Sistem Fly-By-Wire ( Kawalan Penerbangan Berkomputer ) Dalam Pesawat Boieng 777 Julai 22, 2008
Posted by Ismi Nailofar in Uncategorized.4 comments
Diterjemahkan oleh : Ismi’ Nailofar ( Artikel Asal oleh Matt Lave )
Semenjak sistem fly-by-wire ( baca : sistem kawalan pesawat secara berkomputer ) merintis langkah memasuki perkhidmatan pesawat komersil- melalui Airbus A320- pada tahun 1988, popularitinya kian menanjak. Sistem fly-by-wire merupakan satu cara untuk menghantar isyarat dari kokpit ke bahagian pesawat yang lain. Isyarat tersebut dihantar ke bahagian pesawat ( sama ada pengacau, penstabil tegak, kemudi, enjin dan sebagainya ) untuk digerakkan pada nilai yang tertentu. Apa yang unik tentang sistem ini ialah: ketika isyarat bergerak di antara kokpit dan bahagian pesawat, komputer akan membaca dan membetulkan isyarat tersebut terlebih dahulu, sebelum perjalanannya diteruskan. Ini membantu juruterbang sewaktu mendepani cuaca buruk ( gelora udara ) dan situasi kecemasan yang tertentu. Buat beberapa waktu, Boieng ( pembuat pesawat terbesar di dunia ) dengan secara sedar telah membuat keputusan untuk mengetepikan penggunaan sistem ini, kerana pihak Boeing mempunyai tanggapan bahawa komputer akan menghalang tindakan ( mengikut budi bicara ) juruterbang tatkala mendepani situasi cemas di udara. Sistem fly-by-wire dalam pesawat Airbus mempunyai kuasa mutlak mengatasi budi bicara juruterbang, dan tidak akan membenarkan juruterbang menerbangkan pesawat melebihi modul had yang telah ditetapkan.
Pihak Boeing telah membuat keputusan yang sukar tatkala mengimplementasikan sistem fly-by-wire ke dalam pesawat terbarunya, Boieng 777 ( dikenali sebagai triple seven di dalam komuniti penerbangan ). Mereka harus memilih sama ada untuk terus kekal dengan sistem hidraulik konvensional seperti jet penumpang keluaran yang terdahulu, atau mengikut jejak langkah Airbus lalu membangunkan pesawat dengan sistem fly-by-wire. Apabila kajian dan pembangunan secara serius dilakukan untuk pesawat 777 -bermula tahun 1990, sistem yang dibangunkan oleh Airbus telahpun berusia dua tahun. Dan banyak syarikat penerbangan masih samar-samar dalam menentukan prioriti- sama ada kekal dengan sistem hidraulik konvensional atau beralih kepada sistem fly-by wire. Namun, ketika geladak penerbangan 777 telah disiapkan pada tahun 1993, keadaan menjadi semakin jelas- bahawa sistem fly-by-wire yang menjadi keutamaan.
Pihak Boeing tidak mahu komputer kawalan mempunyai kuasa mutlak mengatasi budi bicara juruterbang, jadi, mereka perlu membangunkan bentuk sistem fly-by-wire yang sama sekali berbeza dari sistem yang telah dibangunkan oleh Airbus. Boieng cuba mengekalkan rasa dan kawalan pesawat – seboleh-bolehnya sama seperti model yang terdahulu, sambil menyepadukan fungsi komputer kawalan untuk membantu juruterbang; membuatkan kokpit nampak lebih kemas ( bacaan dipaparkan pada skrin LCD berkomputer berbanding paparan tolok analog yang sukar dibaca ) serta mengurangkan berat pesawat.
Walaupun sistem fly-by-wire nampak kompleks -kerana memerlukan baris demi baris kod perisian, ia sebenarnya mempunyai lima langkah asas yang mudah. Langkah pertama ialah memasukkan imput dari juruterbang. Contohnya, ialah gerakan tolak ke hadapan pada turus kawalan. Isyarat ini ialah isyarat analog ( menolak turus kawalan tidak sama seperti menaip papan kekunci komputer, di mana isyarat dari papan kekunci komputer merupakan isyarat digital ). Isyarat dari turus kawalan ini perlu dibaca oleh komputer, jadi ia dihantarkan kepada empat kekotak dipanggil ACE ( atau Actuator Control Electronics ) menggunakan wayar. Langkah kedua ialah penerjemahan isyarat analog kepada isyarat digital oleh ACE, agar isyarat ini boleh dibaca oleh komputer. Isyarat ini kemudiannya dihantar kepada tiga buah komputer serupa yang dipanggil Komputer Utama Penerbangan ( Primary Flight Computer ).
