Menjadi Zaidah… April 22, 2009
Posted by Ismi Nailofar in Uncategorized.trackback
( Dedikasi untuk Kekanda DSR Erom dan
pembaca artikel ‘Merampas Kembali Cinta Yang Hilang’ )
PENULIS sama-sekali tidak berminat untuk menjadikan blogs ini sebagai gelanggang tahkim, sekadar berkongsi pendapat alternatif/wacana balas dengan pembaca tentang artikel di atas, yang telah tersiar di akhbar Utusan Borneo pada Isnin 20 April yang lalu.
Reaksi sebagai penulis karya Dari Rose Quartz Ke Cakna Cinta dan Di Balik Lembut Kerudung Dan Teduh Wajahnya.
Dan sudah jadi salah satu kegemaran penulis untuk memulakan apa-apa wacana dengan set induksi dari karya penulis lain. Penulis berbesar hati untuk membawakan teks yang dipetik dari novel Pulau Renik Ungu, buah fikiran dan sukma Bonda Siti Zainon Ismail yang tercinta :
Wahai, didengarnya kelibas sayap helang laut. Decip ketilang air, sudah lanjutkah usiaku?
“Ayuhlah, jangan memilih sangat,” usik seorang Sasterawan Negara kala mereka menghabiskan sisa petang di lobi Hotel Hyatt setelah selesai bengkel sastera di Kinabalu. Bersuami atau tidak, memang selama ini tidak dirasakan kelainannya. Mungkin kerana dia lebih berhati-hati menyediakan kertas kerja, penyelidikan di perpustakaan atau di lapangan. Memenuhi undangan forum, seminar atau ceramah, lebih menarik daripada memenuhi undangan pesta perkahwinan keluarga. Lebih utama memilih senarai buku daripada memikirkan rumah tangga. Rumah tangga? Bukankah makna ‘rumah tangga’ itu mulai atau kerap kali meraguinya. Bayangannya terhadap definisi ‘rumah tangga’ kerap merujuk pada reka bentuk rumah Melayu tradisi. Ada tangga di depan anjung yang menghubungkan ruang tengah atau ibu rumah yang luas tempat berkumpulnya keluarga. Dapur di belakang sebagai pelengkap hidup. Dulu, tangga dihias indah. Rumah Melaka — bertangga batu, hiasan seramik berbunga-bunga; terjulur luas menyongsong halaman. Seakan melambai tamu agar mengunjunginya. Rumah menjadi harmoni dengan anjung terbuka. Serambi yang luas, tingkap dan jejenang membuat angin bebas keluar masuk. Tetapi itu dulu. Waktu nenek dan datuknya memastikan tapak rumah. Sempurnakah erti ‘rumah tangga’! Kini erti atau makna estetis dan filsafat tidak ada lagi. Cuma fungsinya sahaja. Memang ada bangunan dengan ratusan malah ribuan anak tangga di flat tinggi ibu kota, kemudian dilengkap lagi dengan kelancaran lif. Mana ada rumah bertangga lagi! Dengan lif, jalan singkat ke puncak mudah sekali dilalui. Begitu jugakah perkahwinan itu? Ah! Institusi asal perkahwinan juga telah tergelincir makna. Adiknya. Ya, adiknya. Tiba-tiba Zaidah teringat adiknya. Selepas berkähwin, setelah melahirkan anak pertama — hubungan keluarga, ibu anak Seakan terputus. Setiap kali adiknya berkunjung ke rumah, hanya Yati sahaja yang singgah. Suami hanya menghantar setakat pintu pagar. Dan datang lagi untuk menjemput Yati pulang. Di manakah perbualan mesra yang dapat menyegarkan kasih sayang. Di manakah kesilapan ‘rumah tangga’ itu? Duniakah yang bobrok atau manusia si penghuni alam yang menghodohkannya? Di mana pula cermin diri yang dapat memantulkan kekeruhan dan kejernihan nurani insani? Inilah jawapan atau kesan kecurigaan Zaidah, hingga tidak peduhi dengan kudrat alam! Aku ingin menumpah kasih sayang melalui kerjaku. Dengan mahasiswa. Dengan sahabat-sahabat dan terus membina persahabatan setiap kali bertemu teman-ternan baru.
“Tidak menjalin rasa batin?” tanya lagi si sasterawan.
“Oh! Tentu saja — rasa ilmu cukup merangsang saya untuk bekerja.” Memang sesekali dia tersentuh, berkeluh…
( m/s 54-55 )
Keluhan seorang Zaidah Johri Thibroni, sungguhpun terluah pada era penulis masih berada di sekolah rendah, tetap relevan hingga ke hari ini. Malah dalam era pascamoden dan serangan fikrah perkampungan global yang semakin menjadi-jadi sekarang, keluhan Zaidah itu kian benar adanya.
