jump to navigation

DI BALIK PENGGARAPAN “ DI BALIK LEMBUT KERUDUNG DAN TEDUH WAJAHNYA” Mac 18, 2009

Posted by Ismi Nailofar in Uncategorized.
trackback

 

Oleh : Ismi’ Nailofar

cerpen5a

( Gambar dari Majalah Tunas Cipta, Edisi Mac 2009 )

Alhamdulillah, cerpen Di Balik Lembut Kerudung Dan Teduh Wajahnya telah terbit dalam Tunas Cipta keluaran bulan ini. Penulis telah redha dengan apa yang ada di situ seusai membacanya.

 

 

Idea untuk menulis artikel ini sebenarnya sudah lama berbibit. Keinginan menelurkannya disemarakkan oleh kemunculan dua buah artikel yang menyusul setelah penulis menghantar draf cerpen kepada Bonda Ani. Pertama, artikel blog Istimewanya Wanita oleh Dr Mohd Azhar Mohd Sarip, gurulatih dan pakar Minda Super Sedar yang tak asing lagi buat pembaca Mingguan Wanita. Kedua, artikel di laman blog Kapten KH Lim- “ My Aircraft”- Why Sully Maybe The Last of His Kind ( bakal muncul terjemahannya di blog ini ). Namun penulis hanya menanggapi idea itu dengan bersikap, ‘ Tunggulah dulu, Tunas Cipta Mac 2009 belum sampai di tangan Penulis lagi. Baca dulu teks Di Balik Lembut Kerudung Dan Teduh Wajahnya, baru tulislah.’  Penulis kian diujakan untuk menulis artikel ini, setelah penulis diperkenalkan kepada saudara SM Zakir oleh Cikgu Ramlie Jusoh ( NYDP Badan Bahasa Sabah ) pada acara Malam Semarak Kebudayaan di Hotel Courtyard One Borneo sempena Persidangan Persuratan Dan Kebudayaan Kebangsaan ( yang berlangsung di Kota Kinabalu pada 6-8 Mac yang lalu ). Sekembalinya penulis dari majlis itu, idea yang terkepung bagai tidak sabar-sabar untuk dilepaskan, tetapi penulis tidak memiliki komputer bimbit sebagai rafik di sisi. Maka penulis bersabar sehingga tiba waktu untuk pulang ke rumah dan kembali menghadap komputer butut penulis.

 

 

 

 

cerpen5

 

Cerpen DBLKDTW merupakan cerpen kedua yang penulis hantar ke Tunas Cipta selepas Dari Rose Quartz Ke Cakna Cinta. Salah satu perbezaan yang wujud dalam cerpen ini berbanding cerpen DRQKCC adalah cerpen ini telah menerima ‘ujian asid’ dalam laman esastera.com terlebih dahulu. Dalam cerpen DBLKDTW, Penulis melanjutkan isu terdahulu dalam cerpen DRQKCC, tetapi dengan dimensi yang lebih luas dan menggunakan sudut pandangan seorang lelaki yang keperitan dek rasa cintanya yang tak berbalas.

Para pembaca yang pernah membaca DRQKCC, tetapi belum lagi membaca DBLKDTW, mungkin tertanya-tanya, tidak ada kisah lainkah yang mampu ditulis oleh Ismi’ Nailofar ini selain kisah cinta ?

Jika ada yang tertanya-tanya sebegitu, artikel ini tidak akan memberi jawapannya secara terus. Pertanyaan mereka hanya akan terjawab dengan sendirinya apabila membaca Tunas Cipta Mac 2009.