Langkah ketiga merupakan langkah paling penting yang tidak dipunyai oleh sistem konvensional. Komputer membaca isyarat dari juruterbang dan kemudian memperbetulkannya. Katakanlah seorang juruterbang menolak turus kawalan ke bawah secara perlahan-lahan, untuk menurunkan pesawat tiga darjah relatif kepada garis ufuk. Dalam kes ini, komputer akan membaca tindakan juruterbang untuk menurunkan pesawat. Walaupun proses pembetulan mungkin tidak pernah berlaku, ia mungkin sekali bahagian yang paling penting dalam proses ini. Sekiranya pesawat tersebut berada dalam gelora udara, yang menyebabkan sudut yang dihajati bertambah kepada lima darjah ke bawah; komputer berkemungkinan akan menukar isyarat yang dibuat oleh juruterbang dengan menambah sudut dongakan sebanyak dua darjah ke atas, lalu menyebabkan pesawat turun dengan sudut tiga darjah relatif sama seperti yang dihajati juruterbang tersebut. Dalam bentuk persamaan matematik yang mudah ia akan kelihatan seperti ini: -5 ° ( tanda negatif bermaksud gerakan 5 darjah ke bawah )+ 2° ( tanda positif bermaksud gerakan 2 darjah ke atas )= -3°. Hal yang sama berlaku sekiranya pesawat terturun ke bawah disebabkan gelora, dan juruterbang tersebut mengekalkan kedudukan pesawat. Komputer akan mengesan penurunan pesawat, lalu memperbetulkan posisi secara automatik untuk menstabilkannya semula.
“ Pada setiap tahap dalam proses ini, komputer utama penerbangan mampu- dan seringkali akan- menukar isyarat, menurut situasi yang dialami oleh pesawat pada waktu tersebut. Jika juruterbang menggerakkan turus kawalan dalam cara yang akan menyebabkan pesawat berada dalam keadaan pegun, komputer ini akan menghantar isyarat suap-balik, yang menghasilkan satu daya balas yang menolak turus kawalan pada arah melawan tindakan juruterbang. Jika komputer utama penerbangan menerima isyarat bahawa pesawat sedang terbang menempuhi gelora dan udara yang bergelora tersebut menyebabkan pesawat berubah posisi anggulnya, ia mungkin menambah sesuatu nilai pada isyarat daripada turus kawalan agar pesawat kembali ke posisi asal sebelum menempuh gelora.” ( menurut Karl Sabbagh dalam bukunya 21st Century Jet, m/s 156-157 ).
Ada tiga buah komputer yang melakukan proses ini, sebagai sokongan tambahan ketika salah satu atau dua komputer gagal berfungsi. Kegagalan teknologi baru dilihat sebagai satu ancaman besar, lebih-lebih lagi tatkala nyawa lebih 300 penumpang berada di atas pesawat.
Langkah keempat benar-benar sama dengan langkah dua ( namun ia dilihat sebagai proses kebalikan ). Isyarat digital yang diperbetulkan dihantar semula kepada ACE untuk ditukarkan kembali kepada isyarat analog ( menggerakan bahagian pesawat bukan proses digital ). Kini, tiba pula langkah kelima iaitu, proses menggerakkan bahagian pesawat yang sebenarnya. ACE menerima isyarat lalu menggerakkan bahagian pesawat yang dikehendaki. Katakanlah dalam kes ini, ACE akan menggerakkan penganggul dalam nilai yang sedikit untuk menghalakan muncung pesawat ke bawah. Proses menggerakkan penganggul disempurnakan dengan isyarat dari jurterbang akan melalui semua laluan, bermula dari turus kawalan, kemudian melalui komputer dan berakhir di penganggul. Dalam pesawat Boieng 777, jarak di antara turus kawalan dan penganggul adalah melebihi 200 kaki. Sungguhpun demikian, isyarat ini bergerak dalam jarak tersebut pada nilai milisaat melalui wayar.
Aspek keselamatan seringkali menjadi faktor besar ketika merekabentuk sebuah pesawat terbang, dan ia menjadi kian besar dalam proses rekabentuk pesawat Boieng 777, sementelah lagi Boieng telah cuba menyepadukan teknologi fly-by-wire yang diragui oleh segelintir pihak. Langkah awasan yang terbesar yang telah diambil ialah penggunaan tiga buah komputer utama, salah satu dari ketiga-tiganya akan mengendalikan sendiri sistem fly-by-wire. Dan setiap komputer utama ini mempunyai tiga buah sub-komputer. Jadi, ada 9 buah komputer yang beroperasi mengendalikan sistem fly-by-wire. Jelas, ada banyak back-up untuk sistem ini !
