Seorang Nik Nur Madihah, Seorang Durratun-Nasuha, Seorang Totto-Chan… April 18, 2009
Posted by Ismi Nailofar in Uncategorized.trackback
Dan pengumpul ilmu ini,
Selalu berasa
‘antara realiti dan halusinasi’
kenapa dia selalu dibawa menempuh bungkusan masa lalu
yang pekat dan nikmat.
-Siti Zainon Ismail-
( dalam novel Pulau Renik Ungu )
Mukadimah : Tujahan untuk memulakan artikel ini bermula setelah membaca naskhah buku biografi Totto-Chan: Gadis Kecil Di Jendela -garapan Tetsuko Kuroyanagi dan diterjemahkan oleh Shamsudin Jaapar- buat kedua kalinya sejak membacanya pertama kali ketika di Tingkatan Dua. Entah mengapa, imej dan judul buku ini boleh terhimbau di kepala dan menggoda-goda sewaktu penulis berada di kedai buku Dawama Kota Kinabalu -ketika hari terakhir Persidangan Persuratan Dan Kebudayaan Kebangsaan tempohari. Penulis difahamkan yang buku itu sudah habis dijual dan perlu menanti untuk mendapatkan baki stok dari Dawama Kuching. Maka menantilah penulis, bagaikan kekasih yang menanti lamaran dari yang tersayang. Alhamdulillah, buku itu, sungguhpun lama, tapi penulis peluk-peluk buku tersebut sewaktu berjaya memperolehinya, seperti buku itu baru diterbitkan pada tahun ini.
Ketika penulis mula-mula membaca buku ini, penulis terpikat dengan ceritanya, serta hal-hal yang bersifat lateral. Bila pembacaan kali kedua ini, ada perbezaan sedikit ( atau banyak ? ), apabila penulis keharuan sejak awal mula membacanya. Pengalaman sebagai guru kontrak yang berdepan dengan kanak-kanak yang lugu dan berhati luhur di sebalik kenakalan dulu, sedikit sebanyak melonjakkan emosi penulis. Ditambah lagi dengan tertimbulnya isu-isu pendidikan yang ada sekarang. Menggulati ilmu psikologi juga menambahkan penghayatan. Lalu muncullah kembali watak Durratun-Nasuha dari cerpen Titip Doa Buat Durratun-Nasuha, menjengah ruang minda dengan senyum bergula, juga wajah Nik Nur Madihah yang kegirangan di samping ayah dan ibunya. Subhanallah, maka muncullah artikel ini sebagai cermin untuk penulis dan para pembaca melihat refleksi. Seperti cermin yang dikatakan oleh Maulana Jalaluddin Rumi :
“ Engkau tidak terfikir bagaimana sukarnya aku menggelintar hadiah untuk diberikan kepadamu. Tak ada yang benar-benar sesuai. Apakah wajar membawakan emas untuk diberikan kepada lombong emas atau menghadiahkan air kepada laut ? Segala yang aku bawakan untukmu bagaikan membawa rempah-ratus ke Dunia Timur. Memberikan hati dan jiwaku kepadamu tidaklah elok kerana engkau sudahpun mempunyainya. Jadi, aku bawakan buatmu sebuah cermin. Lihatlah dirimu dan ingatlah aku.”
Seorang Nik Nur Madihah, Seorang Durratun-Nasuha,
Seorang Totto-Chan.
Penulis tidak punya hal dengan gadis manis yang telah merangkul 20A dalam SPM lepas dan bercita-cita hendak menjadi seorang ahli fizik ini. Malah tumpang bersyukur. Saya punya keyakinan yang setiap orang diciptakan Allah punya manfaat dan misinya yang tersendiri, tidak sia-sia. Cuma ada sesuatu yang tersirat- mengharukan lagi meresahkan sedang bertandang…
Sejak dulu telah tumbuh trend meraikan dan mengagung-agungkan pelajar pintar/cemerlang seperti Nur Amalina, Adi Putera dan yang lain-lain. Pembaca, kejutkanlah dulu diri buat berapa ketika. Walaupun mereka memang layak diraikan, tapi mereka hanyalah kumpulan terkecil, amat kecil berbanding yang berwatak seorang Durratun-Nasuha ( Sila baca cerpen dalam Dewan Sastera April 2008, untuk mengetahui siapakah Durratun-Nasuha yang penulis maksudkan. ) di sekeliling kita. Dalam sibuk-sibuk kita menjulang itu, tiadakah langkah-langkah awal untuk ‘meraikan’ kehadiran yang kurang pintar/kurang cemerlang pula ? Apakah yang kurang pintar/kurang cemerlang ini sudah tidak ada fungsinya lagi buat negara ?