Membuat satu jukstaposisi antara keluhan Zaidah dengan salah satu persoalan dalam artikel yang ditulis DSR Erom, lalu menyorotnya dengan realiti hidup; yang hadir dalam minda penulis seusai pembacaan adalah : “ Pandangan dalam artikel Merampas Kembali Cinta Yang Hilang adalah pandangan seorang idealis yang benar-benar berat untuk dilaksanakan.” Semakin berat apabila meletakkannya saling bersebelahan dengan realiti hidup pascamoden yang penuh momokan.
Kenapa ?
Pertama, izinkan penulis menyorot pula pandangan seorang Citra Femina dari Di Balik Lembut Kerudung Dan Teduh Wajahnya, kerana jawapannya ada di situ :
“ …Bukannya saya tidak percaya pada qada’ dan qadar Allah. Percayalah Kapten, apabila majoriti dari kaum sejenis Kapten telah kembali menyedari hakikat sebenar kenapa dirinya harus wujud dengan ikhlasnya, lalu segala tindak-tanduknya pun berasaskan hakikat itu, masa itulah saya juga akan menjalani hidup seperti wanita lain yang Kapten kenali. Bercinta dan berbahagia dengan cinta…”
Lanjutkan lagi kata-kata Citra Femina…
“ Jadi, buat masa sekarang biarlah saya begini, Kapten. Kerana saya yakin dan percaya bahawa saya diciptakan bukan untuk lelaki yang hanya berbangga untuk memiliki dan menguasai kami !”
Betapa majoriti dari kaum lelaki itu sendiri telah membuat Citra Femina si juruterbang srikandi cuak lalu mengasosiasikan alam rumahtangga dengan satu istilah yang popular di kalangan juruterbang dan komuniti penerbangan, CFIT- Controlled Flight Into Terrain ( Penerbangan Yang Terkawal Telah Terbang Menuju ke Cerun ).
Sungguh satu pandangan yang menyebabkan Kapten Tajol Adros tersentak. Lantas mendalami pendapat Ibnu Arabi tentang cinta lelaki-wanita. Hakikat penciptaan Adam dan Hawa serta hikmahnya. Menyedarkan dirinya betapa dia dan majoriti kaum sejenisnya telah memilih untuk menjadi Julius Ceasar- Yang memandang wanita dengan pandangan, “ Aku lihat. Aku datang, Aku taklukkan !”.
Atau paling ngeri, terus terbayangkan ‘tilam dan bantal’ melulu apabila memikirkan wanita !
Penulis tidak berminat untuk berkhutbah atau menulis didaktik ala tulisan DSR Erom. Hanya menyetir pendapat watak-watak dari karya kreatif yang relevan sebagai jawapan, dan serahkan kepada pembaca dan buatlah seperti kata Nabil ( versi yang lebih berbahasa ) : “ Saudara-saudari fikirkanlah sendiri !”. Kerana penulis yakin, majoriti dari pengunjung blogs ini rata-rata orang-orang yang terpelajar, ulul albab dan tidak sukakan perubahan yang dipaksakan.
Kedua, sambung lagi tentang Zaidah…
Zaidah menyedari beberapa keinginan memajukan diri selalunya menjadikan wanita makin kehilangan nilai peribadi. Hayati, sahabat sarjananya berjuang terus-menerus untuk menyelesaikan pengajian ke peringkat doktor falsafah, terpaksa menangguhkan perkahwinan. Si lelaki tidak sabar, sanggup memkahi bakai adik iparnya. Hayati kecewa, merajuk, dan kini menctap di Vienna. Raihan yang terlewat jatuh cinta ingin menyempurnakan diri scbagai wanita, akhirnya meninggalkan lapangan kesarjanaan apabila bertemu Coln di Phnom Penh. Terkejut oleh manisnya cinta mereka menyatu dan berkeluarga dan kini menetap di Islamabad. Tetapi Zaidah terlalu berhati-hati dan sabar. Itulah pegangannya setiap kali ada mata helang mengintai yang bila-bila sahaja dapat mematahkan sayap simpatinya yang rapuh. Dia menghindar dan terus menghindar. Akhirnya dia lebih selamat berjalan sendiri.
Selamat berjalan sendiri… Bukankah ramai wanita era pascamoden lebih rela menjadi Zaidah, sebelum Henry Philip Baker ( baca Pulau Renik Ungu dulu ya… )datang dari indera suralaya mengetuk jendela kasih yang nyaris terkunci pateri ?
