jump to navigation

Menjadi Zaidah… April 22, 2009

Posted by Ismi Nailofar in Uncategorized.
1 comment so far

 

( Dedikasi untuk Kekanda DSR Erom dan

pembaca artikel ‘Merampas Kembali Cinta Yang Hilang’ )

artikeldsrerom

PENULIS sama-sekali tidak berminat untuk menjadikan blogs ini sebagai gelanggang tahkim, sekadar berkongsi pendapat alternatif/wacana balas dengan pembaca tentang artikel di atas, yang telah tersiar di akhbar Utusan Borneo pada Isnin 20 April yang lalu.

Reaksi sebagai penulis karya Dari Rose Quartz Ke Cakna Cinta dan Di Balik Lembut Kerudung Dan Teduh Wajahnya.

Dan sudah jadi salah satu kegemaran penulis untuk memulakan apa-apa wacana dengan set induksi dari karya penulis lain. Penulis berbesar hati untuk membawakan teks yang dipetik dari novel Pulau Renik Ungu, buah fikiran dan sukma Bonda Siti Zainon Ismail yang tercinta :

 

Wahai, didengarnya kelibas sayap helang laut. Decip ketilang air, sudah lanjutkah usiaku?

Ayuhlah, jangan memilih sangat,” usik seorang Sasterawan Negara kala mereka menghabiskan sisa petang di lobi Hotel Hyatt setelah selesai bengkel sastera di Kinabalu. Bersuami atau tidak, memang selama ini tidak dirasakan kelainannya. Mungkin kerana dia lebih berhati-hati menyediakan kertas kerja, penyelidikan di perpustakaan atau di lapangan. Memenuhi undangan forum, seminar atau ceramah, lebih menarik daripada memenuhi undangan pesta perkahwinan keluarga. Lebih utama memilih senarai buku daripada memikirkan rumah tangga. Rumah tangga? Bukankah makna ‘rumah tangga’ itu mulai atau kerap kali meraguinya. Bayangannya terhadap definisi ‘rumah tangga’ kerap merujuk pada reka bentuk rumah Melayu tradisi. Ada tangga di depan anjung yang menghubungkan ruang tengah atau ibu rumah yang luas tempat berkumpulnya keluarga. Dapur di belakang sebagai pelengkap hidup. Dulu, tangga dihias indah. Rumah Melaka — bertangga batu, hiasan seramik berbunga-bunga; terjulur luas menyongsong halaman. Seakan melambai tamu agar mengunjunginya. Rumah menjadi harmoni dengan anjung terbuka. Serambi yang luas, tingkap dan jejenang membuat angin bebas keluar masuk. Tetapi itu dulu. Waktu nenek dan datuknya memastikan tapak rumah. Sempurnakah erti ‘rumah tangga’! Kini erti atau makna estetis dan filsafat tidak ada lagi. Cuma fungsinya sahaja. Memang ada bangunan dengan ratusan malah ribuan anak tangga di flat tinggi ibu kota, kemudian dilengkap lagi dengan kelancaran lif. Mana ada rumah bertangga lagi! Dengan lif, jalan singkat ke puncak mudah sekali dilalui. Begitu jugakah perkahwinan itu? Ah! Institusi asal perkahwinan juga telah tergelincir makna. Adiknya. Ya, adiknya. Tiba-tiba Zaidah teringat adiknya. Selepas berkähwin, setelah melahirkan anak pertama — hubungan keluarga, ibu anak Seakan terputus. Setiap kali adiknya berkunjung ke rumah, hanya Yati sahaja yang singgah. Suami hanya menghantar setakat pintu pagar. Dan datang lagi untuk menjemput Yati pulang. Di manakah perbualan mesra yang dapat menyegarkan kasih sayang. Di manakah kesilapan ‘rumah tangga’ itu? Duniakah yang bobrok atau manusia si penghuni alam yang menghodohkannya? Di mana pula cermin diri yang dapat memantulkan kekeruhan dan kejernihan nurani insani? Inilah jawapan atau kesan kecurigaan Zaidah, hingga tidak peduhi dengan kudrat alam! Aku ingin menumpah kasih sayang melalui kerjaku. Dengan mahasiswa. Dengan sahabat-sahabat dan terus membina persahabatan setiap kali bertemu teman-ternan baru.

Tidak menjalin rasa batin?” tanya lagi si sasterawan.

Oh! Tentu saja — rasa ilmu cukup merangsang saya untuk bekerja.” Memang sesekali dia tersentuh, berkeluh…

( m/s 54-55 )

 

Keluhan seorang Zaidah Johri Thibroni, sungguhpun terluah pada era penulis masih berada di sekolah rendah, tetap relevan hingga ke hari ini. Malah dalam era pascamoden dan serangan fikrah perkampungan global yang semakin menjadi-jadi sekarang, keluhan Zaidah itu kian benar adanya.

