AIR CRASH INVESTIGATION 6 : SESUDAH TIRAI DILABUHKAN Ogos 12, 2009
Posted by Ismi Nailofar in Dunia penerbangan/Aviation, Uncategorized.trackback
DENGAN tersiarnya episod Frozen In Flight, maka siri dokumentari Air Crash Investigation( selepas ini ACI ) Musim ke-6 telah selamat melabuhkan tirai penutupnya. Pada asalnya, ada satu episod lagi yang perlu disiarkan sebelum menutup musim ke-6, iaitu episod yang bakal menampilkan kes Air New Zealand ( selepas ini ANZ ) TE901, namun atas sebab-sebab yang tidak diketahui, episod itu tidak dibuat oleh Cineflix Canada.
Saking pengguguran kes ANZ TE901, maka ACI musim ke-6 hanya menampilkan 7 episod. Bermula dengan China Airlines 611, diikuti oleh Pan Am 103, Partnair 394, Operation Babylift, Tuninter 1153, Adam Air 574 dan American Eagles 4184. Daripada 7 episod berkenaan, tiga episod menampilkan isu baru dan segar, manakala yang selebihnya sekadar perulangan kepada isu-isu yang telahpun dimaklumi penulis sejak musim pertama lagi. Yang lebih menarik, salah satu episod dalam musim ke-6 merupakan sharh atau anotasi kepada salah satu babak dalam drama pentas Charlie Victor Romeo.
Artikel ini berminat untuk mengongsikan pengamatan umum penulis seusai menonton ketujuh-tujuh episod musim ke-6, serta mengongsikan pandangan penulis tentang isu-isu terpilih dari ketujuh-tujuhnya. Sebelum itu, sayugia penulis menyatakan, untuk menelusuri pendapat penulis selanjutnya secara adil, pembaca perlu memahami hakikat yang ACI dibuat di Kanada, yang membawa konotasi dunia Barat. Maka pembaca terlebih dahulu perlu memahami hakikat epistemologi Barat yang berdiri atas ‘ayn al-yakin ( empirical knowledge ) dan ‘ilm al-yakin ( rational knowledge ), atau lebih mudahnya konsep ilmu yang berasaskan pengalaman pancaindera dan penafsiran akal semata-mata.
PENGAMATAN UMUM
( Gambar Dari http://www.charlievictorromeo.com )
Menonton ACI dari musim ke musim, membawa penulis kepada pengalaman menonton yang memerlukan proses penghayatan dan penafsiran yang berbeza dari menonton filem atau drama cereka TV. Suatu proses yang mendatangkan kepuasan yang hebat di saat program-program siaran TV telah tepu dengan unsur-unsur hiburan bersifat semu serta menujah pergolakan emosi melulu.
Pengamatan ACI bermula dengan proses ‘seek first to understand, then to be understood’ terhadap struktural ACI dengan berasaskan musim siaran keseluruhannya. ACI mempunyai episod-episod yang boleh berdiri sendiri menghampiri format cerita berbingkai dalam seni Persuratan Melayu, tidak seperti siri drama cereka atau sebahagian dari siri dokumentari bersiri ( misalnya Meerkat Manor ) yang bersifat linear serta dinamika penghayatannya akan terputus apabila penonton gagal menonton satu episod. Penjelasan tentang format cerita berbingkai dalam seni Persuratan Melayu boleh diperolehi dalam tulisan Vladimir Braginsky yang bertajuk : Sistem Sastera Melayu Klasik dan Penilaiannya. ( dalam Dewan Sastera, Oktober 1989, m/s 42-51 )
Sebagai sebuah karya yang berasaskan pemahaman, perbahasan, analisis, sanggahan dan hal-hal lain yang relevan dengan pengembangan sesuatu idea, ACI menawarkan klu persoalan yang perlu dianalisis dan dikritik lewat tajuk pada setiap episodnya. Penulis, sepertimana Mohd Affandi Hassan ketika menjelaskan menjelaskan persoalan yang ditimbulkan dalam cerpennya yang berjudul Birokrat Tulen, bersetuju dengan pendapat dua orang sarjana Barat yang menyatakan kepentingan judul bagi mendapatkan klu dalam menganalisis persoalan sesebuah karya. Pendapat