Tangisan Cikgu Hamizah ( watak dalam cerpen yang sama ) adalah tangisan penulis untuk semua pelajar yang berwatak Durratun-Nasuha. Watak majoriti yang ada di setiap sekolah ( Namun, Durra diakui agak ekstrem dengan masalah perlakuan serta disiplinnya ). Tangisan rasa ketakberdayaan untuk membantu Durra yang diamankan dengan rasa pasrah dan doa. Menunggu keajaiban.
Cikgu Hamizah menangisi nasib Durra. Sebagai kanak-kanak, nasib Durra tidak secerah Totto-Chan. Ibunya tidak berjiwa sebesar yang dimiliki oleh ibu kepada Nik Nur Madihah atau ibunya Totto-Chan. Durra tidak pernah bertemu guru pembimbing setulus Sosaku Kobayashi di Tomoe Gakuan. Dia anak terbiar dengan pelbagai kompleks psikologi serta kekacauan rasa yang dibawa-bawa hingga ke alam remaja. Terdampar di sekolah yang menjulang ‘intan yang tercanai’ seperti Nur Amalina dan Nik Nur Madihah, guru-guru prejudis malah tidak ambil pusing pada Durra.
Tapi, masih ada yang kasih lagi prihatin. Seorang Hamizah, yang kini semakin sukar dicari, sedang kanak-kanak dan remaja yang nakalnya tidak terkawal, sifat penasarannya melebih-lebih dan punya imaginasi luar bendungan yang dirangsang gelombang Global Village semakin bertambah.
Cikgu Hamizah dan penulis sendiri tercari-cari formula apakah yang sebenarnya sangat efektif untuk membendung kemunculan lebih ramai Durratun-Nasuha. Dan formula yang dicari pun tergambarlah seusai pembacaan teks Totto-Chan : Gadis Kecil Di Jendela ( baca : Totto-Chan ).
Antara Ulul Albab Dan Tomoe Gakuan
Sebelum melangkah jauh, elok rasanya penulis memperjelas ulul albab itu apa sebenarnya. Dalam novel Tuhan Manusia garapan Faisal Tehrani, definisi ulul albab dinyatakan seperti berikut :
Ulul albab ialah sekumpulan manusia istimewa yang memperoleh hikmah dan pengetahuan daripada Allah SWT. Mereka merupakan pemikir yang mendapat pelajaran dan dapat membuat keputusan untuk insan lain mengenai kehidupan ini. Mereka adalah golongan yang diberi pedoman seperti yang disebutkan oleh Allah dalam surah Ali Imran ayat 7 : ‘ Mereka itulah orang-orang yang mendapatkan petunjuk daripada Allah dan mereka itulah ulul albab’ ( ms 262 )
Dalam novel yang sama, ulul albab mempunyai sikap bersungguh-sungguh mencari ilmu, melalui proses tafakur dan tasyakur, memisahkan yang haq dari yang batil serta aktif membaiki masyarakatnya.
Ulul albab tidak semestinya dapat 20A atau berapa A sekalipun dalam peperiksaan.
Dalam teks Totto-Chan pula, dinyatakan penghargaan Encik Kobayashi- guru besar Tomoe Gakuan-terhadap fitrah kanak-kanak yang suci bersih dan bagaimana mudahnya ia dirosakkan oleh persekitaran dan orang-orang dewasa yang kacau jiwa serta pemikirannya. Encik Kobayashi juga percaya kanak-kanak perlu dibentuk sebagaimana alam berkembang dengan harmoni dan subur. Sebagaimana kepolosan seorang kanak-kanak mudah dicemarkan dengan mesej-mesej salah, sedemikian jugalah kanak-kanak mudah menerima mesej-mesej hasanah.
