Menjadi Zaidah… April 22, 2009
Posted by Ismi Nailofar in Uncategorized.1 comment so far
( Dedikasi untuk Kekanda DSR Erom dan
pembaca artikel ‘Merampas Kembali Cinta Yang Hilang’ )
PENULIS sama-sekali tidak berminat untuk menjadikan blogs ini sebagai gelanggang tahkim, sekadar berkongsi pendapat alternatif/wacana balas dengan pembaca tentang artikel di atas, yang telah tersiar di akhbar Utusan Borneo pada Isnin 20 April yang lalu.
Reaksi sebagai penulis karya Dari Rose Quartz Ke Cakna Cinta dan Di Balik Lembut Kerudung Dan Teduh Wajahnya.
Dan sudah jadi salah satu kegemaran penulis untuk memulakan apa-apa wacana dengan set induksi dari karya penulis lain. Penulis berbesar hati untuk membawakan teks yang dipetik dari novel Pulau Renik Ungu, buah fikiran dan sukma Bonda Siti Zainon Ismail yang tercinta :
Wahai, didengarnya kelibas sayap helang laut. Decip ketilang air, sudah lanjutkah usiaku?
“Ayuhlah, jangan memilih sangat,” usik seorang Sasterawan Negara kala mereka menghabiskan sisa petang di lobi Hotel Hyatt setelah selesai bengkel sastera di Kinabalu. Bersuami atau tidak, memang selama ini tidak dirasakan kelainannya. Mungkin kerana dia lebih berhati-hati menyediakan kertas kerja, penyelidikan di perpustakaan atau di lapangan. Memenuhi undangan forum, seminar atau ceramah, lebih menarik daripada memenuhi undangan pesta perkahwinan keluarga. Lebih utama memilih senarai buku daripada memikirkan rumah tangga. Rumah tangga? Bukankah makna ‘rumah tangga’ itu mulai atau kerap kali meraguinya. Bayangannya terhadap definisi ‘rumah tangga’ kerap merujuk pada reka bentuk rumah Melayu tradisi. Ada tangga di depan anjung yang menghubungkan ruang tengah atau ibu rumah yang luas tempat berkumpulnya keluarga. Dapur di belakang sebagai pelengkap hidup. Dulu, tangga dihias indah. Rumah Melaka — bertangga batu, hiasan seramik berbunga-bunga; terjulur luas menyongsong halaman. Seakan melambai tamu agar mengunjunginya. Rumah menjadi harmoni dengan anjung terbuka. Serambi yang luas, tingkap dan jejenang membuat angin bebas keluar masuk. Tetapi itu dulu. Waktu nenek dan datuknya memastikan tapak rumah. Sempurnakah erti ‘rumah tangga’! Kini erti atau makna estetis dan filsafat tidak ada lagi. Cuma fungsinya sahaja. Memang ada bangunan dengan ratusan malah ribuan anak tangga di flat tinggi ibu kota, kemudian dilengkap lagi dengan kelancaran lif. Mana ada rumah bertangga lagi! Dengan lif, jalan singkat ke puncak mudah sekali dilalui. Begitu jugakah perkahwinan itu? Ah! Institusi asal perkahwinan juga telah tergelincir makna. Adiknya. Ya, adiknya. Tiba-tiba Zaidah teringat adiknya. Selepas berkähwin, setelah melahirkan anak pertama — hubungan keluarga, ibu anak Seakan terputus. Setiap kali adiknya berkunjung ke rumah, hanya Yati sahaja yang singgah. Suami hanya menghantar setakat pintu pagar. Dan datang lagi untuk menjemput Yati pulang. Di manakah perbualan mesra yang dapat menyegarkan kasih sayang. Di manakah kesilapan ‘rumah tangga’ itu? Duniakah yang bobrok atau manusia si penghuni alam yang menghodohkannya? Di mana pula cermin diri yang dapat memantulkan kekeruhan dan kejernihan nurani insani? Inilah jawapan atau kesan kecurigaan Zaidah, hingga tidak peduhi dengan kudrat alam! Aku ingin menumpah kasih sayang melalui kerjaku. Dengan mahasiswa. Dengan sahabat-sahabat dan terus membina persahabatan setiap kali bertemu teman-ternan baru.