Membuat satu jukstaposisi antara keluhan Zaidah dengan salah satu persoalan dalam artikel yang ditulis DSR Erom, lalu menyorotnya dengan realiti hidup; yang hadir dalam minda penulis seusai pembacaan adalah : “ Pandangan dalam artikel Merampas Kembali Cinta Yang Hilang adalah pandangan seorang idealis yang benar-benar berat untuk dilaksanakan.” Semakin berat apabila meletakkannya saling bersebelahan dengan realiti hidup pascamoden yang penuh momokan.

Kenapa ?

Pertama, izinkan penulis menyorot pula pandangan seorang Citra Femina dari Di Balik Lembut Kerudung Dan Teduh Wajahnya, kerana jawapannya ada di situ :

 

…Bukannya saya tidak percaya pada qada’ dan qadar Allah. Percayalah Kapten, apabila majoriti dari kaum sejenis Kapten telah kembali menyedari hakikat sebenar kenapa dirinya harus wujud dengan ikhlasnya, lalu segala tindak-tanduknya pun berasaskan hakikat itu, masa itulah saya juga akan menjalani hidup seperti wanita lain yang Kapten kenali. Bercinta dan berbahagia dengan cinta…”

 

Lanjutkan lagi kata-kata Citra Femina…

 

Jadi, buat masa sekarang biarlah saya begini, Kapten. Kerana saya yakin dan percaya bahawa saya diciptakan bukan untuk lelaki yang hanya berbangga untuk memiliki dan menguasai kami !”

 

Betapa majoriti dari kaum lelaki itu sendiri telah membuat Citra Femina si juruterbang srikandi cuak lalu mengasosiasikan alam rumahtangga dengan satu istilah yang popular di kalangan juruterbang dan komuniti penerbangan, CFIT- Controlled Flight Into Terrain ( Penerbangan Yang Terkawal Telah Terbang Menuju ke Cerun ).

Sungguh satu pandangan yang menyebabkan Kapten Tajol Adros tersentak. Lantas mendalami pendapat Ibnu Arabi tentang cinta lelaki-wanita. Hakikat penciptaan Adam dan Hawa serta hikmahnya. Menyedarkan dirinya betapa dia dan majoriti kaum sejenisnya telah memilih untuk menjadi Julius Ceasar- Yang memandang wanita dengan pandangan, “ Aku lihat. Aku datang, Aku taklukkan !”.

Atau paling ngeri, terus terbayangkan ‘tilam dan bantal’ melulu apabila memikirkan wanita !

Penulis tidak berminat untuk berkhutbah atau menulis didaktik ala tulisan DSR Erom. Hanya menyetir pendapat watak-watak dari karya kreatif yang relevan sebagai jawapan, dan serahkan kepada pembaca dan buatlah seperti kata Nabil ( versi yang lebih berbahasa ) : “ Saudara-saudari fikirkanlah sendiri !”. Kerana penulis yakin, majoriti dari pengunjung blogs ini rata-rata orang-orang yang terpelajar, ulul albab dan tidak sukakan perubahan yang dipaksakan.

Kedua, sambung lagi tentang Zaidah…

 

Zaidah menyedari beberapa keinginan memajukan diri selalunya menjadikan wanita makin kehilangan nilai peribadi. Hayati, sahabat sarjananya berjuang terus-menerus untuk menyelesaikan pengajian ke peringkat doktor falsafah, terpaksa menangguhkan perkahwinan. Si lelaki tidak sabar, sanggup memkahi bakai adik iparnya. Hayati kecewa, merajuk, dan kini menctap di Vienna. Raihan yang terlewat jatuh cinta ingin menyempurnakan diri scbagai wanita, akhirnya meninggalkan lapangan kesarjanaan apabila bertemu Coln di Phnom Penh. Terkejut oleh manisnya cinta mereka menyatu dan berkeluarga dan kini menetap di Islamabad. Tetapi Zaidah terlalu berhati-hati dan sabar. Itulah pegangannya setiap kali ada mata helang mengintai yang bila-bila sahaja dapat mematahkan sayap simpatinya yang rapuh. Dia menghindar dan terus menghindar. Akhirnya dia lebih selamat berjalan sendiri.

 

 

Selamat berjalan sendiri… Bukankah ramai wanita era pascamoden lebih rela menjadi Zaidah, sebelum Henry Philip Baker ( baca Pulau Renik Ungu dulu ya… )datang dari indera suralaya mengetuk jendela kasih yang nyaris terkunci pateri ?

