jump to navigation

Cerpen Terbaru Ismi’ Nailofar Jun 30, 2008

Posted by Ismi Nailofar in Pelbagai.
Tags:
3 comments

Cerpen terbaru Ismi’ Nailofar di esastera.com : Persis Fajar Subuh Yang Menyingsing.

 

Lebih baik kita terima sahaja lelaki yang sayang dan cintakan kita untuk menjadi pasangan kita; walaupun kita tak punyai perasaan yang sama pada dia, atau kita rasa dia tu tak serasi dengan kita. Itu lebih baik berbanding terus berharap dan menunggui orang yang kita cintai.”

Kata-kata klise, yang saban tahun bersipongang di telinga lewat lidah penyampai yang berbeza-beza; kembali menakluki segenap ruang benak lalu merongrong ketenangan Anizah saat ini. Kata-kata yang sama sempat ditangkap dek indera pendengarannya, terselit antara suara-suara  yang kedengaran di ruang tamu. Tepat ketika dia sedang membancuh minuman di dapur sebentar tadi.

Dia melangkah mantap menuju meja studi di tepi jendela. Setelah meletakkan mini termos bentuk cawan yang dibawanya, pandangannya disasarkan pada model jet pejuang A-10 yang berada di sisi meja. 

Bukan aku tidak bersetuju sama sekali dengan pendapat itu, teman-teman.  Aku hanya tidak bersetuju, sekiranya pendapat itu digunakan secara main pukul rata terhadap semua lelaki, bisik kalbu Anizah, yang terkesan dek kata-kata klise itu. Bisikan kalbu yang semantap, setegar langkah demi langkah kaki yang diaturkannya tadi.

Gila apa, jika main pukul rata sahaja. Tanpa melihat secara halus dan berhati-hati akan siapa dia lelaki itu, wanita pun jadilah seperti seorang juruterbang yang sudah hilang pertimbangan dan akal waras. Sengaja menerbangkan pesawatnya mengikut laluan yang di hadapannya ada mata ribut, sekalipun radar cuaca Bendix atau  Doppler telah mengkhabarkan wujudnya mata ribut itu dengan jelas, pada batu nautika yang masih jauh darinya. Lalu pesawat pun meredahi prahara, yang kian mengusutkan ketidakpastian, apakah pesawat akan tiba dengan selamat atau tidak di pengakhiran penerbangannya.

Ya, memang benar-benar gila, jika kata-kata kalian kupakai- untuk kes aku dan Fadli !

“ Buat apa ikutkan retorik kosong kau, yang tak berjejak di bumi nyata dan terang-terangan membuat perempuan hidup merana sahaja ! ”

“ Merana katamu ? Hey, orang perempuan lebih merana lagi tahu, jika terus melekat secara membuta tuli pada prinsip yang lama tu. Tak percaya ? Sudah terlalu banyak buktinya di muka bumi ini, tau. Lihatlah berapa ramai perempuan yang dah beranak tanpa laki ? Anak dibuang merata-rata. Belum lagi campurkan bilangan mereka yang dah kahwin dan kena dera suami. Pathetic. Tak payah jauh-jauh menyalahkan orang lelaki.  Memang dah salah orang perempuan sendiri, kerana bersikap memasungkan diri pada prinsip lama. ”

Tiba-tiba sahaja dialog itu mencelah-celah. Salah satu dari fragmen pengalaman Anizah ketika menjadi ‘ahli panel tak berbayar dalam forum perdana tanpa liputan siaraya dari mana-mana stesen TV’ pada tahun-tahun yang silam. Gara-gara sikap berterus-terang bersemberi ketekalan untuk berpegang pada prinsip sendiri, teman-teman yang menyertai ‘forum’ tidak saling bertegur sapa atau menjauhkan diri berhari-hari lamanya sesudah itu. Malah sampai berminggu-minggu.

Anizah menggeleng-gelengkan kepalanya.

Gasak kalianlah ! Tapi aku akan terus bersama prinsip dan pendirianku, dalam mendepani masalah aku dan Fadli!

 

 

Ingin mengetahui kisah selanjutnya ? Jadilah ahli esastera.com sekarang juga !

( Image powered by VCW Vicman’s Photo Editor, PhotoStudio 2000 and Fotosketcher )

Sebarang Imej dan petikan di sini hanya boleh digunakan untuk kegunaan lain, setelah mendapat izin bertulis dari penulis.