Ada apa dengan definisi ulul albab dan keyakinan Encik Kobayashi ?
Kedua-duanya mencadangkan agar membentuk ulul albab harus bermula dari kanak-kanak lagi. Sebelum membuat mereka mengenal aksara dari kitab-kitab, mereka dirangsang dengan mendedahkan diri kepada sejenis kitab bernama kitab alam -alam ciptaan Allah SWT- melihat kejadian lalu bertafakur dalam bimbingan guru yang mursyid agar tahu dan kenal Pencipta Sekalian Alam dan seterusnya mengenal hikmah penciptaan manusia dan apa peranannya.
Menjadi ulul albab sebelum memperkembangkan bakat individu anugerah Allah SWT – memasak, memandu, menulis karya, berniaga dan sebagainya- untuk dimanfaatkan buat memakmurkan bumi.
Penulis sebetulnya mengagumi model pendidikan Encik Kobayashi. Ramai muridnya- yang dulunya bermasalah dalam pembelajaran- telah membesar menjadi orang-orang terpandang di alam dewasanya. Encik Kobayashi telah menentang arus konvensional pendidikan Jepun ( yang berorientasikan peperiksaan )di era sebelum Perang Dunia II. Jika model ini diIslamkan dengan menjadikan tauhid sebagai tiang seri dan syariat sebagai sendinya, penulis yakin Islam akan ada Tunas Kepemimpinan, Tunas Cipta dan lain-lain yang potensinya menggerunkan musuh-musuh besarnya. Ya, tanpa mengira siapa dapat berapa A.
Wallahualam…
Jadi ?
Alangkah baiknya jika peperiksaan UPSR itu ditukarkan dengan peperiksaan psikometrik yang sesuai untuk usia kanak-kanak, agar kanak-kanak yang terlibat dinilai personalitinya, bakat individunya lalu dikelompokkan dalam satu kelas yang sama dengan bakat yang sama. Bakatnya dibangunkan secara berterusan hingga dewasa. Dan dari bakat yang dibangunkan itu muncullah kekuatan yang berusaha merubah nasib ummah. Tiada lagi pelajar yang bunuh diri kerana kecewa dengan kegagalan dalam peperiksaan, tiada lagi kompleks kehinaan kerana merasakan diri bodoh dek kegagalan dalam akademik. Tiada lagi Durratun-Nasuha seperti yang diperikan dalam cerpen penulis. Malah populasi kaum Adam akan kembali ramai di kampus, kerana model Kobayashi sebetulnya ( setelah membaca teks Totto-Chan dan mengkaji gaya belajar orang lelaki ) dengan izin Allah mampu menyeimbangkan nisbah lelaki dan perempuan yang belajar di peringkat tertier. Model Kobayashi yang dilaksanakan perlu diperbaiki dengan nilai agama sebagai tiang seri dan sendinya.
Wallahualam…



2. Dengan pendekatan Ulil Al-Baab saranan Kitab Al Quran, berlandaskan konsep “Penserasian Percaya dan Fikir“, perbincangan ini adalah bagi menserasikan Ilmu Agama dan Ilmu Sains, dengan pertama mengkaji petunjuk dari AQ dan kemudian keluar ke Kitab Alam bagi mencari jawapan perinciannya. Kitab AQ menjadi rujukan dan petunjuk untuk menjalani kehidupan yang selamat (Islam), Agama yang bukan sahaja membawa kepada maarifatullah, malah sarat dengan nila-nilai moral kehidupan. Betapa banyaknya saranan dari Allah agar kita menggunakan akal dan indera, mencari bagaimana “Unta dijadikan, langit ditinggikan, gunung didirikan, Bumi dihamparkan dan pelbagai lagi?”. Kesemuanya tidak dapat dilaksanakan sekiranya kefaham kepada Arts dan Sains tidak dikaji secara mendalam.
Dari http://sharudin.com/2008/09/03/s34-thermodynamic-laws/