Satu lagi langkah awasan yang diambil pihak Boieng ialah sokongan bekalan kuasa elektrik kepada kokpit. Bekalan kuasa ini merupakan kuasa elektrik yang menghidupkan paparan digital pada LCD. Ia selalu diambil dari kedua-dua enjin pesawat. Kemungkinan kedua-dua enjin akan gagal beroperasi adalah sangat kecil, namun Boieng tidak mahu kejadian yang tidak diingini dari berlaku; jadi mereka menambahkan dua sumber bekalan sokongan. Yang pertama ialah APU atau Unit Bekalan Sokongan. Ia merupakan enjin ketiga yang lebih kecil, yang membekalkan kuasa apabila kedua-dua enjin tidak berfungsi. Bekalan sokongan yang kedua merupakan sokongan kuasa dari bateri, yang sama fungsinya seperti bekalan kuasa bateri pada pemain CD atau jam.
Banyaknya kelebihan berbanding sistem hidraulik konvensional menjadi sebab utama yang mendorong Boieng dan Airbus untuk memilih sistem ini. Sistem kawalan pesawat yang tertua ialah sistem yang menggunakan daya terus dari gerakan otot tubuh juruterbang. Secara asasnya, juruterbang menggerakkan permukaan kawalan dalam kokpit; dan sementelah kawalan disambungkan secara terus menggunakan kabel keluli kepada bahagian pesawat, bahagian yang digerakkan itu akan bergerak. Sistem kawalan secara terus menggunakan daya gerakan otot ini telah digunakan oleh Wright Bersaudara. Sistem ini bukan setakat memenuhkan pesawat dengan banyak kabel yang besar dan berat; malah menyebabkan juruterbang menggunakan kudrat otot untuk menggerakkan bahagian yang mengawal pesawat, menyebabkan juruterbang mudah mengalami kepenatan. Sistem fly-by-wire pula sangat berbeza dengan sistem kawalan menggunakan daya gerakan otot. Saking sistem fly-by-wire merupakan cara mengawal pesawat yang terkini, ia tidak menggunakan kabel yang besar-ia menggunakan wayar yang nipis; jadi, pesawat lebih ringan dan menjimatkan minyak.
Sistem kawalan yang berada di tengah-tengah sistem daya terus dan sistem fly-by-wire muncul seiring dengan era pesawat jet. Sistem jenis ini dipanggil sistem hidraulik. Sementelah sistem ini amat serupa dengan sistem daya terus oleh sebab penggunaan kabel keluli yang masih ada, sistem ini menggunakan kuasa hidraulik untuk menggerakkan bahagian yang hendak digerakkan. Apabila daya dari kabel mencapai bahgian hidraulik, kuasa hidraulik akan menggerakkan bahagian tersebut. Sistem hidraulik mempunyai banyak kelebihan berbanding sistem daya terus, oleh sebab juruterbang tidak akan berasa amat letih, kerana kuasa hidraulik melakukan sebahagian besar kerja yang diperlukan. Sistem fly-by-wire mempunyai kesamaan dengan sistem hidraulik dari aspek penggunaan kuasa hidraulik bagi menggerakkan permukaan kawalan. Dalam sistem fly-by-wire, ACE menggerakkan kuasa hidraulik. Perbezaan yang timbul ialah isyarat gerakan dari ACE dihantarkan lewat dawai nipis kepada komputer yang menapis isyarat pada situasi yang diperlukan, dan bukannya menggunakan kabel besar.
Sistem fly-by-wire nampaknya akan bertahan lama sebagai sistem pilihan. Keupayaan untuk mendapatkan kawalan permukaan berbantu komputer membuat tugas seorang juruterbang menjadi lebih mudah. Sebagaimana yang telah disahkan oleh ketiga-tiga orang juruterbang B777 United Airlines yang saya temui, sistem ini semestinya pilihan yang tepat sebagai sistem kawalan bagi Boeing 777.
Cerpen terbaru menemui peminat sastera di esastera.com – MEMORI 7700: TIMPAS MINYAKNYA… Julai 10, 2008
Posted by Ismi Nailofar in Pelbagai.Tags: Cerpen
add a comment
Cerpen : Mencabik Mendung Di Langit Kelabu Julai 8, 2008
Posted by Ismi Nailofar in Pelbagai.Tags: Cerpen
1 comment so far
Saya menyiarkan semula cerpen ‘Mencabik Mendung Di Langit Kelabu’ di sini. Saya menyiarkannya di esastera.com pada 9 Jun 2008, kerana terkesan dengan artikel yang telah ditulis oleh Nisah Hj Haron dalam blogsnya :”Tak Boleh Bawa Novel ke Asrama” ( http://www.annyss.blogspot.com/)
Mencabik Mendung Di Langit Kelabu
Ismi’ Nailofar
“ PARA PENGHUNI SEKALIAN, SILA TURUN KE BAWAH BLOK SEKARANG JUGA ! “, suara ketua penghuni asrama bergema lewat loud hailer. Hampir semua penghuni asrama puteri berlari terberet-beret bagaikan cencurut. Tak sampai lima minit, mereka sudah berada di halaman bawah.