“Tidak menjalin rasa batin?” tanya lagi si sasterawan.
“Oh! Tentu saja — rasa ilmu cukup merangsang saya untuk bekerja.” Memang sesekali dia tersentuh, berkeluh…
( m/s 54-55 )
Keluhan seorang Zaidah Johri Thibroni, sungguhpun terluah pada era penulis masih berada di sekolah rendah, tetap relevan hingga ke hari ini. Malah dalam era pascamoden dan serangan fikrah perkampungan global yang semakin menjadi-jadi sekarang, keluhan Zaidah itu kian benar adanya.
Membuat satu jukstaposisi antara keluhan Zaidah dengan salah satu persoalan dalam artikel yang ditulis DSR Erom, lalu menyorotnya dengan realiti hidup; yang hadir dalam minda penulis seusai pembacaan adalah : “ Pandangan dalam artikel Merampas Kembali Cinta Yang Hilang adalah pandangan seorang idealis yang benar-benar berat untuk dilaksanakan.” Semakin berat apabila meletakkannya saling bersebelahan dengan realiti hidup pascamoden yang penuh momokan.
Kenapa ?
Pertama, izinkan penulis menyorot pula pandangan seorang Citra Femina dari Di Balik Lembut Kerudung Dan Teduh Wajahnya, kerana jawapannya ada di situ :
“ …Bukannya saya tidak percaya pada qada’ dan qadar Allah. Percayalah Kapten, apabila majoriti dari kaum sejenis Kapten telah kembali menyedari hakikat sebenar kenapa dirinya harus wujud dengan ikhlasnya, lalu segala tindak-tanduknya pun berasaskan hakikat itu, masa itulah saya juga akan menjalani hidup seperti wanita lain yang Kapten kenali. Bercinta dan berbahagia dengan cinta…”
Lanjutkan lagi kata-kata Citra Femina…
“ Jadi, buat masa sekarang biarlah saya begini, Kapten. Kerana saya yakin dan percaya bahawa saya diciptakan bukan untuk lelaki yang hanya berbangga untuk memiliki dan menguasai kami !”
Betapa majoriti dari kaum lelaki itu sendiri telah membuat Citra Femina si juruterbang srikandi cuak lalu mengasosiasikan alam rumahtangga dengan satu istilah yang popular di kalangan juruterbang dan komuniti penerbangan, CFIT- Controlled Flight Into Terrain ( Penerbangan Yang Terkawal Telah Terbang Menuju ke Cerun ).
Sungguh satu pandangan yang menyebabkan Kapten Tajol Adros tersentak. Lantas mendalami pendapat Ibnu Arabi tentang cinta lelaki-wanita. Hakikat penciptaan Adam dan Hawa serta hikmahnya. Menyedarkan dirinya betapa dia dan majoriti kaum sejenisnya telah memilih untuk menjadi Julius Ceasar- Yang memandang wanita dengan pandangan, “ Aku lihat. Aku datang, Aku taklukkan !”.
Atau paling ngeri, terus terbayangkan ‘tilam dan bantal’ melulu apabila memikirkan wanita !
Penulis tidak berminat untuk berkhutbah atau menulis didaktik ala tulisan DSR Erom. Hanya menyetir pendapat watak-watak dari karya kreatif yang relevan sebagai jawapan, dan serahkan kepada pembaca dan buatlah seperti kata Nabil ( versi yang lebih berbahasa ) : “ Saudara-saudari fikirkanlah sendiri !”. Kerana penulis yakin, majoriti dari pengunjung blogs ini rata-rata orang-orang yang terpelajar, ulul albab dan tidak sukakan perubahan yang dipaksakan.
Kedua, sambung lagi tentang Zaidah…
Zaidah menyedari beberapa keinginan memajukan diri selalunya menjadikan wanita makin kehilangan nilai peribadi. Hayati, sahabat sarjananya berjuang terus-menerus untuk menyelesaikan pengajian ke peringkat doktor falsafah, terpaksa menangguhkan perkahwinan. Si lelaki tidak sabar, sanggup memkahi bakai adik iparnya. Hayati kecewa, merajuk, dan kini menctap di Vienna. Raihan yang terlewat jatuh cinta ingin menyempurnakan diri scbagai wanita, akhirnya meninggalkan lapangan kesarjanaan apabila bertemu Coln di Phnom Penh. Terkejut oleh manisnya cinta mereka menyatu dan berkeluarga dan kini menetap di Islamabad. Tetapi Zaidah terlalu berhati-hati dan sabar. Itulah pegangannya setiap kali ada mata helang mengintai yang bila-bila sahaja dapat mematahkan sayap simpatinya yang rapuh. Dia menghindar dan terus menghindar. Akhirnya dia lebih selamat berjalan sendiri.