pertama datangnya dari Umberto Eco yang menyatakan judul sesebuah karya menjadi kunci untuk mentafsir karya tersebut. Manakala pendapat kedua dikeluarkan oleh John Fisher, yang menyatakan judul karya bertujuan untuk membantu tafsiran kepada keseluruhan karya[i]. Mengapa ? Penulis mengambil misal dari satu episod ACI musim ke-6, yang berjudul ‘Frozen In Flight’ untuk memperlihatkan kenapa penulis bersetuju dengan pendapat kedua-dua sarjana Barat ini. Perkataan Frozen, jika disangkut-pautkan dengan judul besarnya Air Crash Investigation itu sendiri, membayangkan insiden udara yang berpunca dari situasi kebekuan. Apa yang menjadi asbab kebekuan itu ? Jika dilihat dari aspek dunia penerbangan, sesuatu yang membekukan ada pada faktor cuaca dan iklim. Lalu cuaca apa yang bersifat membekukan ? Sudah tentu cuaca yang sejuk yang memungkinkan penurunan salji/hujan ais serta pembekuan air. Bila dan di mana pula cuaca sebegini muncul ? Maka muncul pula keperluan kepada jawapan bersifat geografikal, yang memerlukan penulis dan penonton membuka kembali sekurang-kurangnya buku teks Geografi peringkat PMR untuk memahami kemungkinan lokasi insiden. Frasa ‘In Flight’ pula membayangkan proses pembekuan itu berlaku sewaktu penerbangan. Apabila perkataan Frozen dan In Flight disatukan menjadi tajuk, maka kemungkinan besar yang ditawarkan oleh episod tersebut adalah : “ Insiden udara yang terjadi akibat cuaca beku, tapi apanya yang beku ? Enjin atau apa ? ”. Ternyata, seusai proses menonton episod tersebut, penulis mendapati insiden itu berlaku di wilayah Indiana, Amerika Syarikat sewaktu puncak musim luruh. Wilayah Indiana tertakluk kepada iklim sejuk jenis Prairie/Steppe. Dan cuaca sejuk musim luruh yang menghasilkan kerpasan beku di luar kelaziman menyebabkan pesawat kehilangan daya kawal pada sayap, yang tidak mampu diatasi oleh sistem anti-ais pesawat dan kemahiran juruterbang.
Penulis telah terkesan suatu hal yang menarik sewaktu menonton ACI musim ke-6. Hal tersebut ialah elemen emotif yang lebih terhad penampilannya, jika dibandingkan dengan musim-musim yang terdahulu. Ini mengingatkan penulis kepada ciri-ciri Gagasan Persuratan Baru janaan Mohd Affandi Hassan yang memberi prioriti kepada komponen ilmu di dalam ruang naratif sesebuah karya prosa berbanding komponen cerita. Cineflix Canada berkemungkinan besar mengurangkan kemunculan babak-babak gerun serta babak menagih simpati penonton bertujuan agar penonton lebih memfokus kepada pembentangan fakta dan wacana ilmiah yang terdapat di dalamnya, sesuai dengan sifat ACI itu sendiri yang menjadi wadah ilmu ( sekali lagi dalam konteks Barat ) berbanding drama detektif ala-ala siri CSI atau Detective Conan. Jika ada babak dramatik yang ditampilkan sekalipun, ia dipaparkan semata-mata sebagai sebuah set induksi yang berfungsi seakan-akan babak-babak dalam panggung Melayu Tradisional yang mendukung hukum sebab-akibat serta mengikat penonton untuk kekal duduk hingga akhir pertunjukan, namun berbeza kerana sebab-akibat dalam ACI bertujuan untuk memancing pertanyaan : “ Apa pula persoalan yang ditimbulkan dalam episod kali ini ? Bernaskah fakta-faktanya ? Sahihkah ia ? ”.
( Masih panjang lagi sebenarnya. Nantikan sambungannya… )
[i] Untuk rujuk silang, lihat Gagasan Persuratan Baru : Pengenalan Dan Penerapan, Bahagian 5 : Pengalaman Kretif Mohd Affandi Hassan; ‘Birokrat Tulen’ : Satu Analisis Kreatif Dari Sudut Persuratan Baru. Di bawah ‘Judul Karya Dan Tafsiran’ m/s :185.


Komentar»
No comments yet — be the first.