Rela menjadi Zaidah kerana majoriti ‘Adam-Adam’ yang ada bukan lagi ‘Adam-Adam’ yang pernah menakluki dua pertiga dunia suatu ketika dulu dengan keindahan akhlak dan budi pekerti berteraskan wahyu Illahiah. Rela menjadi Zaidah kerana sedar bahawa wanita sememangnya tidak patut menjadi lilin yang memusnahkan diri demi menerangi orang lain, sebaliknya patut menjadi rembulan yang meminjam kekuatan matahari untuk menerangi malam. Sementelah lagi, kalau hati ‘Adam-Adam’ sudah suka duduk dalam gelap-gelita dan menjauhi cahaya, apa perlunya pada lilin mahupun rembulan ?
Ada pula suara-suara yang menyatakan, “ Alah alasan… ‘Adam-Adam’ cuma manusia biasa… Banyak khilaf sana-sini. Terima sahaja apa yang ada. Nanti berubahlah dia perlahan-lahan.”
Jawapan penulis pada suara-suara itu : Mencegah masih lebih baik daripada mengubati.
Pemerhatian penulis terhadap kisah rumahtangga orang lain sudah lebih dari cukup untuk penulis menyetujui sebuah pendapat yang menyatakan hubungan rumahtangga yang berjaya memerlukan dua orang untuk menjayakannya, dan cukuplah seorang sahaja di antara mereka yang menjahanamkannya. Jika si isteri seorang sahaja yang berusaha sampai habis separuh nyawa tapi si suami sebagai nakhoda yang jahil dan kurang akhlak bersikeras membawa bahtera ke beting pasir, tak jadi juga !
Penulis sukacita mengemukakan kes pengendalian kokpit pesawat oleh juruterbang secara berpasukan sebagai analogi realiti kehidupan berumah-tangga dan pembuktian kebenaran pendapat di atas- cara yang lebih manis dan berakhlak berbanding terang-terangan membuka aib orang-orang yang paling dekat dengan penulis. Penulis mengambil kes insiden perlanggaran yang menimpa pesawat jumbo B747 kepunyaan Pan Am dan KLM di Lapangan Terbang Tenerife, Sepanyol pada tahun 1977. Dalam kes berkenaan, Kapten dalam pesawat KLM tidak mengendahkan teguran pegawai pertama dan jurutera penerbangan yang memberitahunya bahawa mandat perlepasan sebenarnya belum diberikan oleh menara kawalan kepada mereka. Kapten meneruskan perlepasan lalu pesawat mereka terlanggar pesawat Pan Am yang sedang mentaksi masuk ke susur masuk menuju terminal.
Insiden tersebut masih menjadi insiden paling mengerikan pernah berlaku dalam sejarah penerbangan.
Dalam realiti yang terjadi dalam banyak kes rumahtangga sekarang, si isteri berada di posisi pegawai pertama yang komited pada kesejahteraan bersama dan si suami sebagai kapten yang menjahanamkan segala-galanya. Si isteri menjadi lilin yang memusnahkan diri, menelan kepahitan hingga hilang keupayaan mewaraskan suasana atau terpaksa mengidap penyakit kanser pada akhirnya.
Selesai sudah menjawab soalan kenapa… Jadi…
Salahkah menjadi Zaidah jika ‘Adam-Adam’ yang ada pada hari ini cenderung berperwatakan seperti kapten KLM dalam insiden di Tenerife ? Salahkah menjadi Zaidah yang tabah menyendiri santak ke hari kemunculan Henry Philip Baker yang dari jauh penuh pengertian ?
Subhanallah, mewacana-balas satu artikel DSR Erom ini memerlukan siri maraton artikel blogs, kerana persoalannya berpencar, tidak memusat seperti artikel Nisah Hj. Haron atau Rebecca Ilham yang boleh diwacana-balas dalam satu artikel sahaja. Jadi wacana balas penulis ditangguh lagi hingga ke judul yang lain pula.
Wallahualam…

Di saat Kapten KLM mahu bergegas pulang dan bosan dengan keadaan persekitaran, dia telah hilang kawalan akal, atau telah membiarkan nafsunya melonjak mengatasi akalnya. Ketika itu sekiranya Co-Kepten berpendirian tegas, dengan melonjakkan akalnya mengatasi nafsu dan perasaannya, sudah pasti 2 jambo itu tidak bergelimpangan. Malangnya, ketika lonjakan nafsu mengatasi akal berlaku pada seseorang, dapatkah kita mengawal perasaan kita … yang sama-sama berada di persekitaran yang sedang membosankan? Kadarnya telah ditentukan, hanya pilihan kita, secara sedar atau tidak yang menentukan berlakunya kecelakaan. Sudah pasti Adam-adam di satu darjat yang lebih tinggi mengikut AQ, tetapi hanya ketika lonjakan akal mengatasi nafsu, dan tidak semasa nafsunya mengatasi akalnya. Bangunlah hawa … ketahuilah HAK mu. walaupun AQ tidak pernah menceritakan tentang bidadara dalam perbahasannya.