Babak itu tiba-tiba sahaja mampir di benak, sedang Mira duduk di sofa menunggui seseorang; enak merongrong dirinya yang sedang diulit rusuh.
“ Para pengawas asrama, sila berkumpul di sebelah saya.”, arah seorang wanita yang berwajah paling dingin dalam saf warden yang hadir. Suaranya dalam kekuatan yang munasabah tapi nadanya keras, demi mempamerkan secebis kuasa yang dimilikinya.
Secara tiba-tiba, Mira merasai sesuatu yang angker, menjana daya angkat yang membuat bulu romanya berdiri.
“ Itulah Cikgu Mahanum, ketua warden asrama. Tapi dia dikenali dengan nama Mem. Sesuai dengan pangkat dan perwatakannya. ”, terdengar pula bisikan Kak Manisah, seorang senior tingkatan lima.
Ini rupanya Mem yang selalu disebut-sebut para penghuni itu. Aku tak pernah nampak Cikgu Mahanum masa Minggu Mesra Form Four dulu sebab Cikgu Mahanum pergi kursus, bisik hati Mira.
Kak Manisah menyambung, “ Mem ni rajin buat checking dorm. Berhati-hatilah kalau ada terbawa barang larangan. Pandai-pandailah sorok. Nanti waktu cuti bawalah balik ke rumah. Hmmm, Mira mesti rimas kan dengan hidup yang macam ni? Nak buat macam mana? Bersabarlah, nanti Mira akan biasa nanti. ”
Mira cuma tersenyum menanggapi kata-kata seniornya itu. Sebagai orang baru, dia harus selalu tahu diri.
Para pengawas asrama sudahpun memisahkan diri dari kelompok besar dan berdiri dalam barisan di sebelah para warden. Ternyata ada pemeriksaan mengejut alias checking.
Kenapa ya ? Rutin atau ada kecurian ?
Penghuni-penghuni lain pun seperti dirinya, berbisik tanya apa yang sedang berlaku. Bezanya, mereka saling berbisik pada teman dalam klik mereka.
“ TOLONG SENYAP !”, Cikgu Mahanum menjerit apabila melihat penghuni tidak menumpukan perhatian di hadapan.
Kemudian, Cikgu Mahanum membahagikan para pengawas kepada beberapa kumpulan kecil yang akan memeriksa loker setiap penghuni di blok yang berlainan. Setelah berapa ketika berlalu, para pengawas pun bergerak pantas menuju ke dorm mana mereka ditugaskan.
Dalam tempoh hampir limabelas minit, mereka turun semula dengan membawa sejumlah barang rampasan. Majalah-majalah hiburan dan novel-novel picisan yang tak menyihatkan minda tentunya.
Mira memutuskan lamunannya. Dia melihat jam di dinding. Waktu rehat tinggal lagi duapuluh minit, namun Mira belumpun melihat kelibat Cikgu Mat Nor. Resah kian bertumang di dalam hatinya. Namun, asbabnya bukan kerana belum makan apa-apa.
“ Kak Mira, maafkan Azma. Azma yang pandai-pandai pinjamkan buku Kak Mira kepada junior yang lain, tanpa kebenaran Kak Mira terlebih dahulu. Junior yang terakhir pinjam buku tu dah kena tangkap semasa curi-curi membaca buku Kak Mira dalam kelas BM, sewaktu Cikgu Mat Nor tengah mengajar di depan. ”
“ Jadi ? ”
“ Cikgu Mat Nor dah ambil. Cikgu kata, dia nak Mia Fortuna sendiri yang pergi jumpa dia untuk ambil buku tu.”
Himbauan perbualan dengan adik junior tingkatan dua, di depan anjung dorm selepas kelas prep malam semalam; benar-benar meletakkan Mira dalam perasaan yang bercampur-aduk lagi saling bergiliran datangnya sejak itu hingga kini. Geram, sakit hati, kesal, sesal, resah dan entah apa lagi. Namun rasa resah yang lebih kerap datang.
Mira bukan tidak tahu, siapa dia Cikgu Mat Nor di mata warga sekolah ini.
Guru disiplin sekolah.
Berani benar junior itu membaca skrip novelku, semasa Cikgu Mat Nor sedang mengajar. Betul-betul cari nahas ! Luah hati Mira, geram mengenangkan kata-kata Azma.
Puas dia memejamkan matanya, memujuk diri agar segera terlena. Tetapi dia masih merasakan tidur itu sesuatu yang mustahil untuk dilakukannya saat itu. Dia hanya mampu berdoa di dalam hati…
Mudah-mudahan Cikgu Mat Nor tak segarang Mem. Eeeee…
“ Ada apa cari saya? ”, tanya Cikgu Mat Nor pada Mira, ketika Mira menghampiri mejanya.