Selamat berjalan sendiri… Bukankah ramai wanita era pascamoden lebih rela menjadi Zaidah, sebelum Henry Philip Baker ( baca Pulau Renik Ungu dulu ya… )datang dari indera suralaya mengetuk jendela kasih yang nyaris terkunci pateri ?
Rela menjadi Zaidah kerana majoriti ‘Adam-Adam’ yang ada bukan lagi ‘Adam-Adam’ yang pernah menakluki dua pertiga dunia suatu ketika dulu dengan keindahan akhlak dan budi pekerti berteraskan wahyu Illahiah. Rela menjadi Zaidah kerana sedar bahawa wanita sememangnya tidak patut menjadi lilin yang memusnahkan diri demi menerangi orang lain, sebaliknya patut menjadi rembulan yang meminjam kekuatan matahari untuk menerangi malam. Sementelah lagi, kalau hati ‘Adam-Adam’ sudah suka duduk dalam gelap-gelita dan menjauhi cahaya, apa perlunya pada lilin mahupun rembulan ?
Ada pula suara-suara yang menyatakan, “ Alah alasan… ‘Adam-Adam’ cuma manusia biasa… Banyak khilaf sana-sini. Terima sahaja apa yang ada. Nanti berubahlah dia perlahan-lahan.”
Jawapan penulis pada suara-suara itu : Mencegah masih lebih baik daripada mengubati.
Pemerhatian penulis terhadap kisah rumahtangga orang lain sudah lebih dari cukup untuk penulis menyetujui sebuah pendapat yang menyatakan hubungan rumahtangga yang berjaya memerlukan dua orang untuk menjayakannya, dan cukuplah seorang sahaja di antara mereka yang menjahanamkannya. Jika si isteri seorang sahaja yang berusaha sampai habis separuh nyawa tapi si suami sebagai nakhoda yang jahil dan kurang akhlak bersikeras membawa bahtera ke beting pasir, tak jadi juga !
Penulis sukacita mengemukakan kes pengendalian kokpit pesawat oleh juruterbang secara berpasukan sebagai analogi realiti kehidupan berumah-tangga dan pembuktian kebenaran pendapat di atas- cara yang lebih manis dan berakhlak berbanding terang-terangan membuka aib orang-orang yang paling dekat dengan penulis. Penulis mengambil kes insiden perlanggaran yang menimpa pesawat jumbo B747 kepunyaan Pan Am dan KLM di Lapangan Terbang Tenerife, Sepanyol pada tahun 1977. Dalam kes berkenaan, Kapten dalam pesawat KLM tidak mengendahkan teguran pegawai pertama dan jurutera penerbangan yang memberitahunya bahawa mandat perlepasan sebenarnya belum diberikan oleh menara kawalan kepada mereka. Kapten meneruskan perlepasan lalu pesawat mereka terlanggar pesawat Pan Am yang sedang mentaksi masuk ke susur masuk menuju terminal.
Insiden tersebut masih menjadi insiden paling mengerikan pernah berlaku dalam sejarah penerbangan.
Dalam realiti yang terjadi dalam banyak kes rumahtangga sekarang, si isteri berada di posisi pegawai pertama yang komited pada kesejahteraan bersama dan si suami sebagai kapten yang menjahanamkan segala-galanya. Si isteri menjadi lilin yang memusnahkan diri, menelan kepahitan hingga hilang keupayaan mewaraskan suasana atau terpaksa mengidap penyakit kanser pada akhirnya.
Selesai sudah menjawab soalan kenapa… Jadi…
Salahkah menjadi Zaidah jika ‘Adam-Adam’ yang ada pada hari ini cenderung berperwatakan seperti kapten KLM dalam insiden di Tenerife ? Salahkah menjadi Zaidah yang tabah menyendiri santak ke hari kemunculan Henry Philip Baker yang dari jauh penuh pengertian ?