Rela menjadi Zaidah kerana majoriti ‘Adam-Adam’ yang ada bukan lagi ‘Adam-Adam’ yang pernah menakluki dua pertiga dunia suatu ketika dulu dengan keindahan akhlak dan budi pekerti berteraskan wahyu Illahiah. Rela menjadi Zaidah kerana sedar bahawa wanita sememangnya tidak patut menjadi lilin yang memusnahkan diri demi menerangi orang lain, sebaliknya patut menjadi rembulan yang meminjam kekuatan matahari untuk menerangi malam. Sementelah lagi, kalau hati ‘Adam-Adam’ sudah suka duduk dalam gelap-gelita dan menjauhi cahaya, apa perlunya pada lilin mahupun rembulan ?

Ada pula suara-suara yang menyatakan, “ Alah alasan… ‘Adam-Adam’ cuma manusia biasa… Banyak khilaf sana-sini. Terima sahaja apa yang ada. Nanti berubahlah dia perlahan-lahan.”

Jawapan penulis pada suara-suara itu : Mencegah masih lebih baik daripada mengubati.

Pemerhatian penulis terhadap kisah rumahtangga orang lain sudah lebih dari cukup untuk penulis menyetujui sebuah pendapat yang menyatakan hubungan rumahtangga yang berjaya memerlukan dua orang untuk menjayakannya, dan cukuplah seorang sahaja di antara mereka yang menjahanamkannya. Jika si isteri seorang sahaja yang berusaha sampai habis separuh nyawa tapi si suami sebagai nakhoda yang jahil dan kurang akhlak bersikeras membawa bahtera ke beting pasir, tak jadi juga !

Penulis sukacita mengemukakan kes pengendalian kokpit pesawat oleh juruterbang secara berpasukan sebagai analogi realiti kehidupan berumah-tangga dan pembuktian kebenaran pendapat di atas- cara yang lebih manis dan berakhlak berbanding terang-terangan membuka aib orang-orang yang paling dekat dengan penulis. Penulis mengambil kes insiden perlanggaran yang menimpa pesawat jumbo B747 kepunyaan Pan Am dan KLM di Lapangan Terbang Tenerife, Sepanyol pada tahun 1977. Dalam kes berkenaan, Kapten dalam pesawat KLM tidak mengendahkan teguran pegawai pertama dan jurutera penerbangan yang memberitahunya bahawa mandat perlepasan sebenarnya belum diberikan oleh menara kawalan kepada mereka. Kapten meneruskan perlepasan lalu pesawat mereka terlanggar pesawat Pan Am yang sedang mentaksi masuk ke susur masuk menuju terminal.

Insiden tersebut masih menjadi insiden paling mengerikan pernah berlaku dalam sejarah penerbangan.

Dalam realiti yang terjadi dalam banyak kes rumahtangga sekarang, si isteri berada di posisi pegawai pertama yang komited pada kesejahteraan bersama dan si suami sebagai kapten yang menjahanamkan segala-galanya. Si isteri menjadi lilin yang memusnahkan diri, menelan kepahitan hingga hilang keupayaan mewaraskan suasana atau terpaksa mengidap penyakit kanser pada akhirnya.

Selesai sudah menjawab soalan kenapa… Jadi…

Salahkah menjadi Zaidah jika ‘Adam-Adam’ yang ada pada hari ini cenderung berperwatakan seperti kapten KLM dalam insiden di Tenerife ? Salahkah menjadi Zaidah yang tabah menyendiri santak ke hari kemunculan Henry Philip Baker yang dari jauh penuh pengertian ?

Subhanallah, mewacana-balas satu artikel DSR Erom ini memerlukan siri maraton artikel blogs, kerana persoalannya berpencar, tidak memusat seperti artikel Nisah Hj. Haron atau Rebecca Ilham yang boleh diwacana-balas dalam satu artikel sahaja. Jadi wacana balas penulis ditangguh lagi hingga ke judul yang lain pula.

Wallahualam…

 

KENAPA NAILOFAR ? April 22, 2009

Posted by Ismi Nailofar in Uncategorized.
6 comments

 

 

( Untuk Kekanda Ina Marjanul Ulfah dan Adinda Tuah Sujana yang budiman khususnya, dan untuk mereka yang tertanya-tanya : KENAPA NAILOFAR ? )

fotosketcher-puterinailofar

Iqbal,

Imtihan Niha’ie semakin hampir.

Aku kini membilang hari.

- Nailofar

Siapakah engkau ?

Iqbal menelan liur. Matanya masih tepat ke monitor.

