KENAPA NAILOFAR ? April 22, 2009
Posted by Ismi Nailofar in Uncategorized.trackback
( Untuk Kekanda Ina Marjanul Ulfah dan Adinda Tuah Sujana yang budiman khususnya, dan untuk mereka yang tertanya-tanya : KENAPA NAILOFAR ? )
Iqbal,
Imtihan Niha’ie semakin hampir.
Aku kini membilang hari.
- Nailofar
Siapakah engkau ?
Iqbal menelan liur. Matanya masih tepat ke monitor.
Hatinya kian geram. Sudah dua kali dia membaca perutusan yang disalinnya dari kantung e-melnya semasa ke kafe siber untuk dibaca menerusi komputernya di rumah. Isi ringkasnya cukup untuk menerangkan bahawa Nailofar seorang yang mengambil benar tentang dirinya.
Walaupun sudah beberapa kali e-mel Nailofar datang bertandang, belum sekali Iqbal membalasnya. Dia sekadar membiarkan, tetapi gadis itu bagaikan tidak jemu-jemu.
” Aduhai, siapakah engkau hai Nailofar?” bisik Iqbal sendiri.
Iqbal menyebut nama aneh itu berkali-kali.
Dia tidak menafikan. Memanglah ia suatu nama yang nian indah. Bagaimanakah agaknya gerangan tuan yang memiliki nama yang sebegitu klasik? Secantik gadis impiannyakah?
( Sesegar Nailofar, Bab 10 m/s 102 )
BAGI yang pernah bertanya kenapa Nailofar dan bertanya apakah penulis telah terpengaruh dengan novel yang telah digarap oleh Zaid Akhtar ini, penulis tidak dapat menafikan bahawa Ismi’ Nailofar yang menjadi nama pena penulis telah mendapat inspirasi dari novel ini.
Bagi mengetahui susur galur jejak kreatif nama pena ini, izinkan penulis meneruskan petikan dari novel ini.
SEMALAM, tanpa disangka, semasa ralit mengulangkaji dia menemui nama itu lagi. Rupanya nama itu sering disebut dalam puisi-puisi Andalusia yang sedang dipelajarinya. Tetapi maknanya, secara tepat dia tidak pasti. Dia tidak dapat mengagak. Apatah lagi puisi-puisi Andalusia lebih payah difahami berbanding puisi Arab biasa mahupun klasik seperti puisi zaman Jahiliyyah, Umaiyah dan Abbasiyyah.
Adakah itu nama seorang perempuan terkenal dan rupawan pada zaman kegemilangan Islam di Sepanyol atau nama sejenis tumbuhan ?
Didorong perasaan ingin tahu yang menunu itu Iqbal lantas mencapai Lisanul Arab, kamus bahasa Arab yang paling akbar pernah dihasilkan. Dia mencari-cari perkataan Nailofar. Malangnya tiada.
Iqbal terdiam sejenak. Berfikir.
Bilakah Lisanul Arab dihasilkan? Adakah sebelum atau selepas pembukaan Andalus? Jikalau Ibn Manzur menyusun kamus ini sebelum Thariq bin Ziad menyeberangi Selat Gibraltar menggempur Kristian Sepanyol bermakna perkataan ” Nailofar” pasti tidak akan ada dalam kamus yang agung ini.
Dia lalu mencapai beberapa kamus lain yang lebih mutakhir. Dan tekaannya tidak meleset. Dia menemukan makna perkataan Nailofar.
Nailofar memang berasal daripada bahasa Andalus, tetapi telah diarabkan. Ia nama kepada spesies bunga yang habitatnya di dalam air. Spesies yang hampir sama dengan lili dan teratai.
Iqbal terkelip-kelip, cuba memikirkan di manakah lojiknya seseorang boleh menyukai nailofar. Apakah simboliknya?
Bunga spesies ini setahunya tidaklah seharum mawar, tetapi kerana hidupnya hanya di dalam air menjadikannya sentiasa segar dan lambat layu. Barangkali kerana kesegaran itulah gadis itu menyenangi bunga ini. Tidak mawar, dahlia, telukis, kemboja, anggerik, dan sebagainya, tetapi nailofar.
Lantas dipilih nama Nailofar, Iqbal beranalogi.
Tetapi, maujudkah gadis Melayu yang menyukai bunga nailofar ?
Belum pernah didengar!