Subhanallah, mewacana-balas satu artikel DSR Erom ini memerlukan siri maraton artikel blogs, kerana persoalannya berpencar, tidak memusat seperti artikel Nisah Hj. Haron atau Rebecca Ilham yang boleh diwacana-balas dalam satu artikel sahaja. Jadi wacana balas penulis ditangguh lagi hingga ke judul yang lain pula.
Wallahualam…
KENAPA NAILOFAR ? April 22, 2009
Posted by Ismi Nailofar in Uncategorized.6 comments
( Untuk Kekanda Ina Marjanul Ulfah dan Adinda Tuah Sujana yang budiman khususnya, dan untuk mereka yang tertanya-tanya : KENAPA NAILOFAR ? )
Iqbal,
Imtihan Niha’ie semakin hampir.
Aku kini membilang hari.
- Nailofar
Siapakah engkau ?
Iqbal menelan liur. Matanya masih tepat ke monitor.
Hatinya kian geram. Sudah dua kali dia membaca perutusan yang disalinnya dari kantung e-melnya semasa ke kafe siber untuk dibaca menerusi komputernya di rumah. Isi ringkasnya cukup untuk menerangkan bahawa Nailofar seorang yang mengambil benar tentang dirinya.
Walaupun sudah beberapa kali e-mel Nailofar datang bertandang, belum sekali Iqbal membalasnya. Dia sekadar membiarkan, tetapi gadis itu bagaikan tidak jemu-jemu.
” Aduhai, siapakah engkau hai Nailofar?” bisik Iqbal sendiri.
Iqbal menyebut nama aneh itu berkali-kali.
Dia tidak menafikan. Memanglah ia suatu nama yang nian indah. Bagaimanakah agaknya gerangan tuan yang memiliki nama yang sebegitu klasik? Secantik gadis impiannyakah?
( Sesegar Nailofar, Bab 10 m/s 102 )
BAGI yang pernah bertanya kenapa Nailofar dan bertanya apakah penulis telah terpengaruh dengan novel yang telah digarap oleh Zaid Akhtar ini, penulis tidak dapat menafikan bahawa Ismi’ Nailofar yang menjadi nama pena penulis telah mendapat inspirasi dari novel ini.
Bagi mengetahui susur galur jejak kreatif nama pena ini, izinkan penulis meneruskan petikan dari novel ini.
SEMALAM, tanpa disangka, semasa ralit mengulangkaji dia menemui nama itu lagi. Rupanya nama itu sering disebut dalam puisi-puisi Andalusia yang sedang dipelajarinya. Tetapi maknanya, secara tepat dia tidak pasti. Dia tidak dapat mengagak. Apatah lagi puisi-puisi Andalusia lebih payah difahami berbanding puisi Arab biasa mahupun klasik seperti puisi zaman Jahiliyyah, Umaiyah dan Abbasiyyah.
Adakah itu nama seorang perempuan terkenal dan rupawan pada zaman kegemilangan Islam di Sepanyol atau nama sejenis tumbuhan ?
Didorong perasaan ingin tahu yang menunu itu Iqbal lantas mencapai Lisanul Arab, kamus bahasa Arab yang paling akbar pernah dihasilkan. Dia mencari-cari perkataan Nailofar. Malangnya tiada.
Iqbal terdiam sejenak. Berfikir.
Bilakah Lisanul Arab dihasilkan? Adakah sebelum atau selepas pembukaan Andalus? Jikalau Ibn Manzur menyusun kamus ini sebelum Thariq bin Ziad menyeberangi Selat Gibraltar menggempur Kristian Sepanyol bermakna perkataan ” Nailofar” pasti tidak akan ada dalam kamus yang agung ini.
Dia lalu mencapai beberapa kamus lain yang lebih mutakhir. Dan tekaannya tidak meleset. Dia menemukan makna perkataan Nailofar.
Nailofar memang berasal daripada bahasa Andalus, tetapi telah diarabkan. Ia nama kepada spesies bunga yang habitatnya di dalam air. Spesies yang hampir sama dengan lili dan teratai.