Hatinya kian geram. Sudah dua kali dia membaca perutusan yang disalinnya dari kantung e-melnya semasa ke kafe siber untuk dibaca menerusi komputernya di rumah. Isi ringkasnya cukup untuk menerangkan bahawa Nailofar seorang yang mengambil benar tentang dirinya.

Walaupun sudah beberapa kali e-mel Nailofar datang bertandang, belum sekali Iqbal membalasnya. Dia sekadar membiarkan, tetapi gadis itu bagaikan tidak jemu-jemu.

” Aduhai, siapakah engkau hai Nailofar?” bisik Iqbal sendiri.

Iqbal menyebut nama aneh itu berkali-kali.

Dia tidak menafikan. Memanglah ia suatu nama yang nian indah. Bagaimanakah agaknya gerangan tuan yang memiliki nama yang sebegitu klasik? Secantik gadis impiannyakah?

( Sesegar Nailofar, Bab 10 m/s 102 )

 

BAGI yang pernah bertanya kenapa Nailofar dan bertanya apakah penulis telah terpengaruh dengan novel yang telah digarap oleh Zaid Akhtar ini, penulis tidak dapat menafikan bahawa Ismi’ Nailofar yang menjadi nama pena penulis telah mendapat inspirasi dari novel ini.

Bagi mengetahui susur galur jejak kreatif nama pena ini, izinkan penulis meneruskan petikan dari novel ini.

SEMALAM, tanpa disangka, semasa ralit mengulangkaji dia menemui nama itu lagi. Rupanya nama itu sering disebut dalam puisi-puisi Andalusia yang sedang dipelajarinya. Tetapi maknanya, secara tepat dia tidak pasti. Dia tidak dapat mengagak. Apatah lagi puisi-puisi Andalusia lebih payah difahami berbanding puisi Arab biasa mahupun klasik seperti puisi zaman Jahiliyyah, Umaiyah dan Abbasiyyah.

Adakah itu nama seorang perempuan terkenal dan rupawan pada zaman kegemilangan Islam di Sepanyol atau nama sejenis tumbuhan ?

Didorong perasaan ingin tahu yang menunu itu Iqbal lantas mencapai Lisanul Arab, kamus bahasa Arab yang paling akbar pernah dihasilkan. Dia mencari-cari perkataan Nailofar. Malangnya tiada.

Iqbal terdiam sejenak. Berfikir.

Bilakah Lisanul Arab dihasilkan? Adakah sebelum atau selepas pembukaan Andalus? Jikalau Ibn Manzur menyusun kamus ini sebelum Thariq bin Ziad menyeberangi Selat Gibraltar menggempur Kristian Sepanyol bermakna perkataan ” Nailofar” pasti tidak akan ada dalam kamus yang agung ini.

Dia lalu mencapai beberapa kamus lain yang lebih mutakhir. Dan tekaannya tidak meleset. Dia menemukan makna perkataan Nailofar.

Nailofar memang berasal daripada bahasa Andalus, tetapi telah diarabkan. Ia nama kepada spesies bunga yang habitatnya di dalam air. Spesies yang hampir sama dengan lili dan teratai.

Iqbal terkelip-kelip, cuba memikirkan di manakah lojiknya seseorang boleh menyukai nailofar. Apakah simboliknya?

Bunga spesies ini setahunya tidaklah seharum mawar, tetapi kerana hidupnya hanya di dalam air menjadikannya sentiasa segar dan lambat layu. Barangkali kerana kesegaran itulah gadis itu menyenangi bunga ini. Tidak mawar, dahlia, telukis, kemboja, anggerik, dan sebagainya, tetapi nailofar.

Lantas dipilih nama Nailofar, Iqbal beranalogi.

Tetapi, maujudkah gadis Melayu yang menyukai bunga nailofar ?

Belum pernah didengar!

( m/s 102-105 )

Entah kenapa Nailofar- nama yang disebutkan oleh Ustaz Zaid tiba-tiba menggoda-goda benak. Dada penulis berdebar-debar mendengarkan nama itu.

Nailofar memang berasal daripada bahasa Andalus, tetapi telah diarabkan. Ia nama kepada spesies bunga yang habitatnya di dalam air. Spesies yang hampir sama dengan lili dan teratai.

Mudah-mudahan dengan izin Allah, hasil siasatan tentang nailofar dari aspek botanikal bakal menyusul sesudah ini.