Seingat penulis, cerpen ini digarap ketika isu Abby Abadi-Norman Hakim-Memey masih hangat diperkatakan. Kebetulan, berapa lama sesudah menonton drama Jepun Attention Please, siri dokumentari Air Crash Investigation dan membaca resensi drama Charlie Victor Romeo, daya tujahan untuk menulis fragmen kehidupan seorang juruterbang komersil pun berbibit tapi idea untuk menujah penggarapannya masih kurang. Dan saya sudah bertahun-tahun berasa teruja untuk menulis kisah heroin Melayu/Bumiputera Baharu yang setara karismanya dengan watak Chang Jin dalam drama Dae Jang Geum : Jewel In The Palace atau watak Oshin dalam drama Jepun yang judulnya mengambil sempena namanya sendiri. Yang peliknya, idea untuk sebuah cerita tiba-tiba datang mencurah-curah gara-gara terdengar lagu Cinta dalam Hati yang merapung di corong radio.

Sekali imbas, isu-isu dalam cerita tersebut seperti tidak memiliki kesatuan antara satu dengan yang lainnya.

Isu pertama, isu wanita professional yang lambat berkahwin atas sebab krisis kepemimpinan lelaki akhir zaman. Isu perdana dalam cerpen DRQKCC.

Isu kedua, lelaki yang berpoligami ikut nafsu-nafsi melulu. Bila ditanya kenapa berpologami, jawapan mereka : “ Ikut sunnah.”. Kahwinnya sahajalah yang ikut sunnah, tapi urusan pentadbiran rumahtangganya, ya ampun, barangkali gaya orang Mormon mentadbir lebih baik lagi.

Isu ketiga, sikap tertutup terhadap juruterbang wanita.

Tapi tulis sahajalah dulu.

Kenapa penulis tetap meneruskan penulisan cerita yang datang sehingga ia menjadi cerpen DBLKDTW ?

Penulis melihat cerita itu mampu menjadi suatu jalan untuk meluahkan pendapat peribadi yang terpendam tentang ketiga-tiga isu tersebut. Penulis sedar, kisah cinta tak berbalas hanya platform penulis untuk membawa pembaca melihat pendapat tersebut. Watak Kapten Tajol dalam cerpen DBLKDTW sekadar sudut pandangan di mana cerita bergerak – cerita yang sebenarnya menampilkan Citra Femina sebagai watak utama di mana ketiga-tiga isu berputar-putar.

Penulis melihat isu pertama dan kedua sama seperti tukang cerita kisah benar di majalah isu-isu semasa wanita. Jadi, dalam artikel ini tumpuan penulis diberikan sepenuhnya untuk isu ketiga- pendapat peribadi yang serupa dengan kebanyakan artikel yang ditulis oleh pakar-pakar dunia penerbangan.

 

 

grafikcerpen1asmall

Dalam DBLKDTW, penulis berusaha menampilkan wanita yang mendepani persoalan seputar dunia penerbangan komersil ( Commercial Aviation )-Konflik gender serta jurang generasi yang wujud antara juruterbang komersil generasi baharu yang lahir dari latar belakang bukan tentera dan juruterbang generasi lama yang berlatar-belakangkan ketenteraan ( secara intuitif tetapi hanya penulis sedari kewajarannya selepas membaca artikel “ My Aircraft”- Why Sully Maybe The Last of His Kind ). Dalam era sebelum akhir tahun 1970-an, geladak penerbangan secara globalnya merupakan mandala yang diterajui sistem patriaki-feudal.

Patriaki kerana sikap tertutup terhadap kehadiran juruterbang wanita. Hal ini telah disebutkan dalam artikel tulisan Sergio Ortega yang telah penulis terjemahkan lewat artikel sebelum ini.  

