REDHA… April 18, 2009
Posted by Ismi Nailofar in Uncategorized.trackback
Dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu; dan boleh jadi kamu kasihi sesuatu, sedang ia melarat kepadamu. Dan Allah mengetahui, tetapi kamu tidak mengetahui.
( al-Baqarah : 216 )
Apakah lagi tinggal selepas kesempurnaan kalau tidak kekurangan ?
-Saidina Umar RA-
Alhamdulillah, analisis bagi cerpen Di Balik Lembut Kerudung Dan Teduh Wajahnya telah keluar di Tunas Cipta April 2009. Berdasarkan kedua-dua kalimah yang telah penulis pilih sebagai pendahuluan catatan ini, penulis sesungguhnya menyatakan keredhaan atas penilaian penganalisis- menyedari ketinggian ilmu sastera dan sikap professional beliau.
Perkara-perkara positif dan negatif dijukstaposisikan penuh hikmah lambang kehalusan peribadi Melayu/Anak Nusantara, bukankah itu KEADILAN namanya ?
Lihat :
http://isminailofar.files.wordpress.com/2009/04/ulasancerpen.jpg
http://isminailofar.files.wordpress.com/2009/04/ulasancerpen2.jpg
Apapun, penulis turut sedar yang analisis sesebuah cerpen boleh jadi berbeza jika disoroti oleh pihak yang berbeza. Misalnya, analisis yang pernah dibuat kepada cerpen Tuah Badan ( cerpen ini ditulis oleh Mad Sakiran Hj. Sulaiman ). Bahagian paling mengejutkan dalam WADAH Mac 2007 itu penulis perturunkan di sini :
Gaya bahasa dan teknik penceritaan penulis yang dikategorikan penulis ‘serba tahu tapi tak tahu’ agak menggelikan hati tetapi ada kalanya memerangkap diri sendiri…
Kecacatan cerpen akibat tidak konsisten ini akhirnya merosakkan keseluruhan mood pembaca. Tujuan asal cerpen yang cuba membentangkan permasalahan tentang perjuangan bangsa yang semakin dilupakan dan bahana perbuatan itu akhirnya tenggelam begitu sahaja akibat teknik yang bercelaru. Akhirnya kesudahan cerpen yang menggambarkan watak ‘aku’ terjaga dari mimpi sudah tidak menjadi suspen kepada pembaca. Hal ini bukan sahaja sudah menghilangkan mood pembaca malah turut menawarkan kegelisahan akibat pengakuan watak ‘aku’ didatangi Dang Bandang dalam mimpi kerana watak ‘aku’ sering terfikir tentang gejala sosial yang melanda masyarakat. Pengakuan itu bukan sahaja tidak pernah disinggung dalam plot sebelumnya malah, jika benar, sepatutnya watak ‘aku’ itu didatangi oleh alim ulama atau kiai yang berupaya membimbing masyarakat ke jalan kebenaran dan bukannya Dang Bandang yang menceritakan kesaktiannya tidak dapat memijak tanah.
( m/s 61 )
Jika penulislah yang duduk di tempat Pak Mad Sakiran, tak tahulah apa jadi !
Uniknya, sebagai kajian kes, cerpen ini telah dipilih oleh juri sebagai pemenang Hadiah Sastera Sabah 2006/2007 kategori Cerpen pada tahun 2008. Analisis juri terhadap cerpen ini penulis lampirkan untuk perbandingan :
Cerpen Tuah Badan mengangkat peristiwa sejarah dari sisi yang jarang diperkatakan. Cerpen ini menonjolkan peranan besar dan penting Dang Bandang dalam perjuangan suaminya Paduka Mat Salleh, seorang pejuang besar Sabah dalam menentang kolonialisme Inggeris di Sabah…. Cara dan gaya cerpen ini membongkar sejarah perjuangan Paduka Mat Salleh melalui siri ketokohan Dang Bandang adalah satu perkara yang amat menarik. Kelainan ini membuatkan cerpen ini wujud sebagai hasil karya yang lebih bermakna.
( Antologi Di Sebalik Cermin, m/s xxv )
Oleh itu, penulis belajar untuk menjadi optimistik dan redha bahawa analisis untuk cerpen DBLKDTW adalah yang terbaik dalam takdir Allah SWT.
Kata-kata ADUN Membakut, YB Hj Dato’ Ariffin Arif turut menjadi suntikan motivasi paling bermakna untuk penulis berlapang dada.
Wallahualam…

Komentar»
No comments yet — be the first.