( p/s: Jawapan penulis untuk Iqbal : Dengarkanlah, gadis Melayu yang menyukai nailofar memang maujud. Tapi, jika Iqbal inginkan gadis Melayu tulen, maaf. Penulis berdarah kacukan yang bukan Pan-Asia. )

Apabila penulis membuat perenungan tentang mesej yang tersembunyi di balik citra nailofar ini, penulis tersentuh hati lalu penulis memilih bunga ini sebagai perwakilan survival jati diri seseorang, walau di mana dia berada. Nailofar boleh sahaja berada di air kolam atau paya berlumpur, tapi kecantikannya tak tergugah. Sebegitulah manusia sepatutnya, tidak mudah terpengaruh dengan persekitaran yang berbudaya kumal dan bejat, justeru cekal mempertahankan rumah budayanya yang bertiangserikan agama.

Nailofar ini penulis tanggapi secara peribadi, sebagai perlambangan untuk cinta suci dan setia. ( nota : Menjukstaposisikannya dengan bunga mawar, penulis menanggapi mawar sebagai lambang cinta yang melihat dengan pandangan ‘tilam dan bantal’-meminjam kata Ustaz Faisal Tehrani. ) Kenapa ? Nailofar sentiasa segar dan penuh walau tidak disirami air, sedangkan mawar mudah hilang kesegarannya jika tidak selalu disiram dan itu perlu kepada usaha pemugaran yang berterusan. Nailofar juga tidak perlukan duri seperti mawar yang selalu dihampiri oleh tangan-tangan yang ‘sok suci’ gara-gara harumannya yang selalu menggoda-goda di khalayak ramai. Jika haruman nailofar tidak menggoda khalayak untuk memetiknya, apa perlunya nailofar pada deduri ?

Sementelah lagi, cinta berasaskan unsur ‘tilam dan bantal’ selalu dihantui curiga dan sangsi.

Jadi penulis mengambil Nailofar sebagai nama pena. Teruskan lagi dengan susur galurnya…

Sewaktu membaca artikel tentang Orhan Pamuk, penulis terkesan tajuk sebuah novelnya sebegini : My Name Is Red ( Jika ada yang tahu tajuknya dalam Bahasa Turki, tinggalkan sahaja di papan mesej. ). “Nama Saya Merah”. Penulis tertujah dengan tajuk ini, dan terfikir : “ Apa salahnya jika nama pena saya berbunyi, ‘Nama Saya Nailofar’. ?” Penulis tak berhajat mencedok terus frasa My Name dalam bahasa Turki. Jika digabungkan dengan nama Nailofar, aduh !

Lalu dicarilah frasa yang setara dengan frasa ‘Nama Saya’ dalam bahasa Arab. Alhamdulillah, bunyinya Ismi’. Dan jadilah nama Ismi’ Nailofar yang telah menenggelamkan nama Aulia Humaira.

Mudah-mudahan dapat memuaskan hati-hati yang dilanda panasaran. Wallahualam.

Seorang Nik Nur Madihah, Seorang Durratun-Nasuha, Seorang Totto-Chan… April 18, 2009

Posted by Ismi Nailofar in Uncategorized.
1 comment so far

 

 

 

Dan pengumpul ilmu ini,

Selalu berasa

antara realiti dan halusinasi’

kenapa dia selalu dibawa menempuh bungkusan masa lalu

yang pekat dan nikmat.

 

-Siti Zainon Ismail-

( dalam novel Pulau Renik Ungu )

 

 

Mukadimah : Tujahan untuk memulakan artikel ini bermula setelah membaca naskhah buku biografi Totto-Chan: Gadis Kecil Di Jendela -garapan Tetsuko Kuroyanagi dan diterjemahkan oleh Shamsudin Jaapar- buat kedua kalinya sejak membacanya pertama kali ketika di Tingkatan Dua. Entah mengapa, imej dan judul buku ini boleh terhimbau di kepala dan menggoda-goda sewaktu penulis berada di kedai buku Dawama Kota Kinabalu -ketika hari terakhir Persidangan Persuratan Dan Kebudayaan Kebangsaan tempohari. Penulis difahamkan yang buku itu sudah habis dijual dan perlu menanti untuk mendapatkan baki stok dari Dawama Kuching. Maka menantilah penulis, bagaikan kekasih yang menanti lamaran dari yang tersayang. Alhamdulillah, buku itu, sungguhpun lama, tapi penulis peluk-peluk buku tersebut sewaktu berjaya memperolehinya, seperti buku itu baru diterbitkan pada tahun ini.

