“ Tolong, Tolong, Jangan Letakkan Label Di Dahi Kami !”, Rintih Mereka Mei 9, 2009
Posted by Ismi Nailofar in Uncategorized.2 comments
Anak-anak adalah anugerah dan juga berupa dugaan daripada Tuhan. Justeru, mendidik mereka mestilah jelas dengan personalitinya. Tugas ibu bapa adalah sebagai pemberi semangat dan bukannya lagi sebagai pemberi arahan.
Dr. Robiah K. Hamzah,
Presiden Persatuan Wanita Islam Antarabangsa.
Tatkala melihat wajah kanak-kanak yang jernih, teduh bermata bening, lebih-lebih lagi yang penulis kenali sebagai mantan murid, nurani penulis selalu tersentuh keharuan. Betapa tidak, lewat anak mata mereka, ada rintihan yang dikongsikan mereka dengan penulis, “ Tolonglah, janganlah letakkan label di dahi kami, hanya kerana kami begini dan begitu. Kami hanya anak-anak yang kerinduan bimbingan dan kasih sayang kalian.”
Rintihan sebegitu memanggil-manggil penulis- yang pernah merasai amat pahit dan deritanya dilabel itu dan ini- untuk menulis ini agar suara dan keinginan mereka sampai di tangan pembaca.
Penulis selalu tidak dapat menafikan hakikat yang kanak-kanak, seaneh-aneh manapun tingkahlaku mereka, mereka secara fitrahnya tetap helaian kain sutera yang luhur lagi halus. Namun keluhurannya mudah tercemar dan kehalusannya mudah pula rosak, oleh persekitaran dan perbuatan orang dewasa- yang rapat dengan mereka tapi kacau rasa dan jiwa. Lebih-lebih lagi orang dewasa yang mempunyai sindrom terlalu mudah melabel orang dengan label-label tertentu : Pemalas, Bodoh dan macam-macam yang ada.
Ibu bapa sanggup mengorbankan masa dan tenaga demi memastikan anak-anaknya bahagia. Jika ada di antara anak-anak dipandang mereka sebagai ‘pemalas’, mereka tak sanggup membiarkan anak itu sebegitu sahaja. Lantas bangun memberi bimbingan dan didikan agar mereka berubah jadi pintar dan rajin.
Tapi dengan cabaran zaman pascamoden yang kian dahsyat, kaedah bimbingan dan didikan yang dipakai ibu bapa selalunya sudah menjadi tidak relevan lagi. Kaedah yang digunakan semakin melebarkan jurang di antara ibu-bapa dan anak-anak. Anak-anak mula beralih kasih pada rakan-rakan sebaya yang dianggap lebih memahami dan mudah berkomunikasi mesej hati ke hati.
Haruskah mengalah ?
Justeru, penulis berbesar hati untuk mengongsikan khazanah yang digali dari dua buah artikel yang penulis telah telaah. Pertama, dari artikel Ibu Bapa Pemacu Matlamat Anak yang tersiar di Aniqah April 2009 dan disusun oleh Roihan Mat Zaib. Kedua, dari artikel The Bounce Back Chronicles oleh Joe Kita dan tersiar dalam Reader’s Digest Mei 2009.
Penulis memetik dan menegaskan kembali kata-kata Dr Robiah K. Hamzah yang disetir dari artikel pertama ;
“ Anak-anak adalah anugerah dan juga berupa dugaan daripada Tuhan. Justeru, mendidik mereka mestilah jelas dengan personalitinya. Tugas ibu bapa adalah sebagai pemberi semangat dan bukannya lagi sebagai pemberi arahan.
Kajian mendapati apabila anak-anak menjadi remaja ( tambahan dari pemerhatian penulis : segelintir dari kanak-kanak generasi pascamoden seawal tujuh tahun juga relevan untuk dirujuk ! ), mereka tidak lagi menerima perintah sebaliknya lebih suka sekiranya ibu bapa menjadi rakan mereka.”
Maka, penulis menurunkan tips yang terdapat dalam artikel tersebut :
-
Anak-anak bukanlah orang suruhan tetapi mereka adalah rakan.
-
Beri ruang untuk mereka memproses arahan yang diberikan dan bukan memaksa mereka melaksanakan arahan yang diberikan.
-
Berikan masa dan TIDAK MENGARAH DENGAN NAFSU kerana anak-anak tidak selesa menerimanya.
-
Asuh mereka dengan contoh.
-
Cuba fahami mereka dan suka apa yang mereka suka.
-
Ibu bapa MESTI BERUBAH SIKAP iaitu jika selama ini suka memerintah, berubahlah menjadi rakan/sahabat kepada anak-anak.
Penulis juga sukacita menurunkan 10 Cara Membina Keyakinan Anak yang turut terdapat dalam artikel berkenaan :
-
Memberi kasih sayang berterusan pada anak-anak.
-
Membina keyakinan dalam diri anak-anak.
-
Mempunyai batas atau had bagi keadaan tertentu sebagai langkah keselamatan.
-
Memberi sokongan jika anak melakukan perkara baru.
-
Jangan takut jika kesilapan berlaku.
-
Sering memberi kata pujian kepada anak.
-
Menjadi seorang pendengar yang baik.
-
ELAKKAN membandingkan anak dengan orang lain.
-
Usah terlalu tegas dengan mereka sebaliknya cuba menjadi sahabat mereka.
-
Sering memberi galakan kepada anak.
Oleh sebab blogs dibuat bukan untuk menempatkan artikel nan panjang berjela, penulis bakal menyambung lagi artikel ini dalam bahagian kedua, yang bercerita panjang lebar tentang label-melabel dan kesannya pada mentaliti anak-anak. Dan sudah tentunya berbicara tentang artikel dari Joe Kita.
Wallahualam…