“ Cikgu, sayalah Mia Fortuna yang Cikgu nak jumpa tu. Dan buku sayalah yang kena rampas dek Cikgu tempohari. ”
“ Awak Mia Fortuna? ” soal Cikgu Mat Nor lagi. Kehairanan. Beliau membanding-bandingkan nama Mia Fortuna dengan nama yang tertera di tag nama Mira.
“ Tapi nama kamu Asmira, kan ?”
“ Cikgu, Mia Fortuna tu nama samaran saya. Saya suka menulis cerita dengan menggunakan nama samaran.”
Mira menekur lantai. Babak insiden checking itu tiba-tiba mampir lagi.
Jiwa penulisnya yang masih cilik tersentuh, sejak Mira melihat insiden itu. Namun gelodak jiwa yang mengharu-birukan emosi itu sukar difahami akal rasional remaja fasa pertengahannya. Dia membiarkan sahaja ia berkelana dalam hati kecilnya tanpa disusuli sebarang luahan.
Sentuhan jiwa itu tetap sama sensasi gelodaknya, setiap kali memori insiden itu bertandang ke benak.
Seiring dengan gerak masa yang kian mara ke hadapan, keberdayaannya untuk menahan gelodak jiwa itu semakin sirna. Mujur kefahamannya bersuara di saat dia amat memerlukannya. Kefahaman yang membentangkan kenyataan nan menakutkan.
Tiada angin masakan pokok bergoyang ! Kehidupan di asrama yang penuh rutin, rasa berjauhan dari orang tua dan tekanan untuk mencapai tingkat terbaik dalam perlumbaan akademik menjadikan hidup para penghuni bagaikan ada satu tona warna sahaja, biarpun tersedia waktu riadah dan outing dalam jadual harian. Sebab itulah majalah-majalah hiburan yang sarat dengan gosip demi gosip serta novel-novel picisan- yang membentangkan ‘kisah-kisah cinta di langit ketujuh’- berada di sini, biarpun peraturan jelas telah melarang kemasukannya. Tapi, setiap masalah ada penyelesaiannya. Pada setiap halangan ada peluang yang terbentang. Pasti ada cara yang lebih sihat untuk mewarnakan kehidupan dengan satu tona warna itu !
Mira pun berani mengorak langkahnya. Di petang hari, saat penghuni asrama puteri yang lain asyik bermain permainan dan sukan, dia asyik dengan pensel dan buku catatannya. Menjauhkan diri seperti orang yang sedang dilanda penyakit angau. Pensel Mira bergerak lincah mencoretkan semua ilham, yang kemudiannya disusun menjadi kisah yang memotivasikan. Watak protagonisnya bukanlah manusia berwajah bidadari yang dilimpahi kekayaan wang ringgit dan harta benda. Watak antagonisnya tidak sehitam watak-watak jahat filem Tamil. Pemain ceritanya adalah orang biasa-biasa dengan wajah biasa-biasa, namun mencapai kejayaan dan kemewahan lewat kegigihan dan ketabahan. Banglo mewah dan pejabat eksekutif bukanlah latar cerita pilihannya, sebaliknya alam semulajadi yang berkata-kata dengan suaranya yang tersendiri.
Waktu outing yang terluang dihabiskan Mira di kafe internet untuk menaip tulisan-tulisannya. Masa berlalu dan satu demi satu bab pun siap. Akhirnya, setelah lengkap sejilid ‘novel’ sulungnya, Mira pun meminjamkannya kepada para penghuni sebagai bahan bacaan mereka secara senyap-senyap.
Mira tidak mampu menjangka dengan tepat akan sambutan penghuni asrama pada ‘novel’nya. Belum pun ia dipulangkan oleh si peminjam, peminjam yang lain pula akan membuat janji pra-peminjaman.
Sekarang, sudah ada janji yang dilanggar oleh peminjam, rungut hati Mira
“ OK, kenapa sampai membiarkan junior kamu membawanya ke kelas dan curi-curi membaca di belakang semasa saya mengajar ? ”
“ Itu semua saya tak tahu, Cikgu. Inilah akibatnya bila orang yang saya pinjamkan buku itu meminjamkannya pula kepada orang lain di luar pengetahuan saya. Saya dah pesan kepada setiap peminjam, baca buku saya hanya bila berada di dorm. Jadi saya tidak sepatutnya turut menanggung akibat dari tindakan mereka.”, luah Mira dengan nada kesal. Namun ada kepuasan dan rasa lapang yang berdatangan sesudah itu.
II
“ Hmmmm… Mira suka tak, kalau Cikgu tawarkan untuk menjadi ahli sidang editor majalah sekolah kita ? ”
Mira menghela nafasnya dalam-dalam lagi perlahan-lahan. Matanya masih terpaku pada pesisiran pantai yang terbentang saujana di hadapannya.
