yang dikongsikan secara universal dengan bidang lain selain bidang penerbangan.

 

2. SILENT KILLER

 

Partnair_Convair_580_front 

 Isu yang paling segar dalam episod Silent Killer sudah tentunya isu penggunaan alat ganti tiruan. Aktiviti penjualan, pembelian dan penggunaan alat ganti tiruan ( juga alat ganti terpakai ) masih berleluasa di pasaran dan belum terbongkar ketika insiden ini berlaku. Dan tragedi Partnair 394 merupakan peristiwa kunci yang membongkar serta membasmi secara besar-besaran kegiatan yang dianggap sebagai jenayah perdagangan. Dipertegaskan, bukan hanya aktiviti ini, tetapi turut mendedahkan aktiviti pemalsuan dokumen dan cap mohor layak terbang FAA.

 

Di AS sendiri ketika itu, 39 peratus alat ganti yang dipunyai oleh FAA sendiri adalah tiruan. Alat ganti tiruan ini diperolehi dari pembekal yang punya nama besar dalam industri alat ganti pesawat. Apabila pihak yang mengaudit inventori FAA menelusuri lebih jauh inventori pembekal tersebut, didapati 95% alat ganti yang dijualnya adalah alat ganti tiruan. Tanpa rasa bersalah, gerun atau apapun perasaan perikemanusiaan, pembekal ini menjual alat ganti tiruan kepada syarikat penerbangan yang ingin menjimatkan kos penyelenggaraan. Lebih memburukkan keadaan, pembekal sebegini juga ‘tidak diikat oleh sebarang peraturan atau syarat’- menurut Mary Schiavo, inspektor general Jabatan Pengangkutan AS yang telah mengaudit FAA pada masa itu ( lihat gambar bawah kanan ). Mereka boleh sahaja mengambil alat ganti daripada tapak pelupusan, pesawat lama, pesawat yang musnah dalam nahas atau insiden serta pengilang alat ganti yang tidak diiktiraf.340x

Lebih memeranjatkan, pesawat Air Force One juga tidak terlepas dari penggunaan alat ganti tiruan. Dan sejak tragedi di perairan Denmark itu berlaku, peraturan yang lebih ketat serta tegas dikuatkuasakan dalam urusan jual-beli serta penggunaan alat ganti. Pembekal pasar gelap ditahan dan dipenjarakan atas tuduhan jenayah. Lantas, tragedi Partnair 394 menjadi nahas pertama dan terakhir yang disebabkan oleh penggunaan alat ganti tiruan

Isu-isu lain yang timbul dari episod yang sama sekadar perulangan dari apa yang penulis lihat sewaktu menonton episod Frozen In Flight. Namun ada baiknya dua daripadanya ditimbulkan lagi di sini bagi melihat perbezaan konteks atau sesuatu yang mungkin mencetuskan pemikiran baharu. Pertama, hal-hal yang bersifat bullshit dan idle talk juga muncul dalam tragedi Partnair 394. Seperti dalam tragedi di Roselawn, medialah ejen yang menimbulkan bullshit dan idle talk ini. Mengolahnya bagi mencetus sensasi yang bakal melariskan jualan dan rating waktu perdana. Bezanya, media di Norway telah membuat spekulasi bahawa Partnair 394 telah disabotaj, membayangkan kejadian di Lokerbie pada tahun sebelumnya berulang lagi.

Kedua, penulis juga sekali lagi melihat kepentingan pendekatan historikal dalam aspek penyiasatan sesuatu nahas/insiden udara. Kali ini, corak luar biasa yang dikesan pada kerajang perekod data dari kotak perakam data ( FDR ) memerlukan pendekatan ini untuk mencerakinkannya.

Sebelum corak luar biasa itu berjaya dicerakinkan, para penyiasat yang bertugas mempunyai tanggapan bahawa nahas Partnair 394 dicetuskan oleh getaran kuat pada unit janakuasa sokongan yang terpaksa digunakan oleh krew kokpit ekoran kerosakan pada penjana utama. Namun mereka sendiri menyangsikan tanggapan itu dan berasakan adanya prima causa yang lebih kuat dari itu. Kesangsian mereka nyata berasas setelah pakar yang memeriksa FDR pesawat berjaya mentafsirkan corak luar biasa pada kerajang perekod data. FDR dari jenis analog pada pesawat ini telah berjaya merakamkan aktiviti pesawat dalam tempoh 360 jam sebelum nahas. Pakar yang memeriksa kerajang tersebut membuat kesimpulan bahawa jarum pencatat yang sepatutnya mencatat data altitud pesawat telah bergetar dengan kuat sehingga menyebabkan ia meninggalkan corak yang luar biasa itu. Getaran itu telah berlaku berbulan-bulan lamanya, lantas memberi hipotesis kepada para penyiasat bahawa ada bahagian lain dalam pesawat yang turut bergetar selain unit janakuasa sokongan yang terpaksa digunakan pada hari nahas berlaku. Mereka menggunakan pendekatan historikal untuk mencari punca getaran dengan membuat carta getaran, membandingkannya dengan rekod penyelenggaraan pesawat sepanjang tempoh 360 jam dan melihat jika perkaitan antara kedua-duanya itu memberitahu adanya sesuatu. Mereka mendapati bahawa dalam tempoh dua bulan sebelum nahas, getaran telah berhenti selama dua minggu, dan sesudah itu getaran tersebut kambuh lagi dan kian teruk santak ke hari nahas berlaku. Jeda dua minggu itu disokong oleh kenyataan pihak Partnair bahawa pesawat berkenaan telah dihantar ke Kanada untuk penyelenggaraan. Para penyiasat turut menemuramah penumpang yang pernah menaiki pesawat berkenaan sepanjang tempoh dua bulan dan mendapati tiada getaran pelik yang dirasai oleh penumpang yang menumpanginya sepanjang minggu-minggu awal pasca-penyelenggaraan. Padanan yang menimbulkan tanda-tanya ini mendorong penyiasat melihat rekod penyelenggaraan itu sendiri. Mereka mendapati penggantian bolt telah dilakukan pada bolt yang menyambungkan penstabil tegak kepada fiuslaj, namun tiga daripada bolt yang digunakan untuk penggantian itu adalah bolt tiruan.

Disebabkan ketiga-tiga bolt ini hanya memiliki 60 peratus dari kekuatan alat ganti yang asli, maka getaran kuat dan luar biasa yang kedua tidak dapat ditampung seperti yang sepatutnya. Pendekatan historikal telah membawa para penyiasat pada kesimpulan bahawa nahas disebabkan oleh corak getaran sedemikian, yang bergabung dengan getaran dari unit kuasa sokongan ( APU ) yang terpaksa digunakan sewaktu nahas tersebut. Apabila kedua-dua getaran ini bertembung, terhasil fenomena fizik yang dipanggil sebagai resonans. Resonans ini telah terlebih dahulu memusnahkan ekor pesawat, yang seterusnya menyebabkan pesawat hilang imbangan lalu berpusing sebanyak dua kali sebelum menjunam ke laut.

 

Wallahualam.

Bersambung lagi…

Rujuk Silang : http://en.wikipedia.org/wiki/Partnair_Flight_394