( m/s 102-105 )
Entah kenapa Nailofar- nama yang disebutkan oleh Ustaz Zaid tiba-tiba menggoda-goda benak. Dada penulis berdebar-debar mendengarkan nama itu.
Nailofar memang berasal daripada bahasa Andalus, tetapi telah diarabkan. Ia nama kepada spesies bunga yang habitatnya di dalam air. Spesies yang hampir sama dengan lili dan teratai.
Mudah-mudahan dengan izin Allah, hasil siasatan tentang nailofar dari aspek botanikal bakal menyusul sesudah ini.
( p/s: Jawapan penulis untuk Iqbal : Dengarkanlah, gadis Melayu yang menyukai nailofar memang maujud. Tapi, jika Iqbal inginkan gadis Melayu tulen, maaf. Penulis berdarah kacukan yang bukan Pan-Asia. )
Apabila penulis membuat perenungan tentang mesej yang tersembunyi di balik citra nailofar ini, penulis tersentuh hati lalu penulis memilih bunga ini sebagai perwakilan survival jati diri seseorang, walau di mana dia berada. Nailofar boleh sahaja berada di air kolam atau paya berlumpur, tapi kecantikannya tak tergugah. Sebegitulah manusia sepatutnya, tidak mudah terpengaruh dengan persekitaran yang berbudaya kumal dan bejat, justeru cekal mempertahankan rumah budayanya yang bertiangserikan agama.
Nailofar ini penulis tanggapi secara peribadi, sebagai perlambangan untuk cinta suci dan setia. ( nota : Menjukstaposisikannya dengan bunga mawar, penulis menanggapi mawar sebagai lambang cinta yang melihat dengan pandangan ‘tilam dan bantal’-meminjam kata Ustaz Faisal Tehrani. ) Kenapa ? Nailofar sentiasa segar dan penuh walau tidak disirami air, sedangkan mawar mudah hilang kesegarannya jika tidak selalu disiram dan itu perlu kepada usaha pemugaran yang berterusan. Nailofar juga tidak perlukan duri seperti mawar yang selalu dihampiri oleh tangan-tangan yang ‘sok suci’ gara-gara harumannya yang selalu menggoda-goda di khalayak ramai. Jika haruman nailofar tidak menggoda khalayak untuk memetiknya, apa perlunya nailofar pada deduri ?
Sementelah lagi, cinta berasaskan unsur ‘tilam dan bantal’ selalu dihantui curiga dan sangsi.
Jadi penulis mengambil Nailofar sebagai nama pena. Teruskan lagi dengan susur galurnya…
Sewaktu membaca artikel tentang Orhan Pamuk, penulis terkesan tajuk sebuah novelnya sebegini : My Name Is Red ( Jika ada yang tahu tajuknya dalam Bahasa Turki, tinggalkan sahaja di papan mesej. ). “Nama Saya Merah”. Penulis tertujah dengan tajuk ini, dan terfikir : “ Apa salahnya jika nama pena saya berbunyi, ‘Nama Saya Nailofar’. ?” Penulis tak berhajat mencedok terus frasa My Name dalam bahasa Turki. Jika digabungkan dengan nama Nailofar, aduh !
Lalu dicarilah frasa yang setara dengan frasa ‘Nama Saya’ dalam bahasa Arab. Alhamdulillah, bunyinya Ismi’. Dan jadilah nama Ismi’ Nailofar yang telah menenggelamkan nama Aulia Humaira.
Mudah-mudahan dapat memuaskan hati-hati yang dilanda panasaran. Wallahualam.

Nota kemaskini, 29 April 2009 : Setelah membuat pembacaan semula, penulis menyedari wujudnya apa yang dikatakan dalam Bahasa Arab sebagai istihalah ijtima’ an-Naqidhain wa irtifa’uhuma atau wujudnya dua hal paradoks yang mustahil untuk ada titik temuannya. Lalu penulis membuat semakan semula terhadap tulisan ini dengan memilih pendapat yang lebih meyakinkan pembaca tentunya. Nailofar kekal sebagai Nailofar, teratai tetap sebagai teratai. Wallahualam.
Salam, maaf kan kekanda tidak berkesempatan menziarahi adinda selalu mahupun menatap tulisan-tulisan adinda di sini dan media cetak. Apa pun TAHNIAH!!! dengan tersiarnya Titip Doa Buat Durratun-Nasuha di Dewan Sastera. Penambahan kata-kata SN Arena Wati memantapkan karya asal TDBDN.