Kisuran semilir petang yang berpuputan ke pipi seakan-akan menitipkan kembali kata-kata itu ke dalam minda Mira. Bersipongang.
Tawaran Cikgu Mat Nor semasa pertemuan di makmal komputer Bestari pagi tadi sememangnya tidak terjangkau dek daya nalar seorang Mira.
“ Apa sebabnya Cikgu nak tawarkan jawatan dalam sidang editor kepada saya yang tak punya apa-apa ini ?”
Soalan Mira itu ternyata membuat ketawa perkasa Cikgu Mat Nor meledak di ruang makmal Bestari.
“ Mira… Mira… Cikgu dah habis baca skrip novel kamu. Syabas, Mira !”
Dalam masa seminggu, nasib Mira berubah mendadak. Dia merasakan langit seperti menyedut dirinya keluar secara mendadak dari makmal komputer Bestari, mengapungkan dirinya setinggi yang mungkin, lalu menghempaskannya kembali ke bumi.
“ Cikgu kagum dengan kamu. Dari cara Mira menulis novel ni, cikgu dapat merasakan yang Mira ni ada potensi yang besar di bidang penulisan satu hari nanti. Jadi, apa salahnya Cikgu tawarkan jawatan pada Mira supaya bakat Mira tu tidaklah sia-sia sahaja ? ”
Dia tidak mampu menduga bahawa pertemuannya dengan Cikgu Mat Nor minggu lepas, menjadi asbab hadirnya penghormatan serta penghargaan dari seorang pejuang sastera dan bahasa pada bakat dan minatnya. Menjadi anggota sidang editor majalah sekolah adalah impian yang terpendam dalam jiwa penulis ciliknya selama ini. Haruskah dia menolak peluang yang sudah terbentang di hadapan mata ?
“ Entahlah cikgu, nantilah saya fikirkannya. ”
“ Kenapa, Mira tak mahukah ? ”, Cikgu Mat Nor menduga-duga.
Bukan tidak mahu, hati Mira bersuara.
Kata-kata yang pernah terpacul, dari mulut orang-orang yang berhubungan rapat tiba-tiba sahaja bersipongang di telinga Mira.
“ Kerja karang-mengarang tu bukannya boleh bawa ke mana-mana.”
“ Boleh hidupkah dengan bersastera-sasteraan ? Lebih baik kau tumpukan perhatian pada sains dan kira-kira, lebih berhasil lagi tau !”
Kata-kata itu serta senyum sinis mereka, sering menjadi pukulan padu yang melumpuhkan rasa percaya akan kemampuan bakatnya sendiri.
Namun, kelumpuhan itu sementara cuma adanya. Mira tidak dapat membohongi dirinya, bahawa dia masih berasa lebih bahagia dan ceria tatkala berhasil mencurahkan rasa lewat susunan kata-kata; tatkala batinnya tersentuh dek sesuatu, hingga kini.
“ Tidak, Cikgu. Saya cuma masih kurang yakin pada diri sendiri. Jika saya ada bakat, seperti kata cikgu sekalipun, hendak ke manalah bakat saya ini dimanfaatkan, dalam alam nyata yang serba-serbi mementingkan RM, dan yang lebih mengutamakan sains dan teknologi ini, Cikgu ?”, jawab Mira, menafikan dugaan Cikgu Mat Nor.
Suasana jeda, sehingga Cikgu Mat Nor dan Mira keluar dari makmal komputer.
“ Soalan yang Mira tanya pada Cikgu tadi, sebenarnya bukan soalan nombor satu.”, jawab Cikgu Mat Nor ketika mereka berhenti di pinggir koridor. Mira melongo linglung. Mujur waktu rehat belum lagi tamat.
“ Jadi, sebelum Cikgu jawab soalan Mira, Mira kena faham terlebih dulu; apa dia Sains dan apa dia Sastera. Dan kedua-duanya perkara yang sama-sama penting dalam hidup kita. Apa yang Mira lihat dalam kehidupan kita sekarang, sebenarnya berpunca dari kegagalan manusia untuk memahami sains dan sastera sebagai elemen kehidupan yang tidak boleh dipisah-pisahkan. Kedua-duanya umpama adik-beradik kembar yang sama tapi tak serupa, tidak boleh dilayan secara pilih kasih.”
Ayat terakhir Cikgu Mat Nor membangkitkan rasa penasaran Mira.
“ Kenapa, Cikgu ? ”
Mira melihat sekumpulan burung laut terbang rendah, melintas berhampiran kedudukan mereka. Namun, arasnya masih lebih tinggi dari aras kepala mereka.
“ Mira lihat tak burung-burung tu ?”
Mira mengangguk seusai mendengarkan pertanyaan Cikgu Mat Nor.
“ Apa yang sedang Mira fikirkan dan rasakan bila Mira melihatnya ?”
Apa yang sedang aku fikirkan dan rasakan ? Entahlah.