Ketika penulis mula-mula membaca buku ini, penulis terpikat dengan ceritanya, serta hal-hal yang bersifat lateral. Bila pembacaan kali kedua ini, ada perbezaan sedikit ( atau banyak ? ), apabila penulis keharuan sejak awal mula membacanya. Pengalaman sebagai guru kontrak yang berdepan dengan kanak-kanak yang lugu dan berhati luhur di sebalik kenakalan dulu, sedikit sebanyak melonjakkan emosi penulis. Ditambah lagi dengan tertimbulnya isu-isu pendidikan yang ada sekarang. Menggulati ilmu psikologi juga menambahkan penghayatan. Lalu muncullah kembali watak Durratun-Nasuha dari cerpen Titip Doa Buat Durratun-Nasuha, menjengah ruang minda dengan senyum bergula, juga wajah Nik Nur Madihah yang kegirangan di samping ayah dan ibunya. Subhanallah, maka muncullah artikel ini sebagai cermin untuk penulis dan para pembaca melihat refleksi. Seperti cermin yang dikatakan oleh Maulana Jalaluddin Rumi :

 

Engkau tidak terfikir bagaimana sukarnya aku menggelintar hadiah untuk diberikan kepadamu. Tak ada yang benar-benar sesuai. Apakah wajar membawakan emas untuk diberikan kepada lombong emas atau menghadiahkan air kepada laut ? Segala yang aku bawakan untukmu bagaikan membawa rempah-ratus ke Dunia Timur. Memberikan hati dan jiwaku kepadamu tidaklah elok kerana engkau sudahpun mempunyainya. Jadi, aku bawakan buatmu sebuah cermin. Lihatlah dirimu dan ingatlah aku.

 

 

Seorang Nik Nur Madihah, Seorang Durratun-Nasuha,

Seorang Totto-Chan.

 madihah2

Penulis tidak punya hal dengan gadis manis yang telah merangkul 20A dalam SPM lepas dan bercita-cita hendak menjadi seorang ahli fizik ini. Malah tumpang bersyukur. Saya punya keyakinan yang setiap orang diciptakan Allah punya manfaat dan misinya yang tersendiri, tidak sia-sia. Cuma ada sesuatu yang tersirat- mengharukan lagi meresahkan sedang bertandang…

Sejak dulu telah tumbuh trend meraikan dan mengagung-agungkan pelajar pintar/cemerlang seperti Nur Amalina, Adi Putera dan yang lain-lain. Pembaca, kejutkanlah dulu diri buat berapa ketika. Walaupun mereka memang layak diraikan, tapi mereka hanyalah kumpulan terkecil, amat kecil berbanding yang berwatak seorang Durratun-Nasuha ( Sila baca cerpen dalam Dewan Sastera April 2008, untuk mengetahui siapakah Durratun-Nasuha yang penulis maksudkan. ) di sekeliling kita. Dalam sibuk-sibuk kita menjulang itu, tiadakah langkah-langkah awal untuk ‘meraikan’ kehadiran yang kurang pintar/kurang cemerlang pula ? Apakah yang kurang pintar/kurang cemerlang ini sudah tidak ada fungsinya lagi buat negara ?

Tangisan Cikgu Hamizah ( watak dalam cerpen yang sama ) adalah tangisan penulis untuk semua pelajar yang berwatak Durratun-Nasuha. Watak majoriti yang ada di setiap sekolah ( Namun, Durra diakui agak ekstrem dengan masalah perlakuan serta disiplinnya ). Tangisan rasa ketakberdayaan untuk membantu Durra yang diamankan dengan rasa pasrah dan doa. Menunggu keajaiban.

cerpen6a

 

Cikgu Hamizah menangisi nasib Durra. Sebagai kanak-kanak, nasib Durra tidak secerah Totto-Chan. Ibunya tidak berjiwa sebesar yang dimiliki oleh ibu kepada Nik Nur Madihah atau ibunya Totto-Chan. Durra tidak pernah bertemu guru pembimbing setulus Sosaku Kobayashi di Tomoe Gakuan. Dia anak terbiar dengan pelbagai kompleks psikologi serta kekacauan rasa yang dibawa-bawa hingga ke alam remaja. Terdampar di sekolah yang menjulang ‘intan yang tercanai’ seperti Nur Amalina dan Nik Nur Madihah, guru-guru prejudis malah tidak ambil pusing pada Durra.

Tapi, masih ada yang kasih lagi prihatin. Seorang Hamizah, yang kini semakin sukar dicari, sedang kanak-kanak dan remaja yang nakalnya tidak terkawal, sifat penasarannya melebih-lebih dan punya imaginasi luar bendungan yang dirangsang gelombang Global Village semakin bertambah.

Cikgu Hamizah dan penulis sendiri tercari-cari formula apakah yang sebenarnya sangat efektif untuk membendung kemunculan lebih ramai Durratun-Nasuha. Dan formula yang dicari pun tergambarlah seusai pembacaan teks Totto-Chan : Gadis Kecil Di Jendela ( baca : Totto-Chan ).