Emmm Nailofar, memang indah nama itu. Terjawab sudah teka-teki nama adinda. Terima kasih adinda sudi berkongsi rahsia ini dengan semua. Selamat Menulis! Teruskan, adinda bakal menggegarkan persada sastera suatu hari nanti.
Kebolehan menterjemah Nailofar sebagai teratai pada satu masa dan kemudian kembali kepada menjadi diri kembali adalah keboleh yang perlu dipuji dan latih berulangkali. Nailofar sebagai teratai adalah metafora, yang mahu mengambarkan kesungguhan diri mengenal Penciptanya. Nailofar mempunyai akal dan teratai tidak, tetapi lupakah bahawa teratai lehik kerap, amlah sentiasa bertasbih kepada Penciptanya, sedangkan dengan nafsu, Nailofar memungkinkan akal menjadi tergelincir dalam pengawalannya, semasa cuba sentiasa bertasbih kepada Pencipta. Di saat Nailofar bertasbik kepada Pencipta, maka diri sebagai teratai, tetapi terlelapnya diri bertasbih menjadikan diri kembali menjadi diri.
Assalamualaikum…
Terima kasih Kekanda Ina dan Pak Din atas lawatannya.
Pak Din, saya tidak dapat menolak kata-kata Pak Din kerana intipatinya telah ada difirmankan Allah SWT dalam Surah Yusuf, ayat 58 ( betulkan jika tersilap ). Kebetulan terlihat ayat itu pagi ni…
Nilai tambah :
“ Sewaktu membaca artikel tentang Orhan Pamuk, penulis terkesan tajuk sebuah novelnya sebegini : My Name Is Red ( Jika ada yang tahu tajuknya dalam Bahasa Turki, tinggalkan sahaja di papan mesej. ). “Nama Saya Merah”.”
My Name is Red dalam Bahasa Turki berbunyi : Benim Adim Kirmizi.
Dalam kelupaan yang berbaur dengan keinginan mencari artikel dalam majalah lama, tiba-tiba penulis terjumpa apa yang diinginkan lewat majalah Dewan Sastera Jun 2006 dalam koleksi penulis. Sesungguhnya keinginan yang tertimbul itu punya hikmah rupanya !
Wallahualam…
1. “Bagaimanapun, dari ‘SSAS Benih’, “1. Benih Islam telah tersemai di Alam sejak Azali (Big Bang). Benih Islam adalah benih terbaik yang sedia digunakan dalam semua ruang dan masa. Dengan menyemai benih ini kepada ruang yang yang kita berada, benih Islam akan bercambah menjadi cara menyelesaikan semua permasaalahan yang timbul. Segala nilai yang baik adalah berlandaskan kepada Islam. Maka, mustahil Islam akan dapat dimusnah, kerana secara fitrahnya kehidupan asas, iaitu Alam tanpa manusia, adalah semuanya Islam. Hanya apabila tiada Alam ini barulah tiada Islam. Alam ialah semua 7 Alam-alam yang kita sebagai roh tempuhi. Muslim yang berasaskan nama, mungkin dapat dimusnahkan mereka.”
Dari http://sharudin.com/2009/02/12/s80-k12-idea-singkat/
2. “2. Dari sebelum N Adam dilahirkan, Islam telah bertapak di atas Bumi. Segala-gala yang ada di Bumi, sebelum itu sentiasa mengikut program Allah, kerana dengan akal yang terbatas, mahluk ketika itu tidak punya banyak pilihan. Hanya apabila manusia diberikan akal secukupnya, mereka mempunyai banyak pilihan dan seterusnya mula berstrategi (makar), cuba memperbaiki cara yang telah diberikan atas keperluan mengikut nafsu sendiri. Sedikit demi sedikit mereka, secara tidak sedar membawa Islam keluar dari landasan sebenarnya. Ketika itu Allah turunkan Nabi seterusnya, bagi memperbetul keadaan dan meletakkan Muslim di atas landasan yang betul. Malangnya setelah Nabi yang diutus pergi, generasi baru mula berstrategi kembali dan secara tidak sedar mengikut perangai leluhur meraka dalam menyebabkan Muslim terkeluar dari landasan lagi dan lagi.”
Dari http://sharudin.com/2009/01/29/s69-ssas-benih/