Feudal kerana pada era 60-an ke 1970-an, pesawat komersil secara majoritinya dikendalikan oleh juruterbang yang berlatarbelakangkan alam ketenteraan. Malah ada di antara mereka yang merupakan veteran perang besar dunia- Perang Dunia Kedua, Perang Korea, Perang Vietnam dan lain-lain lagi. Sistem tentera secara umumnya bersifat feudal ala Sang Sapurba-Demang Lebar Daun : ikut arahan ketua, jangan sekali-kali derhaka pada ketua; serta melatih orang-orang di dalamnya untuk menjadi pengambil risiko. Kapten Tajol merupakan perwakilan kepada kumpulan juruterbang yang datang dari latar belakang ini ( walaupun Penulis tidak perikan dalam cerpen ini, namun pembaca yang mempunyai ilmu bantu yang cukup akan mempunyai pandangan yang serupa dengan Penulis ) dan belum dapat beradaptasi sepenuhnya kepada sistem penerbangan awam yang sifatnya lebih mengutamakan musyawarah berbanding menjulang ego ketua. 

Citra Femina bukan hanya simbol wanita, tetapi juga perwakilan bagi juruterbang komersil generasi baharu yang dilatih sepenuhnya di sekolah penerbangan awam yang menawarkan pakej kursus selama tiga ke empat tahun. Yang dilatih dengan gaya berfikir yang berbeza dari kaedah tentera yakni menghindarkan risiko yang tak perlu demi kepentingan umum.

 

 

 

 

 

0236917

Kapten Tajol dan Citra Femina dilihat sebagai dwikutub yang saling bertentangan. Tetapi akhirnya saling bersetuju apabila situasi kritikal memaksa Kapten Tajol untuk mengetepikan ego tinggi yang tidak ingin melihat wanita melebihi dirinya sendiri dalam sebarang aspek.

Bagaimana cerita dalam minda penulis menyatukan ketiga-tiga isu ?

Cerita dalam minda penulis merajut ketiga-tiga isu tadi dengan satu untaian hakikat yang satu dan terserlah secara subtle : Wanita wujud sebagai sebahagian dari diri lelaki yang hilang, jadi wanita wajar dimuliakan dan sebarang bakat dan kemahiran yang ada pada mereka dihargai sewajarnya. Justeru, lelaki yang memuliakan wanita, mulialah diri mereka sendiri dan begitu juga sebaliknya. Untaian hakikat yang sebenarnya tersisip halus dalam setiap karya yang pernah penulis hasilkan. Jalaluddin Rumi sendiri menyatakan wanita itu bukan hanya sekadar ciptaan Illahi, tetapi secercah cahaya Illahiah. Kata Dr Azhar Mohd Sarip, yang sudah tentu berasaskan ajaran Islam sendiri, yang terbaik diantara manusia ( baca : lelaki ) adalah yang terbaik sikap dan perilakunya terhadap kaum wanita. Malangnya masih ada wanita yang dihinakan seperti yang banyak terjadi sejak dulu hingga kini ( Dan mudah-mudahan tidak untuk selama-lamanya ). Dengan menggunakan watak Kapten Tajol dan keadaan cintanya pada Citra Femina yang tidak berbalas demi menyampaikan hakikat yang satu itu, kesannya lebih mengugah fakulti minda, spiritual dan badaniah pembaca.

Nama Citra Femina sebagai protagonis cerpen sebenarnya punya sejarah sendiri. Semasa di kampus dahulu, penulis terlibat dengan aktiviti khas untuk siswi yang menyelitkan aksara Femina pada nama aktiviti tersebut- Dimensi Keunggulan Femina. Nama itu terus bermain-main dalam minda penulis sehingga ia ditujah untuk muncul sebagai nama protagonis. Dimensi Keunggulan Femina yang auranya terjelma dalam citra seorang juruterbang wanita.  

Apapun, baca dahulu cerpen ini  dan biarkan ia menggugah ketiga-tiga fakulti dalam diri anda lalu anda nilaikan sendiri seadil-adilnya.

 

 

 

 

 

 

Komentar»

1. FahdRazy - April 13, 2009

Tahniah!

2. Ismi Nailofar - April 18, 2009

Terima Kasih…:-)

3. oCeaNiA - April 19, 2009

Garapan yang mengujakan! Teruskan usaha saudara berkarya..