Mira mengangkat bahu seraya menggelengkan kepalanya.
“ Mira bingung, bukan ? ”
“ Ya, dan apa yang Cikgu fikir dan rasakan pula ?”
Cikgu Mat Nor tersenyum, “ Cikgu melihat burung-burung itu itu sebagai sumber ilmu dan maklumat, dari sebuah kitab yang bernama alam sekitar. Kitab yang diciptakan Allah SWT agar manusia, yang punya akal fikiran dan hati perut ini memanfaatkannya untuk kesejahteraan hidup. Bagaimana manusia mencipta kapal terbang, supaya kita ada peluang untuk terbang seperti burung ? Manusia terlebih dahulu melihat dan mengkaji bagaimana Allah SWT berkuasa mentakdirkan burung boleh terbang di udara, lalu memahami apa yang dilihat; sebelum memindahkan rumus-rumus yang diperolehi ke dalam rekabentuk bentuk kapal terbang. Dan untuk menafsirkan maklumat yang diperolehi dari burung itu, diperlukan ilmu sains. Agar maklumat dari burung dapat digunakan manusia di dalam hasil rekaannya yang bernama kapal terbang, cabang ilmu yang bernama teknologi diperlukan pula.”
Mira mengangguk.
“ Mira, tidaklah cikgu nafikan bahawa ilmu sains itu mengkaji bagaimana Allah mentadbirkan alam ini ke arah yang satu, mengenali Dia; lalu membuat keyakinan dan kecintaan kita pada Allah semakin teguh. Tapi, tanpa disertai ilmu tentang cara manusia mentadbir dunia ini, kehidupan manusia ini jadi kering dan tidak seimbang. Ilmu tentang itu perlu untuk mengkaji dan memahami cara mereka berfikir dan merasakan sesuatu, juga cara mereka bertindak. Kerana manusia, sebagai makhluk, telah ditakdirkan mempunyai cara mentadbir yang berbeza-beza. Lalu manusia sendiri boleh saling bersetuju untuk menyatukan manusia yang saling berbeza antara satu sama lain, atas peraturan yang telah disediakan Pentadbir Yang Maha BerKuasa. Dan sastera itu adalah satu dari aplikasi ilmu cara kerja manusia yang ada banyak cabang itu.”
Mira terdiam buat berapa ketika. Namun, dalam diamnya itu dia jadi teringat pada kesimpulan dari kuliah subuh Ustaz tentang konsep habluminallah dan habluminannas.
“ Jika manusia tidak menjaga hubungan baiknya dengan Allah dan hubungan baiknya dengan manusia agar kedua-duanya seimbang, kehidupan manusia akan berjalan serupa orang tempang. Dan dunia pun menuju kepada kerosakan, kerana tempangnya kehidupan manusia yang mentadbirnya. ”
Lantas, Mira memecahkan jeda yang dipasangnya buat berapa ketika, “ Yalah Cikgu. Bersikap berat sebelah terhadap sains dan sastera tu samalah macam bersikap berat sebelah dalam habluminallah dan habluminannas. Sains memperkukuh hubungan manusia dengan Allah, sementara sastera itu menjadi jambatan yang memperkukuhkan hubungan sesama manusia, yang akhirnya hubungan kukuh itu menjadi jalan memperolehi redha Allah, lalu mengukuhkan lagi hubungan manusia dengan Allah. Umpama dua kaki untuk manusia memudahkan pergerakan. Pendek salah satunya, pincanglah jawabnya. Betul tak, Cikgu ?”
“ Mira betul. Dan kamu telah dianugerahkan Allah sesuatu yang pelajar lain di sini tidak mendapatkannya. Ya, seorang pelajar yang tajam daya fikir dan rasa. Ada ilmu sains yang didapati secara belajar dari guru dan ada aplikasi ilmu sastera bernama penulisan melalui bakat semulajadi. Dapat pula ilmu agama dari aktiviti keagamaan di sekolah dan asrama. Bersama anugerah itu ada amanah yang perlu dijalankan, Mira. Amanah agar kamu memperlihatkan kepada mereka yang lain, bahawa sains dan sastera itu tidak boleh dilayan secara pilih kasih. Kedua-duanya sama-sama berfungsi mendekatkan diri manusia kepada Allah. Cikgu hanya ingin membantu kamu dalam melaksanakan amanah yang turun bersama pemberian Allah itu. ”
Mira mengangguk faham.
Ketika langkah kaki Mira melangkah kian jauh meninggalkan makmal Bestari, matanya terasa pedih. Dadanya berombak sebak. Langkahnya dirasakan amat canggung, lantas Mira berhenti sebentar di luar untuk mengesat matanya yang basah.
Dalam perjalanan menuju kelas, dia berpapasan dengan mata demi mata yang memandang ke arahnya.