 

Antara Ulul Albab Dan Tomoe Gakuan

 

 tottochan

Sebelum melangkah jauh, elok rasanya penulis memperjelas ulul albab itu apa sebenarnya. Dalam novel Tuhan Manusia garapan Faisal Tehrani, definisi ulul albab dinyatakan seperti berikut :

 

Ulul albab ialah sekumpulan manusia istimewa yang memperoleh hikmah dan pengetahuan daripada Allah SWT. Mereka merupakan pemikir yang mendapat pelajaran dan dapat membuat keputusan untuk insan lain mengenai kehidupan ini. Mereka adalah golongan yang diberi pedoman seperti yang disebutkan oleh Allah dalam surah Ali Imran ayat 7 : ‘ Mereka itulah orang-orang yang mendapatkan petunjuk daripada Allah dan mereka itulah ulul albab’ ( ms 262 )

 

Dalam novel yang sama, ulul albab mempunyai sikap bersungguh-sungguh mencari ilmu, melalui proses tafakur dan tasyakur, memisahkan yang haq dari yang batil serta aktif membaiki masyarakatnya.

Ulul albab tidak semestinya dapat 20A atau berapa A sekalipun dalam peperiksaan.

Dalam teks Totto-Chan pula, dinyatakan penghargaan Encik Kobayashi- guru besar Tomoe Gakuan-terhadap fitrah kanak-kanak yang suci bersih dan bagaimana mudahnya ia dirosakkan oleh persekitaran dan orang-orang dewasa yang kacau jiwa serta pemikirannya. Encik Kobayashi juga percaya kanak-kanak perlu dibentuk sebagaimana alam berkembang dengan harmoni dan subur. Sebagaimana kepolosan seorang kanak-kanak mudah dicemarkan dengan mesej-mesej salah, sedemikian jugalah kanak-kanak mudah menerima mesej-mesej hasanah.

Ada apa dengan definisi ulul albab dan keyakinan Encik Kobayashi ?

Kedua-duanya mencadangkan agar membentuk ulul albab harus bermula dari kanak-kanak lagi. Sebelum membuat mereka mengenal aksara dari kitab-kitab, mereka dirangsang dengan mendedahkan diri kepada sejenis kitab bernama kitab alam -alam ciptaan Allah SWT- melihat kejadian lalu bertafakur dalam bimbingan guru yang mursyid agar tahu dan kenal Pencipta Sekalian Alam dan seterusnya mengenal hikmah penciptaan manusia dan apa peranannya.

Menjadi ulul albab sebelum memperkembangkan bakat individu anugerah Allah SWT – memasak, memandu, menulis karya, berniaga dan sebagainya- untuk dimanfaatkan buat memakmurkan bumi.

Penulis sebetulnya mengagumi model pendidikan Encik Kobayashi. Ramai muridnya- yang dulunya bermasalah dalam pembelajaran- telah membesar menjadi orang-orang terpandang di alam dewasanya. Encik Kobayashi telah menentang arus konvensional pendidikan Jepun ( yang berorientasikan peperiksaan )di era sebelum Perang Dunia II. Jika model ini diIslamkan dengan menjadikan tauhid sebagai tiang seri dan syariat sebagai sendinya, penulis yakin Islam akan ada Tunas Kepemimpinan, Tunas Cipta dan lain-lain yang potensinya menggerunkan musuh-musuh besarnya. Ya, tanpa mengira siapa dapat berapa A.

Wallahualam…

 

Jadi ?

 

Alangkah baiknya jika peperiksaan UPSR itu ditukarkan dengan peperiksaan psikometrik yang sesuai untuk usia kanak-kanak, agar kanak-kanak yang terlibat dinilai personalitinya, bakat individunya lalu dikelompokkan dalam satu kelas yang sama dengan bakat yang sama. Bakatnya dibangunkan secara berterusan hingga dewasa. Dan dari bakat yang dibangunkan itu muncullah kekuatan yang berusaha merubah nasib ummah. Tiada lagi pelajar yang bunuh diri kerana kecewa dengan kegagalan dalam peperiksaan, tiada lagi kompleks kehinaan kerana merasakan diri bodoh dek kegagalan dalam akademik. Tiada lagi Durratun-Nasuha seperti yang diperikan dalam cerpen penulis. Malah populasi kaum Adam akan kembali ramai di kampus, kerana model Kobayashi sebetulnya ( setelah membaca teks Totto-Chan dan mengkaji gaya belajar orang lelaki ) dengan izin Allah mampu menyeimbangkan nisbah lelaki dan perempuan yang belajar di peringkat tertier. Model Kobayashi yang dilaksanakan perlu diperbaiki dengan nilai agama sebagai tiang seri dan sendinya.

