Siapa atur Siapa ? Mei 4, 2009
Posted by Ismi Nailofar in Uncategorized.trackback
“ Kritikan saya adalah kepada idea, sikap dan pemikiran, bukannya kritikan ke atas individu. Biar pun semarah mana sekali pun saya kepada mana-mana individu, saya tetap waras untuk memisahkan di antara pemikiran dengan hal peribadi. Dengan tidak menyebut nama secara terbuka, ia tanda saya tetap menghormati mereka sebagai individu.”
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil,
Penulis Blogs saifulislam.com
Tatkala menghayati kata-kata yang dilafazkan oleh seorang Ustaz yang penulis sangat hormati ini, penulis pernah terfikir bahawa penulis dari satu aspek telah mengecam Puan DSR Erom secara terbuka, dan tidak menghormati beliau sebagai individu. Namun, penulis masih senada dengan Ustaz Hasrizal tentang hal kritik-mengkritik ini- kritikan adalah pada idea, sikap dan pemikiran, bukan pada individu. Jadi, sebelum memulakan wacana seterusnya, penulis memohon maaf kiranya Puan DSR Erom telah menyinggah ke blogs ini dan berasa tersinggung dengan cara penulis mewacana tulisan beliau di Utusan Borneo.
Terus ke wacana…
Manusia hanya hamba Tuhan.
Dan kebahagiaan seseorang hamba itu ialah pandai mengatur urusan dengan baik.
Sebagai individu Muslim, sebelum memutuskan apa benar atau tidak hujah kedua pada perenggan sebelumnya itu, lihat dulu apa dia hakikat ubudiyyah. Ubudiyyah itu maksudnya kehambaan.
Sebelum itu, penulis sukacita menyatakan pendirian penulis untuk melihat Islam dari kacamata CINTA ( pinjam kata Ustaz Faisal ). CINTA yang mampu meneutralkan segala macam racun BENCI dan DENDAM musuh luar yang dibungkus dalam label macam-macam jenama.
Faisal Tehrani, dalam novelnya Tuhan Manusia ( boleh dipersetujui, boleh tidak ) telah mewacanakan hakikat ubudiyyah. Watak Ali Taqi bertanya pada bapanya, apakah itu yang dimaksudkan dengan hakikat ubudiyyah. Jawab si bapa pada Ali Taqi, hakikat ubudiyyah itu ialah tidak melihat segala yang Allah berikan kepadanya sebagai hak milik sendiri. Kerana seorang hamba tiada hak milik. Harta dipinjamkan dan dibelanjakan dengan perintah Allah.
Perkara kedua dalam hakikat ubudiyyah ialah HAMBA TIDAK MENGATUR DIRI. Manusia jadi sibuk kerana perintah Allah. Dalam surah az-Zariyyat ayat 56, telah tersebut jelas perintah itu. Jadi, manusia sepatutnya tidak berasa stress mahupun tahzan, jika dia benar-benar faham kanun dalam ayat ke-56 surah tersebut.
Kata bapa Ali Taqi, “ Ketiga, bila kita sudah menyerahkan urusan kepada Pengurus Paling Atas, segala musibah dunia pun menjadi ringan. Kerana proses itu akan membolehkan kita merendah diri. Kita tidak perlu lagi mencari dunia Taqi, untuk mencapai sifat takatsur atau berbanyak-banyak dan tidak perlu pula berbangga yang bukan-bukan dengan sifat takabbur.”
Penulis sekali lagi membawa soalan Ali Taqi :
“ Jadi Abah… kalau orang mengamal dan memahami hakikat ubudiyyah ini maka penderitaannya pun lenyap ? ”
Jawapan si bapa tidak mengejutkan penulis.
“ Begitulah.”
Penulis sendiri berfikir sudah banyak kali, individu Muslim manakah yang mampu menolak rahsia kebahagiaan yang dinyatakan dalam Tuhan Manusia ini, walaupun datang dari sekolah pemikiran yang berbeza ?
Jika ada pendapat dari sekolah pemikiran Islam yang lain, yang lebih baik dan menarik tentang konsep manusia sebagai hamba Allah, apa salahnya dikongsikan bersama di ruang diskusi ?
Satu lagi persoalan untuk difikirkan bersama-sama : Siapa atur siapa sepatutnya ?
Wallahualam…

Jawapan pendek ialah “Haliq mengatur Qada’ dan Qadar (super program yang Maha Sempurna) sementara mahluk mengatur pilihan terbaik dari keilmuannya untuk mendapatkan hasil terbaik. Sebab itu saya selalu mengingatkan agar kita mendalami Carakerja (sunnah) Allah mengatasi segala lain yang kita laukan, agar dengan memahami Budaya kerja Allah, kita akan menjadi penganut Islam yang cuba membudayakan Kesempurnaan Allah dan CarakerjaNya. Sudah pasti sidat Maha Sempurnanya Allah tidak dapat dicapai oleh mahluk, tetapi yang penting adalah mengarah kepada atau membudayakan Carakerjanya atau memahami falsafah dan tujuan Allah berbuat sesuatu.
Kehidupan tidak lain dari melaksana HAKGUNA yang menjadi HAKMILIK Allah. “Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi, dan Aku ingin dikenali, maka Aku menjadikan mahluk ….” dan ingatlah peringatan “Bermulanya Agama itu adalah mengenaliNya”, bukan hanya mengenali NamaNya, tetapi mengenali CARAKERJANYA. Allah adalah segalanya, Dialah POTENTIAL ENERGY (dalam bahasa sains) dengan kita sebagai mahluk menterjemah atau menggunakan PE itu, yang secara saintifiknya disebut melakukan KINETIC ENGEGY. Bagaimana kita boleh selamat (menjadi Islam) sekiranya kita hanya menyibukkan diri dengan CARAKERJA MAHLUK yang tidak berasaskan kepada pembudayaan CARAKERJA HALIK.
Setuju dengan Ustaz HAJ, yang kita marah bukan orangnya tetapi sikap dan perangai yang dipegangnya.