Tiada siapa yang akan mengerti kenapa dan mengapa mata ini merah sembab warnanya sebagaimana aku ketahui, bisik hati Mira agar dia tidak menghiraukan apa yang mereka fikirkan.
Mira masih belum habis berfikir akan tawaran Cikgu Mat Nor, sekalipun padang di tepi laut sudah kosong; tanda waktu riadah petang telah tamat. Dia sempat mendongak ke langit berawan tebal yang kelabu, tatkala langkah katihnya sudah sampai di lawang pagar asrama puteri.
Dia bagai mendengar kembali kata-kata Cikgu Mat Nor, tatkala Cikgu Mat Nor menyerahkan kembali skrip novel kepunyaannya.”
“ Mira, meminati serta menyayangi dunia penulisan dan sastera tidak bererti Mira harus membuang aliran Sains dan teknologi jauh-jauh. Kedua-dua perkara boleh berjalan seiringan, tak kira ketika Mira masih belajar atau sudah bekerja, asalkan Mira tahu membahagikan masa. Lihat kawan kamu-Sairah dan Nuha, mereka juga pelajar sains seperti Mira tetapi mereka rajin menulis juga. Karya mereka sudah pernah disiarkan di majalah untuk pelajar. Cikgu suka kalau Mira dapat bersama-sama mereka dalam sidang editor.”
Mira bukan tidak tahu bakat Sairah dan Nuha yang telah digilap dengan baik oleh Cikgu Mat Nor. Hasilnya, Sairah menjadi terkenal dengan nama Aira Yasmin. Mereka menerbangkan ingatannya kepada Ahmad Patria Abdullah.
Bukankah Ahmad Patria Abdullah yang terkenal itu, juga seorang pelajar aliran sains sebelum menjadi ahli farmasi ? Dalam masa yang sama menjadi penulis karya sains fiksyen ? Siri Saga Artakusiad garapannya telah menjadi salah satu koleksi hangat dalam perpustakaan sekolah.
Dan bukan hanya Ahmad Patria Abdullah !
“ Ada banyak lagi penulis seperti Ahmad Patria Abdullah di luar sana. Jangan terkejut jika seorang doktor pakar gigi pun menjadi seorang penyair !”, kata-kata Cikgu Mat Nor seterusnya kian mengujakan semangat Mira.
“ Siapa dia ?”
“ Profesor Dato’ Dr Hashim Yaacob. Beliau sekarang sudah menjadi Naib Canselor di Universiti Malaya.”
“ Mira, usah ragu-ragu lagi. Cikgu akan berusaha meningkatkan keyakinan Mira terhadap bakat Mira sendiri. Pasal imbalan, Cikgu sendiri akan membantu Mira dengan menghantar skrip novel Mira ini untuk diterbitkan oleh mana-mana penerbit yang berminat. Cikgu yakin, dengan bakat yang Mira ada, tidak ada penerbit yang akan menolaknya.”
Namun, kata-kata Cikgu Mat Nor yang seterusnya lebih menyentuh rasa seorang Mira dengan lebih mendalam. Seperti kelabu di langit yang menyentuh hatinya saat ini.
“ Mira, tanpa kesedaran untuk mencintai bahasa, sastera dan budaya, yang berakar dari kepercayaan kepada Yang Maha Kuasa; kecanggihan teknologi dan kemajuan ekonomi tiada erti. Malah lebih banyak membinasakan sesuatu bangsa dan tamaddun berbanding membinanya. Mira sekarang dah sedar akan semua itujadi Mira ada amanah yang besar untuk menyedarkan mereka.”
Rasa kesyukuran kian memenuhi relung sukma Mira. Bisik diri kepada hati Mira sarat dengan rasa kagumnya pada Cikgu Mat Nor yang kian menanjak.
Kini aku lebih mengenali Cikgu Mat Nor, yang masyhur dengan penanya yang menyentuh hati ribuan insan serta sikap beliau yang melambangkan kekayaan budi pekerti. Pejuang Sastera dan Bahasa yang tak mudah goyah pendiriannya untuk meneruskan perjuangan memartabatkan Sastera dan Bahasa Melayu di kalangan pelajar Sains Tulen di sini, sekalipun dia tidak mengajar matapelajaran Kesusasteraan Melayu.
Kiranya keraguan orang-orang di sekelilingku terhadap dunia penulisan dan kesusasteraan seumpama langit mendung di atas kepalaku ini, aku Insya-Allah, dengan bakat yang dipinjamkan ini akan memikul amanah untuk mencabiknya. Biarlah langit kelabu berubah menjadi nilakandi cerah dek cahaya kesedaran, bisik hati Mira lagi dengan penuh semangat.
© 2008 oleh Ismi ‘ Nailofar, telah terbit secara online di esastera.com sebanyak 2 kali : 2 April 2008 dan 9 Jun 2008