Wallahualam…

 

 

 

 

 

 

 

 

REDHA… April 18, 2009

Posted by Ismi Nailofar in Uncategorized.
add a comment

 

 cerpen5a

Dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu; dan boleh jadi kamu kasihi sesuatu, sedang ia melarat kepadamu. Dan Allah mengetahui, tetapi kamu tidak mengetahui.

( al-Baqarah : 216 )

Apakah lagi tinggal selepas kesempurnaan kalau tidak kekurangan ?

-Saidina Umar RA-

 

Alhamdulillah, analisis bagi cerpen Di Balik Lembut Kerudung Dan Teduh Wajahnya telah keluar di Tunas Cipta April 2009. Berdasarkan kedua-dua kalimah yang telah penulis pilih sebagai pendahuluan catatan ini, penulis sesungguhnya menyatakan keredhaan atas penilaian penganalisis- menyedari ketinggian ilmu sastera dan sikap professional beliau.

Perkara-perkara positif dan negatif dijukstaposisikan penuh hikmah lambang kehalusan peribadi Melayu/Anak Nusantara, bukankah itu KEADILAN namanya ?

Lihat :

http://isminailofar.files.wordpress.com/2009/04/ulasancerpen.jpg

http://isminailofar.files.wordpress.com/2009/04/ulasancerpen2.jpg

Apapun, penulis turut sedar yang analisis sesebuah cerpen boleh jadi berbeza jika disoroti oleh pihak yang berbeza. Misalnya, analisis yang pernah dibuat kepada cerpen Tuah Badan ( cerpen ini ditulis oleh Mad Sakiran Hj. Sulaiman ). Bahagian paling mengejutkan dalam WADAH Mac 2007 itu penulis perturunkan di sini :

 

Gaya bahasa dan teknik penceritaan penulis yang dikategorikan penulis ‘serba tahu tapi tak tahu’ agak menggelikan hati tetapi ada kalanya memerangkap diri sendiri…

Kecacatan cerpen akibat tidak konsisten ini akhirnya merosakkan keseluruhan mood pembaca. Tujuan asal cerpen yang cuba membentangkan permasalahan tentang perjuangan bangsa yang semakin dilupakan dan bahana perbuatan itu akhirnya tenggelam begitu sahaja akibat teknik yang bercelaru. Akhirnya kesudahan cerpen yang menggambarkan watak ‘aku’ terjaga dari mimpi sudah tidak menjadi suspen kepada pembaca. Hal ini bukan sahaja sudah menghilangkan mood pembaca malah turut menawarkan kegelisahan akibat pengakuan watak ‘aku’ didatangi Dang Bandang dalam mimpi kerana watak ‘aku’ sering terfikir tentang gejala sosial yang melanda masyarakat. Pengakuan itu bukan sahaja tidak pernah disinggung dalam plot sebelumnya malah, jika benar, sepatutnya watak ‘aku’ itu didatangi oleh alim ulama atau kiai yang berupaya membimbing masyarakat ke jalan kebenaran dan bukannya Dang Bandang yang menceritakan kesaktiannya tidak dapat memijak tanah.

 

( m/s 61 )

 

 

Jika penulislah yang duduk di tempat Pak Mad Sakiran, tak tahulah apa jadi !

Uniknya, sebagai kajian kes, cerpen ini telah dipilih oleh juri sebagai pemenang Hadiah Sastera Sabah 2006/2007 kategori Cerpen pada tahun 2008. Analisis juri terhadap cerpen ini penulis lampirkan untuk perbandingan :

 

Cerpen Tuah Badan mengangkat peristiwa sejarah dari sisi yang jarang diperkatakan. Cerpen ini menonjolkan peranan besar dan penting Dang Bandang dalam perjuangan suaminya Paduka Mat Salleh, seorang pejuang besar Sabah dalam menentang kolonialisme Inggeris di Sabah…. Cara dan gaya cerpen ini membongkar sejarah perjuangan Paduka Mat Salleh melalui siri ketokohan Dang Bandang adalah satu perkara yang amat menarik. Kelainan ini membuatkan cerpen ini wujud sebagai hasil karya yang lebih bermakna.

 

( Antologi Di Sebalik Cermin, m/s xxv )

 

Oleh itu, penulis belajar untuk menjadi optimistik dan redha bahawa analisis untuk cerpen DBLKDTW adalah yang terbaik dalam takdir Allah SWT.

Kata-kata ADUN Membakut, YB Hj Dato’ Ariffin Arif turut menjadi suntikan motivasi paling bermakna untuk penulis berlapang dada.

” Kebanyakan orang gusar dengan kritikan dan teguran. Padahal selesa dengan pujian menjadikan kita alpa lalu menghabiskan tenaga jua untuk melayani setiap sanjungan. “

Wallahualam…