Iqbal terkelip-kelip, cuba memikirkan di manakah lojiknya seseorang boleh menyukai nailofar. Apakah simboliknya?
Bunga spesies ini setahunya tidaklah seharum mawar, tetapi kerana hidupnya hanya di dalam air menjadikannya sentiasa segar dan lambat layu. Barangkali kerana kesegaran itulah gadis itu menyenangi bunga ini. Tidak mawar, dahlia, telukis, kemboja, anggerik, dan sebagainya, tetapi nailofar.
Lantas dipilih nama Nailofar, Iqbal beranalogi.
Tetapi, maujudkah gadis Melayu yang menyukai bunga nailofar ?
Belum pernah didengar!
( m/s 102-105 )
Entah kenapa Nailofar- nama yang disebutkan oleh Ustaz Zaid tiba-tiba menggoda-goda benak. Dada penulis berdebar-debar mendengarkan nama itu.
Nailofar memang berasal daripada bahasa Andalus, tetapi telah diarabkan. Ia nama kepada spesies bunga yang habitatnya di dalam air. Spesies yang hampir sama dengan lili dan teratai.
Mudah-mudahan dengan izin Allah, hasil siasatan tentang nailofar dari aspek botanikal bakal menyusul sesudah ini.
( p/s: Jawapan penulis untuk Iqbal : Dengarkanlah, gadis Melayu yang menyukai nailofar memang maujud. Tapi, jika Iqbal inginkan gadis Melayu tulen, maaf. Penulis berdarah kacukan yang bukan Pan-Asia. )
Apabila penulis membuat perenungan tentang mesej yang tersembunyi di balik citra nailofar ini, penulis tersentuh hati lalu penulis memilih bunga ini sebagai perwakilan survival jati diri seseorang, walau di mana dia berada. Nailofar boleh sahaja berada di air kolam atau paya berlumpur, tapi kecantikannya tak tergugah. Sebegitulah manusia sepatutnya, tidak mudah terpengaruh dengan persekitaran yang berbudaya kumal dan bejat, justeru cekal mempertahankan rumah budayanya yang bertiangserikan agama.
Nailofar ini penulis tanggapi secara peribadi, sebagai perlambangan untuk cinta suci dan setia. ( nota : Menjukstaposisikannya dengan bunga mawar, penulis menanggapi mawar sebagai lambang cinta yang melihat dengan pandangan ‘tilam dan bantal’-meminjam kata Ustaz Faisal Tehrani. ) Kenapa ? Nailofar sentiasa segar dan penuh walau tidak disirami air, sedangkan mawar mudah hilang kesegarannya jika tidak selalu disiram dan itu perlu kepada usaha pemugaran yang berterusan. Nailofar juga tidak perlukan duri seperti mawar yang selalu dihampiri oleh tangan-tangan yang ‘sok suci’ gara-gara harumannya yang selalu menggoda-goda di khalayak ramai. Jika haruman nailofar tidak menggoda khalayak untuk memetiknya, apa perlunya nailofar pada deduri ?
Sementelah lagi, cinta berasaskan unsur ‘tilam dan bantal’ selalu dihantui curiga dan sangsi.
Jadi penulis mengambil Nailofar sebagai nama pena. Teruskan lagi dengan susur galurnya…
Sewaktu membaca artikel tentang Orhan Pamuk, penulis terkesan tajuk sebuah novelnya sebegini : My Name Is Red ( Jika ada yang tahu tajuknya dalam Bahasa Turki, tinggalkan sahaja di papan mesej. ). “Nama Saya Merah”. Penulis tertujah dengan tajuk ini, dan terfikir : “ Apa salahnya jika nama pena saya berbunyi, ‘Nama Saya Nailofar’. ?” Penulis tak berhajat mencedok terus frasa My Name dalam bahasa Turki. Jika digabungkan dengan nama Nailofar, aduh !
Lalu dicarilah frasa yang setara dengan frasa ‘Nama Saya’ dalam bahasa Arab. Alhamdulillah, bunyinya Ismi’. Dan jadilah nama Ismi’ Nailofar yang telah menenggelamkan nama Aulia Humaira.
Mudah-mudahan dapat memuaskan hati-hati yang dilanda panasaran. Wallahualam.

